Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang tidak meneruskan perjalanan susulan kejadian Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tergendala beberapa hari lepas.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu yang berlaku antara laluan Kamunting dan Bukit Merah.

“Kesulitan itu amat dikesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Mereka diminta menghantar permohonan ke emel: callcenter@ktmb.com.my.”
“Penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau emel kepada support@goinsure.com.my,” katanya.
Mengulas lanjut, KTMB menjelaskan bahawa seperti dimaklumkan melalui kenyataan rasmi, gangguan disebabkan talian elektrik (alat talian atas) terputus membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.
“Namun, kru tren bertugas sudah mengambil langkah membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku.
“KTMB turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, lokomotif bantuan juga sudah dihantar tetapi gagal menyelamatkan tren ETS yang terkandas, manakala pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.
“Selain itu, penumpang juga diberikan penyegar apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung isu perkhidmatan ETS Kuala Lumpur-Butterworth mengalami masalah teknikal dan terputus elektrik menyebabkannya terkandas dari sekitar jam 5 petang hingga hampir 8 malam.