Peugeot Malaysia mengumumkan pembukaan pusat 3S (jualan, servis & alat ganti) Peugeot yang pertama di negeri Sarawak, terletak di bandar Kuching.
Dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Berhad, pusat 3S seluas 4,200 kaki persegi ini mempunyai ruang pameran yang mampu memuatkan empat buah kenderaan, satu tempat penyerahan, selain menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan jaminan.
Dengan adanya pusat 3S ini, ia dilihat dapat memenuhi keperluan komuniti pemandu Peugeot sekaligus mengukuhkan lagi komitmen jenama itu terhadap aspek kepuasan pelanggan.
Menurut Daniel Gonzales, Ketua Pegawai Operasi ASEAN & Pengedar Am Stellantis berkata, “Strategi kami untuk mengukuhkan kehadiran serta pertumbuhan PEUGEOT di Malaysia melibatkan pertambahan rangkaian pengedar, dan Malaysia Timur memainkan peranan penting dalam usaha pengembangan ini.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Heng Lian dan mengalu-alukan kehadiran mereka ke dalam rangkaian pengedaran kami sebagai Pusat 3S pertama. Kami juga akan terus meluaskan kehadiran ke pasaran Malaysia Timur ini.
“Bagi mengekalkan standard kepakaran paling tinggi, pasukan penyelenggaraan selepas jualan di PEUGEOT Kuching telah menjalani latihan yang komprehensif, sama ada secara dalam talian dan bersemuka dengan kerjasama Stellantis Malaysia. Komitmen ini turut melibatkan semua kakitangan pada masa depan demi memastikan semua pemilik kenderaan PEUGEOT menerima servis dan sokongan yang terbaik.”
Prinsipal Pengedar PEUGEOT Kuching, Sylvia Ng berkata, “PEUGEOT Kuching bukan sekadar sebuah bilik pameran, tetapi ia merupakan komitmen untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang luar biasa kepada para pelanggan kami.
“Pelaburan kami ke atas perkhidmatan selepas jualan, dari penyelenggaraan hinggalah sokongan jaminan memastikan para pelanggan baharu dan sedia ada PEUGEOT akan menerima penjagaan yang terbaik. Dengan pasukan yang terlatih dan lokasi strategik, kami bersedia untuk menetapkan standard baharu dalam aspek khidmat pelanggan dan kecemerlangan automotif.”
Para pelanggan Peugeot boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Stellantis di 1800-18-STLA, atau alternatifnya berhubung secara terus dengan pengedar Peugeot Kuching di talian 016-2171464.