Tag Archives: kompak

Honda WR-V RS boleh buat Perodua Ativa tak duduk senang? – Pandu uji

BILA Honda Malaysia mengumumkan tidak akan membawa masuk BR-V generasi baharu, ramai netizen yang mengeluh kerana merasakan mereka perlu sebuah kenderaan tujuh tempat duduk mampu milik.

Segmen ini – selain Honda BR-V – juga dihuni oleh Mitsubishi Xpander, Toyota Avanza, Perodua Alza, dan Perodua Aruz. Ada pengeluar yang menggelarkan model mereka sebagai crossover, MPV, malah SUV.

 

Bagi penulis, kesemuanya dalam segmen yang sama, gelaran hanya diberi berdasarkan rupa dan bukannya fungsi. Tapi cerita kita hari ini ialah ‘pengganti’ BR-V, iaitu WR-V.

Seperti yang anda telah ketahui, WR-V ialah model segmen-A atau B kompak dengan rupa SUV, dan berkapasiti lima tempat duduk. Ini menjadikannya pesaing kepada Perodua Ativa.

Adakah Honda berpendapat pembeli mereka tidak mahu lagi MPV/crossover tujuh tempat duduk dan mahukan SUV kompak, atau Honda tidak mahu Perodua memonopoli pasaran SUV segmen-A?

Rupa trendy

Sebelum menjawab soalan di atas, kita lihatkan beza harga. Honda WR-V ditawarkan pada harga bermula RM89,900 untuk varian S, tetapi varian RS yang kami uji ini berharga RM107,900. Ativa pula berharga antara RM62,500 hingga RM72,600.

Sudah tentu Ativa lebih mampu milik kerana hadir dengan enjin berkapasiti lebih kecil selain tarafnya sebagai pengeluar kereta nasional.

Tetapi jika diamati penggayaan Honda WR-V, penulis dapati ianya direka untuk memenuhi kehendak dan minat golongan muda masa kini. Trend SUV menular dari segmen lebih atas (C, D, premium) dan kini tiba ke segmen-A. Lihat sahaja Toyota Corolla sedan dengan Corolla Cross, yang mana lebih mudah dijumpai?

Penulis suka rupa keseluruhan WR-V ini kerana ia nampak segar tetapi pada masa yang sama ada ‘family look’ dengan model-model Honda lain. Lampu depan LED mirip City lengkap dengan signal sequential, gril dengan titik-titik krom memberikan rasa premium, pembuka pintu belakang tersorok seperti HR-V, kemudian lampu belakang dengan garisan nyalaan seperti Civic FE.

Saiz WR-V ini terasa cukup-cukup sahaja, sempurna untuk kegunaan keluarga muda yang tinggal di bandar.

Kabin potong ‘stim’

Jujur kata, penulis mula-mula masuk ke dalam WR-V ini rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.

Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis ada harapan tinggi untuk bahagian dalaman.

Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.

Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.

Kelengkapan Honda WR-V ini cukup banyak sebenarnya, ia mendapat kemasan kulit dengan jahitan merah, paddle-shifters, pedal sports, paparan TFT 4.2-inci di antara dua meter analog, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.

 

Tempat duduk pula cukup selesa, penulis tiada rungutan untuk bab ini. Kabin juga terasa lapang di depan dan belakang, Honda memang sentiasa cemerlang memanfaatkan ruang yang ada.

Penawaran semua ini jelas menunjukkan Honda memahami kehendak dan trend pembali mereka masa kini. Spesifikasi semuanya memberikan cukup pilihan bagi mereka yang berkeluarga kecil dan golongan muda yang baru bekerja.

Pemanduan berorientasikan selesa, tetapi…

Honda WR-V dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC yang kita sudah kenali, ia menghasilkan 119hp dan 145Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan menggunakan transmisi CVT, pakej yang sama seperti Honda City.

Jadi, gaya pecutannya mirip model sedan dan hatchback itu, ramai yang sudah terbiasa dan memang ianya okey. Penghantaran kuasa terasa cukup responsif dan linear, CVT Honda merupakan antara yang terbaik untuk segmennya, bagi penulis.

Bezanya, Honda WR-V ini lebih tinggi dari City. Selain dari lebih mudah keluar dan masuk, anda akan dapat pandangan depan lebih jauh dan meyakinkan. Tetapi talaan suspensi adalah lebih lembut dari sedan, jadi olengan badan lebih jelas.

Bagus juga sebegini, kerana akan mengingatkan anda supaya tidak terlalu laju di selekoh. Yang penting, keselesaan lebih utama untuk WR-V ini.

Cuma satu isu kecil buat penulis, kerana didapati agak kerap penulis melawat stesen minyak. Bukan kerana enjinnya tidak jimat, mungkin kerana tangki minyak WR-V ini yang tidak begitu besar.

Kecekapan enjin elok sahaja, penulis dapat 13.5km per liter secara purata walaupun tidak terlalu mencuba. Tetapi tiada info berkenaan kapasiti tangki minyak WR-V ini yang dapat dijumpai, tidak mengapalah.

Apa pun, untuk perjalanan jauh, ciri keselamatan aktif dari Honda Sensing seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist System (LKAS), dan Auto High beam (AHB) sangat membantu mengurangkan ‘beban’ kepada pemandu.

Honda faham pembeli Malaysia?

Untuk kita jawab semula persoalan di atas tadi, bagi penulis, dua-dua sebenarnya. Honda faham keperluan pembeli mereka masa kini, dan juga mereka tidak mahu biarkan Perodua terlalu selesa dalam segmen SUV kompak ini.

Hal ini pastinya bagus untuk pengguna. Anda ada pilihan membeli model jenama tempatan, atau tambah sedikit untuk model bukan nasional. Pilihan seperti biasa, bukan?

Jadi, ada yang masih rindukan BR-V?

Spesifikasi Honda WR-V RS

Harga: RM107,900
Enjin: 1.5-liter i-VTEC 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT
Kuasa: 121hp @ 6,600rpm
Tork: 145Nm @ 4,300rpm

smart #1 dilancar secara rasmi, tiga varian termasuk Brabus, bermula RM189,000

SELEPAS pratonton smart #1 dan smart #1 Brabus kebelakangan ini, SUV elektrik itu kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Ia ditawarkan pada harga bermula RM189,000 hingga RM249,000. Harga ini tidak jauh berbeza dari anggaran RM200,000 hingga RM250,000 yang dilaporkan sebelum ini.

Berikut adalah harga dan spesifikasi ringkas smart #1:

Pro dan Premium

  • RM189,000 untuk Pro, RM219,000 untuk Premium
  • Motor tunggal di belakang
  • Output 272hp, 343Nm
  • Jarak pemanduan 440km
  • 0-100km/j dalam 6.7 saat
  • Kelajuan maksima 180km/j
  • Pengecasan AC 7.2kW: 6 jam untuk 10 hingga 80 peratus, 22kW dalam 3 jam
  • Pengecasan DC hingga 150kW: 22 minit (Pro) dan 29 minit (Premium)

Brabus

  • RM249,000
  • Dua motor elektrik (AWD)
  • Output 428hp, 543Nm
  • Jarak pemanduan 400km
  • 0-100km/j dalam 3.9 saat
  • Kelajuan maksima 180km/j
  • Pengecasan AC 22kW: 3 jam
  • Pengecasan DC hingga 150kW: 29 minit

Harga-harga di atas hadir dengan jaminan seperti di bawah:

  • 8-tahun/200,000km jaminan bateri
  • 8-tahun/150,000km jaminan komponen voltan tinggi
  • 4-tahun jaminan kenderaan, tanpa had perbatuan
  • 2-tahun jaminan alat ganti, tanpa had perbatuan
  • Bantuan tepi jalan 24/7

Semasa pelancaran, turut diumumkan pakej-pakej percuma seperti berikut:

  • smartCharge Home Charger bernilai RM3,200
  • Adaptor v2L bernilai RM800
  • Pakej aksesori bernilai RM2,000
  • Data internet 5-tahun berjumlah 60GB
  • Perlindungan insurans komprehensif smartPlus

smart #1 dibangunkan oleh Geely bagi aspek mekanikal dan mendapat sentuhan Mercedes-Benz untuk rekabentuknya. Maka sebab itu anda dapat lihat elemen-elemen seperti jenama Jerman itu pada rekaan luaran dan dalamannya.

Varian Pro tampil dengan roda aloi 19-inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.

Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, dan gril hadapan bercahaya.

#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green.

#1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.

Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.

Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272PS (200kW) dan 343Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180km/j.

#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.

Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.

Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.

Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.

#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428PS (315kW) dan 543Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400km.

Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.

 

Perodua Axia: Antara nilai dan kemahuan pengguna – Pandu uji

PELANCARAN Perodua Axia 2023 menjadi fenomena sebentar kerana memandangkan ia kereta nasional, maka ia menjadi berita nasional. Dan semua orang mahu berbahas mengenainya, semua orang mahu beri pendapat.

Sama ada di kedai kopi, di group-group Whatsapp, atau di forum-forum media sosial, ia menjadi topik hangat. Banyak yang boleh dibualkan mengenai Perodua Axia serba baharu ini tetapi aspek paling ‘panas’ pastinya harga.

Ramai yang berkata Perodua Axia kini bukan lagi kereta marhaen atau kereta Rahmah. Mampu tengok sahaja, kata sesetengah pihak. Ini kerana jika dibandingkan dengan varian sama untuk Axia facelift generasi sebelum ini, terdapat perbezaan antara RM4,000 hingga RM6,000.

 

Hatchback segmen-A itu ditawarkan dalam empat varian dengan harga antara RM38,600 untuk G, hingga RM49,500 untuk AV.

Angka-angka ini merupakan pertambahan kira-kira 10 peratus secara purata setiap varian, dan Axia tidak lagi menjadi kereta baharu paling murah di Malaysia.

Jadi, kenapa sebenarnya harga Perodua Axia semakin mahal? Adakah faktor inflasi? Kenaikan harga barang? Atau agenda teori koperasi?

Analogi nasi lemak

Inilah antara tugas kami wartawan permotoran, untuk berkongsi maklumat dengan anda para pengguna. Kami tak mahu anda menyumpah setiap kali bayar ansuran bulanan.

Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, kenaikan harga itu adalah disebabkan saiz kereta yang lebih besar dan kelengkapan ciri lebih maju berbanding model sebelumnya.

Kita ambil nasi lemak sebagai analogi. Bayangkan setiap pagi anda beli di warung Makcik Kiah dengan harga RM2.00 sebungkus. Suatu hari, harganya naik kepada RM2.50. “Makcik, kenapa naik harga ni? Sebab kenaikan harga barang? Atau harga minyak?”

Makcik Kiah pun menjawab: “Sebab kita guna bahan lebih berkualiti. Beras yang lebih mahal, santan asli dan bukan santan segera, timun pun dari Cameron Highlands.” Ini sekadar contoh, penulis bukan pakar nasi lemak.

Jadi untuk Perodua Axia, jika anda lihat ‘kulit’ luarannya pun dah semakin sofistikated. Lampu depan LED sepenuhnya, muka depan ada corak ‘X’ identiti Perodua, lebih banyak lekuk-lekuk dan rekaan bersegi di hud depan, di pintu, malah bahagian belakang pun seperti ‘penyet’, bab kata netizen.

 

Rekaan lebih kompleks tidak bermakna cantik, jika anda tengok Formula 1 pun tidak cantik. Tetapi rekaannya nampak ada banyak usaha diperlukan dan ia cukup aerodinamik untuk menang perlumbaan.

Oh ya, rekabentuk Perodua Axia pun bukan saja-saja begitu, ia 10 peratus lebih aerodinamik berbanding Axia generasi lama. Apa yang anda dapat? Bukan piala Grand Prix, tetapi penjimatan minyak dalam jangka masa panjang.

Bagi penulis, rupa luaran ini cukup sesuai dengan imej Axia serba baharu. Cuma rim sahaja macam ‘kureng’, terlalu sama dengan model lama. Kalau guna rim 5-bilah dwi-tona, fuhhh. (Harap-harap Perodua baca dan ambil poin ini untuk facelift).

Kabin anti maksiat

Ruang dalaman juga baharu sepenuhnya. Anda akan dapat binaan papan pemuka seperti Ativa dan Alza, kerana Axia juga menggunakan pelantar DNGA yang digunakan oleh banyak model terkini dalam Pakatan Perodua-Toyota-Daihatsu.

Hasilnya, anda dapat kabin yang rasa sporti, rasa meyakinkan bila memandu, nampak canggih, dan langsung tidak nampak murah atau membosankan.

Penulis cukup suka rekaan konsol tengah yang sedikit tinggi, membuatkan kereta ini rasa lebih fokus kepada pemandu walaupun mungkin pasangan pelajar susah sedikit hendak berpegangan tangan. Baguslah. Jauhi maksiat dan lebih fokus pemanduan!

Skrin infotainmen tengah tidak didatangkan dengan Apple Carplay dan Android Auto, kerana menurut Perodua, sambungan ini belum cukup penting untuk kebanyakan pembeli Axia yang mahukan kereta mampu milik.

Tetapi masih ada fungsi Smart Link untuk anda paparkan kandungan skrin telefon ke sini.

Ruang belakang tidak jauh berbeza dengan Axia lama, tetapi ruang kaki terasa lebih luas untuk model baharu ini. Cuma penulis kurang suka dimana perehat kepala belakang boleh-laras hanya ada pada varian tertinggi.

Tetapi tempat duduk keseluruhannya sangat selesa dan lebih cantik juga dengan warna kelabu dan kontra merah di depan.

Pemanduan lebih berkualiti, harga mampu milik

Penulis ada menyebut mengenai pelantar DNGA atau Daihatsu New Global Architecture. Jangan pening-pening, apa yang anda perlu tahu ialah pelantar ini memberikan Axia satu pengalaman pemanduan lebih solid.

Walaupun baru keluar dua atau tiga simpang dan langgar beberapa lubang, anda akan dapat rasa betapa senyap dan kemasnya rasa Axia baharu ini. Bukan sebab kereta baru keluar kedai dan bushing semua baharu, tetapi kita semua pernah merasa pandu Axia dulu yang masih baharu kan, haaa pasti anda dapat rasakan bezanya.

Stereng pula bukan setakat terasa lebih tepat dan ada banyak ‘feel’, tetapi juga sudut stereng itu sendiri lebih ergonomik berbanding model lama.

Enjin pada Perodua Axia masih mengekalkan unit yang sama iaitu 1.0-liter VVT-i dengan 67hp dan 91Nm tork. Tetapi pengalaman memandu Axia 2023s ini jauh lebih baik berbanding model lama kerana penggunaan transmisi D-CVT baharu.

Dengan transmisi baharu ini sahaja Perodua Axia dapat lebih prestasi dan penjimatan. D-CVT merupakan kacukan antara CVT dengan torque converter, jadi ia tetap mempunyai gear fizikal yang digunakan pada kelajuan lebih tinggi untuk lebih respon dan penjimatan.

Dalam erti kata lain, kurang bunyi mengaum bila pedal tiba-tiba ditekan pada kelajuan 80km/j misalnya untuk memotong atau menukar lorong.

Pada kelajuan rendah, Axia baharu ini terasa lebih ringan dan mudah untuk bergerak walaupun menggunakan enjin yang sama.

Pengendalian Perodua Axia di selekoh juga lebih selesa dan meyakinkan, seolah-olah kereta ini relaks sahaja ambil selekoh laju. Kalau dengan Axia lama, ia seperti mengeluh, “Alamak apa yang tuan aku buat ni, perlahan la sikit, ini bukan kereta lumba…”

Tidak dengan Axia baharu ini. Casisnya dirasakan mampu menampung lebih dari pemanduan biasa, sebagai contoh anda tukar tayar prestasi, masuk suspense sports, dan roll-cage untuk dijadikan kereta litar, misalnya.

Untuk penjimatan, Perodua berkata Axia 2023 boleh mendapat sehingga 27km per liter (bergantung kepada varian). Tetapi dalam dunia sebenar, anda senang-senang dapat 14km per liter jika diambil kira pandu laju, perlahan, dan dalam trafik.

Jika anda baru reset onboard komputer pada kelajuan sekitar 90km/j, boleh dapat kira-kira 20 hingga 21km per liter.

Boleh beli?

Mungkin kurang tepat jika kami tanya adakah Perodua Axia ini berbaloi untuk dibeli. Ini kerana tidak banyak pilihan yang anda ada untuk kereta mampu milik segmen-A, dan Axia baharu tetap menggantikan model lama.

Cuma kita sebagai pengguna di tahun 2023, haruslah berfikiran seperti 2023. Fahami produk itu, fahami kenapa ia semakin mahal. Bayangkan Perodua Axia segmen-A dah ada ciri seperti lampu LED automatik, ASA (Advanced Safety Assist) 3.0 dengan Pre-Collision Braking contohnya.

Perkara-perkara ini semestinya tidak kita bayangkan semasa pengenalan Axia pada tahun 2014 dahulu. “Takkanlah kereta bawah RM50,000 ada sistem mampu brek sendiri,” kan?

Jadi, anggap sahaja rakyat Malaysia kini mampu memiliki kereta yang canggih, lebih selamat, dan berikan anda nilai lebih tinggi.

Spesifikasi Perodua Axia 1.0 AV

Harga: RM49,500
Enjin: 1.0-liter 3-silinder VVT-i
Kotak gear: D-CVT
Kuasa: 67hp @ 6,000rpm
Tork: 91Nm @ 4,400rpm

ACM City One EV kompak mampu milik, ruang kargo lebih luas

USAHA menghasilkan kenderaan elektrik (EV) semakin dipergiatkan dengan terbaharu datangnya daripada syarikat Adaptive City Mobility atau ACM.

Kereta dikenali sebagai City One ini mempunyai keistimewaan tersendiri terutama dari segi saiznya yang kompak.

Dihasilkan secara prototaip, ia mempunyai sistem bateri boleh ditukar ganti selain kabin modular serta slot bateri saling-tukar yang mudah diakses.

Foto ihsan ACM

City One memiliki ukuran dimensi 3,600mm panjang, 1,650mm lebar dan 1,670 mm tinggi.

Pada masa sama, ia mempunyai bateri kekal 24 kWh dan empat pek bateri berbentuk beg suitcase dengan kapasiti 2.5 kWh.

Pemandu tidak perlu bimbang jika terpaksa menukar pek bateri kerana ia boleh diakses menerusi pintu belakang dalam hanya masa tiga minit.

Pengecasan penuh membolehkan kereta ini dipandu sehingga 360 kilometer dan lebih menarik, kelajuan maksima boleh mencecah 110 km/j.

Masa pengecasan adalah sekitar lima hingga lapan jam dengan menggunakan plug biasa di rumah.

Ruang dalaman

Prototaip City One ini mempunyai ruang kargo yang agak luas jika dibandingkan dengan model Perodua Axia.

Ini kerana ruang kargo model ini adalah sebesar 400 liter dan Perodua Axia hanya 260 sahaja.

Sementara itu, tempat duduk belakang boleh dilipat bagi membolehkan ruang kargo dibesarkan sehingga 1,450 liter dengan had muatan 380 kilogram.

Foto ihsan ACM

ACM menyasarkan City One dapat dijadikan sebagai kenderaan komersial.

Harga bagi sebuah City One dianggarkan bermula €10,000 atau RM49,277 bergantung kepada spesifikasi.

Setakat ini, ACM mendakwa mereka telah mengumpulkan lebih daripada 208,000 tempahan.

Namun fasa produksi hanya akan bermula pada tahun 2023.

 

 

Kenapa harga Mini 3 Door 2021 cecah RM300 ribu?

KETERUJAAN ketika mengendalikan kenderaan merupakan antara aspek penting perlu ada dalam diri setiap pemandu.

Kenderaan kini bukan sekadar membawa anda dari lokasi “A” ke lokasi “B”, malah menjadi simbol kepada kemegahan, keseronokan, keghairahan dan banyak lagi.

Untuk itu, syarikat pengeluar kenderaan Mini sekali lagi tampil memperkenalkan semula model John Cooper Works 3 Door baharu di pasaran.

Rekaan luaran yang lebih kemas dan ‘garang’ pasti memukau setiap mata memandang.

Menerusi sudut pandang hadapan, John Cooper Works 3 Door dilengkapi gril radiator baharu lebih besar berbentuk heksagon.

Selain itu, ia turut dilengkapi lampu hadapan LED Adaptif yang dilitupi perumah dalaman baharu berwarna hitam.

Model ini juga hadir dengan rongga udara penyejukan untuk memastikan sistem pemanduan dan brek berada pada tahap suhu optimum apabila jentera dipandu dalam kondisi ‘sporty’.

Logo John Cooper Works yang eksklusif. – Foto oleh Mini

Warisan DNA perlumbaan John Cooper Works

Model John Cooper Works 3 Door baharu dikuasakan oleh enjin Mini Twin Power Turbo 2.0 liter 4 silinder.

Ia dibangunkan menerusi kepakaran John Cooper Works dalam bidang perlumbaan kereta.

Apa yang menarik, John Cooper Works 3 Door baharu mampu menjana 231 kuasa kuda dan tork sebanyak 320 Nm.

Pecutan 0-100 km/j pula hanya perlu mengambil masa selama 6.1 saat sahaja!

Jentera ini mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 246 km/j dengan penggunaan bahan api direkodkan pada paras 6.3 liter bagi setiap jarak perjalanan 100 kilometer.

Sistem brek Brembo

Sistem brek Brembo terbukti amat berkualiti tinggi selain memberi cengkaman yang luar biasa. – Foto oleh Mini

John Cooper Works 3 Door mempunyai sistem brek sport meliputi angkup brek empat piston berserta cakera yang diventilasi dari dalam.

Pada masa sama, model ini turut didatangkan dengan Suspensi Adaptif menggunakan teknologi redaman selektif frekuensi.

Sekaligus, ia menjamin keseimbangan yang optimum dari segi kelasakan dan keselesaan ketika memandu.

Berikut antara ciri-ciri istimewa lain Mini John Cooper Works 3 Door:

  • Stereng baharu dengan ruji horizontal serta iras baharu
  • Mini Yours Aluminium Interior Surface baharu
  • Skrin sentuh 8.8 inci dalam rekaan panel hitam
  • Program audio,
  • Navigasi
  • Fungsi Live Widget

Terdapat tiga warna ditawarkan iaitu Rebel Green, Midnight Black, serta White Silver.

Kesemua tawaran warna ini dipadankan dengan bumbung warna merah yang menawan.

Harga bagi sebuah Mini John Cooper Works 3 Door baharu adalah RM311,259.49.