Tag Archives: Kunitomo Asano

Kunitomo Asano dilantik Pengarah Urusan dan CEO Boon Siew Honda

Boon Siew Honda telah mengumumkan pelantikan Kunitomo Asano sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuat kuasa 1 April 2025.

Asano akan menggantikan Mitsuharu Funase, yang telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Divisyen Perlumbaan Motosikal di Honda Racing Corporation.

Asano yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran di Boon Siew Honda memiliki pengalaman selama lebih 20 tahun dalam industri motosikal, iaitu 10 tahun di Jepun dan 10 tahun di pasaran-pasaran antarabangsa termasuk Thailand, India dan Malaysia.

Pemahaman mendalam beliau tentang trend global dan dinamik pasaran tempatan menjadikannya sangat sesuai untuk memacu pertumbuhan Boon Siew Honda.

Kariernya bersama Honda bermula dengan satu penugasan di Malaysia. Beliau kemudiannya terlibat dalam perancangan produk, perniagaan eksport dan strategi pemasaran di pelbagai rantau.

Selama menjawat jawatannya, Asano memainkan peranan penting dalam menstabilkan dan meningkatkan jualan serta mengukuhkan kecekapan operasi.

Di bawah pimpinan beliau, Boon Siew Honda berjaya memperkenalkan model motosikal baru, memperluas rangkaian pengedar BigWing, dan melancarkan kempen tunggang uji strategik.

Sebagai CEO baharu, Asano komited untuk terus memperkukuhkan kehadiran jenama Honda di Malaysia. Beliau juga mensasarkan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, memperbaiki rangkaian perkhidmatan, dan memacu inovasi produk yang berterusan.

Di samping itu, beliau memberi penekanan besar pada keselamatan penunggang, menangani cabaran berkaitan trafik dengan teknologi keselamatan maju dan inisiatif pendidikan.