Tag Archives: KPDN

Minyak enjin wajib ada perakuan tulen SIRIM mulai 7 April ini

Bermula 7 April ini, kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 dalam usahanya untuk mengekang penjualan minyak enjin kenderaan motor tiruan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dengan perintah baharu ini, pengguna boleh mengenal pasti penjualan minyak enjin kenderaan motor yang tulen sekali gus membanteras penjualan minyak tiruan yang boleh membawa risiko keselamatan serta kemalangan jalan raya.

“Perintah ini juga akan dapat melindungi kepentingan syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk-produk tidak tulen oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Armizan berkata mana-mana produk minyak enjin sama ada dihasilkan dalam negara mahupun diimport, perlu mendapat perakuan tulen menerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd yang dilantik sebagai pihak bertanggungjawab memperaku dan mengeluarkan label pematuhan produk bagi tujuan itu.

Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada syarikat pengeluar untuk mematuhi arahan berkenaan dengan perintah pewartaan bermula pada 11 Oktober 2024.

“KPDN dengan kerjasama SIRIM telah menganjurkan program penglibatan sejak 2022 melibatkan hampir semua pemain utama dalam industri minyak enjin kenderaan bermotor di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, [atau] penjual yang menjual produk yang tidak disahkan dan tidak mempunyai label pematuhan yang sah,” kata Armizan.

Perlu permit khas untuk beli diesel lebih had – KPDN

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa mana-mana individu, syarikat berskala kecil atau organisasi yang layak boleh memohon permit khas bagi pembelian diesel melebihi had.

Tambah Armizan, permit khas itu hanya untuk kegunaan yang dibenarkan selain daripada tujuan jualan semula.

“Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada agensi yang berkaitan dan membuat permohonan melalui Sistem Permit Khas melalui portal KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari bagi pembelian di stesen minyak,” katanya.

Beliau berkata kemudahan itu telah terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

KPDN perkenal dua strategi interim lindungi hak pengguna sebelum muktamadkan Lemon Law

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenal dua strategi interim untuk melindungi pengguna berkaitan hak tebus rugi terutama bagi pembelian kenderaan bermotor sebelum kerangka perundangan baharu berhubung Lemon Law dimuktamad.

Menurut Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali, menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, strategi itu adalah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memproses permohonan surat persetujuan daripada pengguna.

Selain itu, institusi perbankan diminta menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima serta memproses permohonan tersebut.

“Bermula 2 September lepas, pihak BNM telahpun keluarkan arahan meminta bank dan juga institusi kewangan supaya mewujudkan SOP bagi membolehkan pengguna memohon serta mendapatkan surat persetujuan.

“Susulan kerjasama itu, BNM telah mengarahkan institusi perbankan untuk melaksanakan kedua-dua inisiatif sebelum 3 Disember ini,” katanya.

Strategi itu adalah inisiatif intervensi oleh kerajaan bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada penyelesaian yang adil dan berkesan sebelum pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Armizan berkata ketika ini melalui perundangan sedia ada, platform untuk pengguna menuntut hak mereka ialah Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM).

Beliau berkata melalui strategi itu, mereka boleh mendapatkan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi selaras dengan prinsip perlindungan pengguna di negara ini.

“Mulai Januari hingga Ogos tahun ini, KPDN menerima 114 jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan dan 187 pemfailan membabitkan kenderaan terpakai di TTPM manakala 16 aduan lain yang diterima telah dirujuk kepada pasukan rundingan khas setakat Januari hingga September tahun ini,” katanya.

KPDN sedang mengkaji pelaksanaan serta penguatkuasaan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan lain untuk mendapatkan remedi bagi produk yang berulang kali rosak serta gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

Remedi yang boleh dituntut di bawah Lemon Law membabitkan pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik.

Rampasan diesel turun 87 peratus sejak penyasaran subsidi – KPDN

SEJAK pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, kes rampasan minyak diesel menyaksikan penurunan sebanyak 87 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Tambah Armizan, trend penurunan itu adalah berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, Armizan berkata jumlah kes yang direkodkan ialah 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.

Bagi tempoh 10 Jun hingga 30 Jun pula, statistik menunjukkan hanya 14 kes melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama iaitu daripada 40 orang kepada seorang sahaja.

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan jumlah kes yang signifikan,” katanya.

Berkuat kuasa 10 Jun lepas, kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit bahan api itu bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, Armizan berkata, terdapat peningkatan bagi rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes, melibatkan sebanyak 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata, jumlah tangkapan pula meningkat daripada 10 kepada 17 orang bagi tempoh sama.

Bagi membanteras aktiviti tersebut, beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi Ops Tiris 3.0 di seluruh negara.

“Kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain juga diadakan bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

KPDN panggil 10 syarikat umum kenaikan harga pasca penyasaran subsidi diesel

10 syarikat dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas mengumumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, KPDN telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 atau Akta 723.

Tambah beliau, syarikat yang dikenal pasti ini akan diminta memberi penjelasan berkaitan kewajaran tindakan mereka menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

“Sepuluh syarikat berkenaan terdiri daripada sektor pengangkutan (tiga syarikat), sektor bahan binaan (tiga syarikat), sektor makanan dan minuman (dua syarikat) serta sektor sewaan jentera (dua syarikat).

“Dua syarikat telah dipanggil semalam, 13 Jun 2024, dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual,” tambahnya.

Armizan berkata, siasatan awal mendapati empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

“Setiap syarikat akan diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

“Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut,” tambahnya.

Keputusan ‘Lemon Law’ dibentang di Parlimen Mac tahun depan

AKTA baharu atau pindaan undang sedia ada berkait ‘Lemon Law’ akan dibentang di Parlimen seawal penggal pertama tahun depan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, dalam merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah melantik pakar perunding dalam menjalankan kajian pewujudan perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ bermula bulan ini hingga September.

Tambah beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.

“Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk barangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dibawah kawal selia KPDN.

“Selain daripda Akta 599, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen ‘Lemon Law’,” katanya.

 

Jelasnya, hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar diperingkat kementerian untuk menetapkan hala tuju pewujudan rangka kerja perundangan baharu bagi memperkukuhkan hak pengguna.

“Ini termasuklah keputusan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia ada iaitu Akta 599 atau pewujudan perundangan baharu,” ujarnya.

Sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamatkan, Armizan berkata pihaknya melaksanakan dua strategi interim berkuatkuasa 1 Jun bagi pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor.

Strategi lain juga adalah dengan pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara.

“Dua strategi interim ini merupakan intervensi oleh kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan,” jelasnya.

Gagal kemuka maklumat pembaikan, pemilik bengkel didenda RM4,000

SEORANG pemilik bengkel kenderaan dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Bentong atas kesalahan gagal memberikan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan yang akan dilakukan ke atas sebuah kenderaan kepada seorang pelanggan.

Menurut laporan Malaysia Gazette, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.

Tertuduh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau penjara dua minggu jika gagal membayarnya.

“Berdasarkan fakta kes, pasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Raub telah menjalankan siasatan aduan ke atas sebuah premis pada 18 Ogos 2022,” kata Pengarah KPDN Pahang, Jeslily Jamaludin.

Tambah beliau, pihak KPDN sebelum ini menerima aduan yang menyatakan premis tersebut gagal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sebelum kerja-kerja pembaikan.

Kejadian itu menyebabkan pemilik kenderaan tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Jeslily dalam kenyataannya mengalu-alukan pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga.

KPDN laksana kajian kebolehlaksanaan Lemon Law di Malaysia

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Lemon Law bagi memperkasakan hak pengguna di negara ini untuk menuntut ganti rugi.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia sekiranya mereka menerima kenderaan bermotor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti dan prestasi seperti dijanjikan pembekal serta tidak dapat dibaiki.

Foto AFP / Jimin LAI

“Setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan langkah kerja perundangan dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai sama ada Lemon Law akan diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna dalam pembelian kenderaan baharu dan terpakai sekiranya berlaku kerosakan.

Mengulas mengenai soalan tambahan Lip Eng agar Lemon Law tidak perlu melalui prosiding undang-undang seperti tribunal dan mahkamah agar pengguna dapat menuntut ganti rugi mereka, Armizan berkata, cadangan dikemukakan itu satu opsyen yang boleh dilaksanakan.

“Apa yang dicadangkan oleh Kepong (Lip Eng) satu opsyen yang saya fikir kita boleh laksanakan sebagai tindakan segera sebelum kajian menyeluruh itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan kajian kebolehlaksanaan itu juga tidak bermakna kerajaan ingin memperkenalkan undang-undang baharu.

“Sama ada kita memperkukuhkan akta perlindungan pengguna sedia ada dan pada masa yang sama kita tahu kajian ini mengambil masa.

“Kita dalam proses mempertimbangkan untuk meminda mana-mana undang-undang sedia (dan) memperkenalkan satu peraturan di bawah Akta 599 (Akta Perlindungan Pengguna 1999) untuk membolehkan proses tuntutan ini dibuat pada kadar segera,” katanya.

Sistem kad subsidi diesel diuji bermula 1 Februari 2024

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memulakan projek rintis bagi menguji sistem MySubsidi Diesel dan sistem Fleet Card syarikat minyak. Ia akan dijalankan menerusi enam syarikat pengangkutan barangan terpilih akan dilaksana berkuat kuasa 1 Feb depan.

Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan projek rintis itu adalah bagi perluasan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Foto oleh Miera Zulyana/MalayMail

Enam syarikat tersebut adalah Perceptive Logistic Sdn Bhd, Multimodal Freight Sdn Bhd, Mun Chuen Transport Sdn Bhd, Tan Swee Hee Sdn Bhd, Sim Yew Enterprise Sdn Bhd dan Rantau Panjang Haulage Sdn Bhd yang dipilih susulan kuota Skid Tank mereka bakal luput pada bulan ini.

“Sesi libat urus telah dilaksana untuk memberi pendedahan kepada syarikat perintis dan syarikat minyak tentang panduan untuk memohon kuota dan pelaporan menggunakan Sistem MySubsidi Diesel dan sistem Fleet Card,” kata Armizan dalam satu sidang media.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja bagi meninjau persiapan Syarikat Perceptive Logistics untuk pelaksanaan projek rintis itu di Pelabuhan Klang.

“SKDS ketika ini diberikan melalui dua saluran iaitu Skid Tank yang melibatkan permohonan dan pemprosesan secara manual dan Fleet Card yang menggunakan sistem MySubsidi Diesel KPDN.

“Ketika ini, hanya sektor pengangkutan darat (awam) menggunakan saluran Fleet Card manakala sektor pengangkutan barangan (darat), bot penumpang sungai serta feri dan bot ke pulau utama masih menggunakan saluran Skid Tank,” tambahnya.

Katanya penggunaan Fleet Card mampu mengurangkan jenayah penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi memandangkan sistem itu akan dipantau oleh KPDN dan syarikat minyak secara digital manakala Skid Tank hanya melibatkan pelaporan oleh syarikat terbabit.

“Pihak KPDN akan terus memantau pelaksanaan projek rintis ini dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini,” katanya.

Pengusaha bengkel perlu pamer senarai nama mekanik, sijil kemahiran – KPDN

PENGUSAHA bengkel kini perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di tempat yang mudah dilihat oleh pengguna, lapor Bernama.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berkata langkah ini bertujuan membolehkan pengguna mempunyai maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.

Menurut beliau lagi, syarat itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas.

Salahuddin berkata, langkah itu juga akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.

Selain itu, pengusaha juga perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula.

“Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka,” jelas beliau.

Untuk makluman anda, pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama.

Bagaimanapun, penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan. Penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.

“Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.

“Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” katanya.

Apa pendapat anda tentang peraturan baru ini? Bagi penulis, langkah ini bagus dan sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi kerana ia dapat melindungi hak pengguna yang inginkan perkhidmatan terbaik untuk kenderaan mereka.

Bahkan, dengan menggajikan mekanik-mekanik yang terlatih dan mempunyai sijil kemahiran, pengusaha bengkel juga dapat menarik lebih ramai pelanggan, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Subsidi bersasar diesel dijangka dilaksana tahun depan – Menteri KPDN

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan.

Menurut beliau, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang melibatkan beberapa kementerian semalam (17 Mei 2023) bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Katanya perbincangan itu melibatkan KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kesemua kementerian ini melihat dan sedang menyiapkan satu pangkalan data bersepadu bagi proses penyelarasan data yang berkesan.

Semua agensi dan kementerian sudah ada pangkalan data masing-masing, cuma kita perlu selaraskan semuanya dan pastikan ia tepat dan berkesan apabila ia (subsidi bersasar diesel) dilaksanakan,” katanya.

Pada Februari lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata kerajaan mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).