Tag Archives: kymco

Kerjasama Harley-Davidson dan Kymco bakal terlaksana menerusi LiveWire

Selepas mempamerkan model konsep SuperNEX pada 2018 dan RevoNEX pada 2019 di EICMA, Kymco  kemudiannya mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model sebenar.

Selepas beberapa tahun, akhirnya Kymco bakal merealisasikan projek motosikal elektrik itu namun menerusi beberapa perubahan drastik kepada reka bentuk asal. 

Pada awalnya, Kymco mahu memperkenalkan motosikal elektrik itu secara sendirinya termasuk membangunkan sistem transmisi khas yang menggabungkan platform elektrik dengan transmisi manual konvensional. Pada masa sama, Kymco juga bercadang menubuhkan kilang sendiri di Itali bagi menghasilkan kedua-dua model ini.

Bagaimanapun, pelan asal itu telah diketepikan pada tahun 2022 apabila Kymco mendedahkan konsep generasi kedua yang membawa nama RevoNEX dan SuperNEX namun dengan reka bentuk berbeza. Senario itu berlaku selepas Kymco memeterai kerjasama dengan LiveWire (jenama elektrik milik Harley-Davidson) bagi membangunkan model LiveWire S3. 

Perkembangan itu secara tak langsung mendedahkan bahawa RevoNEX dan SuperNEX akan dibangunkan mengguna pakai platform LiveWire. 

Pertalian antara RevoNEX dan SuperNEX bersama LiveWire lebih jelas apabila Kymco memfailkan paten yang jelas memaparkan reka bentuk RevoNEX namun dengan casis dan trenkuasa LiveWire. 

Setakat ini belum ada maklumat terperinci sejauh mana perbezaan antara S3 dengan S2 dari segi prestasi dan jarak gerak (range) ditawarkan. Namun, mengambil kira LiveWire pernah memaklumkan bahawa S3 merupakan motosikal elektrik yang lebih ringan, kami menjangkakan penggunaan bateri dan motor elektrik yang lebih kecil berbanding S2. 

Petanda aras baharu skuter maxi, KYMCO AK550 kini di Malaysia – RM65,600

Skuter maxi, KYMCO AK550 Premium akhirnya tiba di Malaysia menerusi Modenas selaku pengedar rasmi jenama itu. 

Untuk rekod, Kymco AK Premium 550 merupakan varian ‘flagship’ yang lahir daripada model standard, AK550 yang diperkenalkan pada 2017.

Varian Premium ini dibezakan dengan ciri dan kelengkapan yang lebih maju termasuk traction control, cruise control dan Advanced Intelligent Braking System (AIBS) yang turut merangkumi Cornering ABS. 

Model ini juga hadir dengan dua mod menungggang; Standard dan Rain selain daripada penghadang angin boleh laras dan lampu LED dengan DRL (daytime running light). 

Ciri lain yang menonjol termasuk tangki 14.5L, storan luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan satu helmet ‘full-face’, sistem tanpa kunci (keyless), skrin digital LCD bersama TFT dan dua port pengecas USB. Menariknya, skrin TFT tersebut boleh disambungkan ke telefon pintar bagi mengakses aplikasi Nodooe (navigasi). 

Tidak dilupakan turut hadir adalah pakej brek Brembo M4 berkembar di depan, fork USD depan dan suspensi horizontal trailing arm di belakang. 

KYMCO AK550 Premium ini dikuasakan enjin parallel-twin 550cc dengan ‘270-degree crank’ yang berupaya menjana 51hp dan 52Nm.