Tag Archives: kuasa kuda

10 kereta produksi paling berkuasa di dunia (Bahagian 2)

Dalam artikel yang terdahulu, kami telah pun menyenaraikan 10 buah kereta produksi dengan angka kuasa kuda paling tinggi di dunia.

Berikut merupakan senarai 10 lagi kereta produksi baharu dengan angka kuasa kuda yang paling tinggi dalam dunia.

 

1. Lucid Air Sapphire

Lucid Air Sapphire merupakan sebuah sedan empat pintu yang direka untuk bersaing dengan Tesla Model S dan Porsche Taycan.

Varian Air Sapphire menggandingkan tiga motor elektrik dengan output keseluruhan 1,234 hp dan 1,939 Nm, menjadikan pecutan 0-96 km/j sepantas 1.9 saat sahaja.

Untuk sekali cas penuh, Air Sapphire boleh bergerak sejauh 687 km.

 

2. Aston Martin Valkyrie

Kereta sports hibrid produksi terhad ini merupakan hasil kerjasama antara Aston Martin dan juga Red Bull.

Dikuasakan oleh enjin V12 aspirasi semula jadi 6.5 liter yang dibina oleh Cosworth yang dipadankan dengan sistem hibrid, Valkyrie mampu menghasilkan kuasa 1,160 hp dan daya kilas 900 Nm.

0-100 km/j? 2.6 saat sahaja!

 

3. Chevrolet Corvette ZR1

Chevrolet baru sahaja mendedahkan model terbaharu Corvette ZR1 yang dibekalkan dengan nadi bentangan V8 flat-plane berkapasiti 5.5 liter turbo berkembar.

Enjin V8 yang paling berkuasa pernah diproduksikan di Amerika itu mampu menjana kuasa setinggi 1,064 hp dan 1,121 Nm yang memacu roda belakang sahaja!

 

4. Mercedes-AMG One

Mercedes-AMG One boleh disifatkan sebagai kereta F1 yang boleh dipandu secara halal atas jalan raya, dengan angka produksi dihadkan sebanyak 275 unit sahaja.

Ia menampilkan enjin F1 bentangan V6 1.6 liter dengan empat motor elektrik, dimana kuasa keseluruhan mampu mencecah 1,049 hp.

Sayang sekali, enjin tersebut hanya mampu bertahan sejauh 50,000 km sebelum ia perlu dibina semula.

Antara pemilik AMG One ini termasuklah Lewis Hamilton, Nico Rosberg, David Coulthard dan Valtteri Bottas.

 

5. Rivian R1T

Trak pikap elektrik tugas ringan Rivian R1T boleh didapati dalam tiga tetapan trenkuasa, di mana konfigurasi paling berkuasa dengan empat motor elektrik mampu menjana sehingga 1,025 hp dan 1,624 Nm, jauh lebih berkuasa berbanding angka 835 hp dan 1,231 Nm yang terdahulu.

Tidak seperti casis ladder frame yang digunakan oleh kebanyakan trak pikap, Rivian R1T menggunakan casis papan selaju yang menggandingkan bateri, sistem penyejukan, suspensi dan brek dalam satu struktur tunggal.

 

6. Tesla Model S Plaid

Walaupun Model S merupakan antara kereta yang tertua dalam senarai ini, namun varian Plaid telah diperkenalkan pada tahun 2021, sembilan tahun selepas Model S dilancarkan.

Dengan tiga motor elektrik, Tesla Model S Plaid mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,020 hp dan 1,420 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 2.07 saat diikuti kelajuan tertinggi 320 km/j.

 

7. Lamborghini Revuelto

Ini ialah supercar pertama Lamborghini yang mengguna pakai sistem pacuan plug-in hybrid (PHEV) berbanding model seperti Sian FKP 37 dan Countach LPI 800-4 yang dilengkapi dengan sistem hibrid ringan.

Nadi V12 6.5 liter NA (814 hp/725 Nm) digandingkan dengan tiga motor elektrik (187 hp/336 Nm) dengan kuasa keseluruhan 1,001 hp dan 1,062 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.5 saat, sementara kelajuan tertinggi pula melebihi 350 km/j.

 

8. GMC Hummer EV Edition 1

GMC Hummer EV merupakan kenderaan elektrik bateri dengan berat yang mampu mencecah 4,500 kg.

Varian Edition 1 didatangkan dengan tiga motor elektrik berkuasa 1,000 hp, jarak gerak sejauh 529 km, pakej Extreme Off-Road, dan ciri pergerakan Crab Walk.

Selain daripada versi trak pikap, GMC Hummer EV juga boleh didapati dalam versi SUV lima pintu.

 

9. Ferrari SF90

Ferrari SF90 dilengkapi dengan enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar, tiga motor elektrik, dan pek bateri berkapasiti 7.9 kWh yang membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 26 km.

Kuasa keseluruhan mampu mencecah 986 hp dan daya kilas maksimum 800 Nm.

Menariknya, SF90 tidak mempunyai gear undur, di mana operasi tersebut diambil alih oleh dua motor elektrik yang duduk pada gandar hadapan.

 

10. Tesla Cybertruck Cyberbeast

Model trak pikap elektrik yang paling banyak menimbulkan kontroversi untuk tahun 2024 ini turut mempunyai varian yang paling berkuasa – Cyberbeast.

Varian tiga motor elektrik itu berupaya menghasilkan 845 hp dan daya kilas 1,396 Nm, di mana pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 2.6 saat sahaja.

Dengan opsyen penambah jarak, Cyberbeast boleh bergerak sejauh 710 km.

Masalah utama yang melanda para pemilik Cybertruck ialah kualiti binaan yang kurang memuaskan, serta kemasan luaran keluli tahan karat yang cenderung untuk berkarat.

10 kereta produksi paling berkuasa dalam dunia (Bahagian 1)

Suatu ketika dahulu, kereta produksi sebenar dengan kuasa melebihi 1,000 hp agak sukar untuk ditemukan.

Namun dengan kemajuan teknologi semasa, ia kini sudah menjadi satu kelaziman di mana tiap pengeluar berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta yang mampu menghamburkan sehingga dua ribu kuasa kuda, baik kereta berenjin pembakaran dalaman atau kereta berkuasa elektrik.

Selagi wujudnya teknologi yang lebih maju, perlumbaan mengejar kuasa kuda tertinggi ini tidak akan padam.

Berikut merupakan senarai kereta produksi baharu yang paling berkuasa wujud di atas muka bumi ini:

 

1. Koenigsegg Gemera

Koenigsegg Gemera merupakan sebuah grand tourer empat tempat duduk, dan dibekalkan dengan nadi V8 hibrid 5.0 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 2,300 hp dan daya kilas 2,750 Nm.

Mahukan versi yang kurang berkuasa? Boleh dapatkan varian berenjin tiga silinder sebaris 2.0 liter hibrid, dengan output keseluruhan 1,400 hp dan 1,800 Nm.

Itu pun mungkin tidak akan dihasilkan oleh Koeniggsegg dalam masa terdekat memandangkan majoriti pemilik Gemera lebih menggemari nadi V8.

 

2. Lotus Evija

Lotus yang sangat terkenal dengan kereta-kereta ringan kini mula menceburkan diri dalam penghasilan kereta sports/supercar elektrik.

Evija yang diperkenalkan pada tahun 2019 mempunyai tetapan empat motor elektrik, setiap satu menjana kuasa 503 PS dengan kuasa keseluruhan 2,011 hp dan 1,704 Nm.

Kereta sports produksi terhad ini mampu bergerak sejauh 346 km, terima kasih kepada pek bateri 93 kWh.

 

3. Aspark Owl

Nama tak macam kereta Jepun, tapi Aspark Owl sebenarnya merupakan sebuah kereta sports elektrik yang dibangunkan oleh firma kejuruteraan Aspark yang berasal dari Negara Matahari Terbit.

Dengan tetapan empat motor elektrik (satu untuk setiap roda), Aspark Owl mampu menghasilkan kuasa 1,984 hp dan tork 2,000 Nm.

Pek bateri 69 kWh membolehkan ia bergerak sejauh 451 km untuk sekali cas penuh.

 

4. Pininfarina Battista

Sebuah lagi kereta pantas berkuasa elektrik yang wujud dalam senarai yang dihasilkan oleh Automobili Pininfarina GmbH.

Ia turut dikuasakan oleh empat motor elektrik dengan output keseluruhan mencecah 1,900 hp dan tork 2,300 Nm.

Pengecasan penuh bateri membolehkan kereta ini bergerak sejauh 450 km.

 

5. Rimac Nevera

Supercar buatan Rimac ini lahir dalam kilang sama yang turut digunakan untuk memasang Pininfarina Battista.

Rimac Nevera dipasangkan dengan empat motor elektrik yang menggerakkan setiap roda, menghasilkan kuasa 1,888 hp dan 2,360 Nm, dan kelajuan tertinggi mencecah 412 km/j – antara EV paling pantas dalam dunia.

 

6. Hennessey Venom F5

Hennessey Special Vehicles mula menghasilkan kereta sports Venom F5 sejak tahun 2020 di mana terdapat beberapa variasi yang ditawarkan kepada pelanggannya.

Tanpa mengira versi yang telah habis dijual atau versi Roadster yang sedang diproduksikan, setiap satu unit datang dengan nadi bentangan V8 6.6 liter turbo berkembar, menjana kuasa setinggi 1,817 hp dan daya kilas 1,617 Nm.

Kelajuan maksimum? Lebih 500 km/j!

 

7. Bugatti Tourbillon

Ini ialah kereta sports hibrid yang bakal diproduksikan bermula tahun 2026, Bugatti Tourbillon.

Dihadkan sebanyak 250 unit sahaja, Bugatti Tourbillon membawakan enjin bentangan V16 bersesaran 8,355 cc yang dipadankan dengan tiga motor elektrik.

Enjin itu sahaja berupaya menjana 986 hp/900 Nm, namun dengan bantuan motor elektrik, Tourbillon mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,775 hp dan 3,000 Nm.

0-100 km/j adalah sepantas 2.0 saat, diikuti 0-200 km/j bawah lima saat, sementara 0-400 km/j pula di bawah tempoh 25 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 380 km/j.

 

8. Koenigsegg CC850

Dibina sebagai satu penghormatan kepada model CC8S, Koenigsegg CC850 merupakan kereta produksi terhad sebagai sambutan ulang tahun kelahiran pengasasnya Christian von Koenigsegg yang ke-50.

CC850 meminjam enjin bentangan V8 5.0 liter turbo berkembar daripada model Jesko, dengan output 1,385 hp dan 1,385 Nm, atau 1,185 dengan menggunakan bahan api biasa.

 

9. SSC Tuatara

SSC Tuatara pada asalnya dikuasakan enjin bentangan V8 6.9 liter turbo berkembar, namun kapasiti enjin telah diturunkan kepada 5.9 liter bagi membolehkan ia mencapai garis merah yang lebih tinggi (8,800 rpm).

Menurut SSC, Tuatara berupaya menghasilkan kuasa setinggi 1,350 hp/1,735 Nm, atau sehingga 1,750 hp dengan menggunakan bahan api E85.

 

10. Czinger 21C VMax

Kereta dalam senarai terakhir ini dihasilkan oleh pengeluar automotif Amerika, Czinger Vehicles.

21C secara asasnya merupakan kereta sports hibrid dengan enjin V8 2.88 liter yang dipadankan dengan tiga motor elektrik, berkuasa 1,250 hp dan 1,830 Nm.

Pecutan 0-96 km/j hanyalah sepantas 1.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 407 km/j!

Honda Dash 125 2022 jengah pasaran, harga bermula RM6,449

MOTOSIKAL Honda Dash 125 2022 menjengah pasaran tahun ini dengan beberapa peningkatan spesifikasi menarik buat pengguna.

Honda Dash 125 2022 didatangkan dengan beberapa warna baharu termasuk merah, biru, kuning serta rekaan grafik baharu.

Selain itu, Honda turut memberi sentuhan ‘ranggi’ dengan mengenakan ‘spoiler’ baharu di atas panel lampu dan paparan meter.

Foto ihsan Honda

Pengguna pada masa sama tidak perlu risau dengan enjin yang dimuatkan pada motosikal Honda Dash 125 2022 ini.

Hal ini kerana ia mematuhi tahap emisi Euro 4 walaupun masih menggunakan unit satu silinder SOHC 124.9cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi.

Kuasa yang dapat dihasilkan pula sehingga 9.85hp pada 8,000 rpm dan 9.54 Nm tork pada 6,500 rpm.

Foto ihsan Honda

Berikut ciri menarik lain Honda Dash 125 2022:-

  • Lampu depan jenis LED
  • Tangki bahan api 4.0 liter
  • Rim 17 inci (tayar 70/90 hadapan dan 80/90 belakang
  • Penghidup enjin elektrik dan tendang
  • Suspensi fork teleskopik serta dua penyerap di belakang

Honda memberi jaminan selama dua tahun atau 20,000km dan sebarang harga dijual sekitar RM6,449.

Foto ihsan Honda

Ingin berjinak dengan superbike? Cuba dulu Honda CBR250RR

MOTOSIKAL jenis sport bike semakin mendapat permintaan tinggi dalam pasaran negara ini.

Terdapat pelbagai sebab sport bike menjadi pilihan sama ada ia pratikal untuk kegunaan di kawasan bandar atau setidak-tidaknya sebagai ‘mukadimah’ kepada rider yang ingin berjinak memiliki super bike.

Antara sport bike terdapat di pasaran adalah Honda CBR250RR yang sememangnya menjadi pesaing hebat dengan motosikal keluaran syarikat lain.

Melihat spesifikasi terdapat pada motosikal ini, tidak dinafikan ia cukup untuk memberi kepuasan kepada si penunggang.

Memiliki enjin silinder berkembar 250 cc, CBR250RR menjana 40 kuasa kuda @ 13,000 rpm dan daya kilas 25 Nm @ 11,000 rpm.

Selain itu, motosikal ini juga didatangkan dengan fungsi Quick Shifter, fork hadapan USD dan sistem ABS dua saluran.

Berdasarkan pengalaman tunggangan team Engear, ternyata CBR250RR mempunyai keistimewaan tersendiri.

Perkara pertama yang menarik perhatian kami adalah fungsi clutch yang sangat ringan sekaligus memudahkan penukaran gear.

Pada masa sama, CBR250RR juga mudah untuk dikendalikan dan ini membantu penunggang mengawal pergerakan motosikal dengan lebih yakin.

Persoalannya, adakah motosikal ini sesuai untuk kegunaan harian?

Mungkin bagi individu yang tidak mempunyai pengalaman menunggang motosikal ‘tangki’ atau sport bike akan merasa sedikit lenguh di bahagian lengan.

Namun, ia bukan suatu masalah besar jika penunggang mulai menyesuaikan diri dengan kedudukan tunggangan motosikal ini.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai pengalaman tunggangan team Engear bersama CBR250RR, saksikan video yang telah disediakan.

Enjoy!

BMW iX M60 mampu capai pecutan 0-100 km/j dalam 3.6 saat!

BMW memperkenalkan model terbaharunya iaitu BMW iX M60 yang mampu memenuhi ‘nafsu’ individu yang sukakan kelajuan.

Menariknya, model ini bukan sahaja dapat mencapai kelajuan tinggi malah, didatangkan dengan rekaan menarik.

BMW iX M60 dihasilkan dengan mempunyai ciri teknologi moden termasuk rangka aluminium spaceframe, sangkar karbon dan panel plastik bertetulang gentian karbon.

Foto ihsan BMW

Bagaimana pula dengan keupayaan enjin?

Model BMW iX M60 ini dilengkapi dengan dua motor elektrik Msekaligus menjana kuasa setinggi 610 kuasa kuda dan daya kilas 1,100 Nm bagi mod Sport.

Bagi mod standard, ia mampu mencapai 533 kuasa kuda dan daya kilas 1,015 Nm. Hebat bukan?

Selain itu, antara bukti kehebatan enjin BMW iX M60 ini adalah ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat!

Pek bateri berkapasiti 106.3 kWh pula membolehkan kereta ini dipandu sejauh 450 kilometer.

Foto ihsan BMW

Berikut antara ciri lain terdapat pada BMW iX M60:

  • Tetapan suspensi double-wishbone di hadapan
  • Gandar five-link di belakang
  • Sistem stereng Integral Active dan M Sport Brakes

Setakat ini, harga jualan BMW iX M60 2023 bermula $105,100 atau bersamaan RM440,527.