Tag Archives: Lambretta Malaysia

Konsep skuter elektrik retro Lambretta Elettra buat kemunculan di MAS 2025

Dua tahun lepas, Lambretta memperlihatkan sebuah model konsep skuter elektrik Elettra di acara pameran EICMA di Milan, Itali, dan kini ia muncul di Malaysia Autoshow 2025.

Lambretta Elettra membawakan penampilan retro klasik, dengan struktur belakang skuter tersebut boleh diangkat sepenuhnya untuk akses ruang storan yang mampu memuatkan sebuah helmet.

Tinggi pelana pula adalah sekitar 780 mm.

Sistem suspensi terdiri daripada penyerap hentak berkembar di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak yang dipasang secara mendatar di bahagian belakang.

Secara standard, Elettra datang dengan rim 12 inci yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Rosso Scooter bersaiz 110/90 dan 120/80 belakang.

Lambretta Elettra ini dilengkapi motor elektrik tunggal berkuasa 15 hp dan daya kilas 257.6 Nm.

Pek bateri lithium-ion 4.6 kWh membenarkan Elettra ini bergerak sejauh 104.6 km untuk sekali cas penuh.

Skuter ini menyokong pengecasan pantas 20-80 peratus dalam masa 36 minit, sementara penggunaan soket domestik 220 volt pula membenarkan pengecasan penuh selama 5.5 jam.

Terdapat tiga mod iaitu Eco (had laju 40 km/j, jarak sehingga 127 km), mod standard (had laju 72 km/j, jarak cecah 70 km), serta mod Sport (had laju 80 km/j, jarak tunggangan 62.8 km).

Anda masih berpeluang untuk melihat skuter futuristik ini dengan lebih dekat di Malaysia Autoshow 2025 bermula 9-15 Mei ini di MAEPS, Serdang.

 

Lambretta G350 Series II kini di Malaysia – RM29,800

Sebuah lagi skuter gaya klasik ditawarkan oleh Lambretta untuk pasaran Malaysia, iaitu G350 Series II.

Memasuki generasi kedua, G350 Series II turut membawakan gaya klasik namun dengan kombinasi warna yang lebih berani.

G350 Series II dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 330 cc menghasilkan 26.5 hp @ 7,500 rpm dan 25.3 Nm @ 6,750 rpm.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED depan, lampu belakang LED yang nipis, skrin paparan TFT digital, serta pengecas USB di dalam glove box.

Casis keluli monocoque skuter ini disokong oleh tetapan suspensi jenis double arm-link dengan penyerap hentak berkembar untuk roda depan, serta tetapan penyerap hentak berkembar di belakang.

Secara standard, G350 ini hadir dengan tetapan brek yang terdiri daripada rotor bersaiz 240 mm depan dan belakang, serta sistem brek ABS.

Tangki bahan api adalah sebesar 9 liter, sementara tinggi pelana pula 790 mm.

Terdapat tiga kombinasi warna menarik yang boleh dipilih, iaitu Bianco-Rosso (pelana hitam), Nero-Bianco (pelana merah) dan Grigio-Bianco (pelana hitam).

Lambretta G350 Series II dijual pada harga RM29,800.

Lambretta X300 GT 2025 rasmi di Malaysia – RM26,800

Peminat skuter dengan reka bentuk retro klasik kini boleh mendapatkan barisan model terbaharu yang dilancarkan oleh Lambretta di Malaysia Autoshow 2025.

Salah satu daripadanya ialah Lambretta X300 GT, sebuah skuter dengan penggayaan ala grand touring.

X300 GT didatangkan dengan ciri unik seperti cermin penghadang angin, sistem lampu LED depan, lampu belakang rekaan tujuh bar kristal lengkap dengan sistem IFS (Integrate-Fuction Signals) dalam satu perumah tunggal.

Bahagian sisi pula dihiasi dengan jalur berlogo 300 GT serta corak papan dam.

Sistem suspensi menggunakan tetapan double arm-link pada roda depan (dengan tujuh tahap larasan), diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Brek pula menggunakan rotor bersaiz 220 mm di depan, rotor bersaiz 240 mm di belakang lengkap dengan sistem ABS dua saluran.

Lambretta X300 GT dikuasakan oleh enjin silinder tunggal Lambretta Super Performance (LSP) 275 cc dengan kuasa 25.1 hp @ 8,250 rpm, dipadankan dengan tangki bahan api sebesar 7.5 liter.

Tempat duduk pula membawakan rekaan klasik dengan ketinggian sekitar 790 mm.

Akhir sekali, skrin paparan TFT yang boleh dihubungkan kepada peranti pintar, selain menawarkan beberapa ciri yang boleh disesuaikan termasuklah lima tema dan enam tahap kecerahan yang boleh dipilih.

Untuk pasaran Malaysia, Lambretta X300 GT dijual pada harga RM26,800, serta hadir dengan dua pilihan warna iaitu Light Grey dan Super Black.