KTM dengan rasminya memperkenalkan KTM 1390 Super Duke R EVO untuk pasaran global sekaligus menjadi model sulung yang dikuasakan enjin 1,390cc terbaru.
Meskipun begitu, enjin baharu pada 1390 Super Duke R EVO sebenarnya bersesaran 1,350cc dengan angka “90” itu sekadar meneruskan kesinambungan barisan model KTM sedia ada. Ini bermakna berlaku kenaikan 49cc berbanding versi 1290 Super Duke R EVO (yang bersesaran 1,301cc).
Selain enjin, turut menyumbang kepada peningkatan kuasa adalah sistem ‘cam’ baharu yang membolehkan enjin menukar profil ‘cam’ mengikut kadar ‘rev’ enjin. Menariknya, meskipun lebih berkuasa, KTM memastikan enjin baharu ini menawarkan penjimatan kos penyelenggaraan apabila servis utama hanya perlu dilakukan selepas setiap 60,000km.
Walaupun komponen enjin rata-rata adalah baharu namun KTM 1390 Super Duke R EVO ini masih lagi mengguna pakai casis ‘steel tube’ yang sama diambil dari 1290 Super Duke R.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk suspensi WP Semi-Active Technnology di depan dan belakang yang boleh diselaraskan secara elektronik dengan tujuh mod pilihan; Auto, Comfort, Rain, Street dan Sport serta Track dan Pro (Track dan Pro hanya boleh dipilih dengan opsyen Suspension Pro).