Tag Archives: lampu isyarat

Sarawak guna lampu isyarat AI di simpang berisiko kemalangan

SARAWAK sedang menguji kamera litar tertutup (CCTV) dengan kecerdasan buatan (AI) pada lampu isyarat di sekitar bandaraya Miri. Inisiatif ini sebagai usaha mengurangkan kesalahan trafik, kesesakan, dan kemalangan jalan raya.

Buat masa ini, CCTV itu dipasang di lampu isyarat Jalan Merbau dan Jalan Pujut-Miri. Dengan penggunaan AI, CCTV ini mampu merakam kelajuan kenderaan, mengenal pasti nombor pendaftara, serta mengenal pasti beberapa kesalahan trafik.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, projek itu telah menunjukkan hasil positif dalam masa seminggu penggunaannya.

Katanya, seorang pesalah trafik berulang telah dirakam oleh kamera kerana memandu laju sebanyak lapan kali dalam tempoh seminggu.

“Tempoh ujian akan berlangsung selama enam bulan dan keputusannya akan dibentangkan kepada kementerian untuk menentukan langkah seterusnya,” kata Lee.

Beliau menerangkan data yang dikutip akan dianalisis untuk mendapatkan maklumat berkenaan tingkah laku trafik, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, dan membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Lee berkata hampir mustahil untuk ‘lari’ dari pengecaman kerana sistem itu mampu mengenal pasti data seperti aliran trafik, warna kenderaan, jenis, model, jenama, kelajuan, nombor pendaftaran, dan terus merekodkan kesalahan pemandu.

Bagi kami, ini satu insiatif yang bagus bagi penggunaan AI untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Mungkin aplikasi ini boleh diperluaskan lagi dengan meletakkan juga CCTV AI di lorong kecemasan dan kawasan sesak untuk merekodkan pemandu yang memotong barisan atau menyalah guna lorong kecemasan.

Pastinya banyak lagi penggunaan yang boleh dimanfaatkan dari CCTV AI ini selain dari di simpang lampu isyarat.

Kenderaan tidak berhenti walaupun lampu pejalan kaki hijau, inilah Malaysia!

BANDAR raya seperti Kuala Lumpur pastinya sibuk dengan kenderaan dan pejalan kaki, terutamanya pada waktu puncak.

Baru-baru ini seorang lelaki meluahkan rasa kecewa apabila pengguna jalan raya di bandar raya ini tidak memberhentikan kenderaan walaupun lampu isyarat bertukar warna merah dan lampu lintasan pejalan kaki berwarna hijau.

Hijaz Ridzwan berkongsi satu video pendek berdurasi 15 saat di akaun Facebook miliknya tentang hal ini. Katanya, dia dan keluarga sedang berjalan dari hotel ke KLCC.

“Apabila sampai pedestrian crossing (lintasan pejalan kaki), alangkah terkejutnya kami apabila tidak ada satu pun kereta berhenti walaupun lampu mereka dah merah,” tulisnya.

“Nasib baik anak-anak tak terus lari lintas jalan. Selamat datang ke KL.”

Dia turut menambah dalam nota tambahan bahawa mereka melihat dengan mata sendiri bahawa lampu isyarat untuk kereta bertukar merah, bukannya isu lampu rosak.

Perkongsian itu telah mendapat lebih 3,400 Like, 1,800 komen dan 4,000 Share semasa artikel ini ditulis.

Ia mendapat pelbagai respon dari warganet yang rata-ratanya mengecam tindakan pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan lampu isyarat dan tidak meghormati pejalan kaki.

Kami memang bersetuju dengan komen warganet kerana pengguna jalan raya patut peka dengan sebarang isyarat, halangan atau papan tanda di depan. Kita semua belajar benda yang sama semasa mengambil lesen memandu, bukan?

Tetapi kita juga boleh mengambil kira faktor-faktor lain seperti papan tanda sebelum lintasan pejalan kaki, adakah ia jelas memaparkan maklumat, adakah ia dalam keadaan baik dan tidak dilindungi pokok dan sebagainya.

Mungkin juga faktor lintasan pejalan kaki yang kadang-kadang tidak konsisten, ada di tempat yang tidak disangka. Kebiasaannya, lintasan pejalan kaki diletakkan di simpang-simpang dengan lampu isyarat.

Jika diletakkan di jalan lurus yang panjang, terdapat kemungkinan pengguna jalan raya tidak perasan atau terpaksa brek mengejut di saat-saat akhir.

Apa pun, pandu dan tunggang dengan selamat semua, dan sama-sama kita hormati pejalan kaki.

Hilux rempuh Myvi, seorang wanita meninggal dunia

TINDAKAN sebuah kenderaan yang didakwa tidak mematuhi lampu isyarat mengundang padah apabila ia terlibat dalam satu kemalangan.

Walaupun berlaku pada 24 April lalu, video kemalangan itu bagaimanapun tular di media sosial hari ini.

Insiden dikatakan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar, Johor.

Kemalangan meragut nyawa seorang wanita berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, anak kepada wanita terbabit dilaporkan cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) Toyota Hilux dipandu laju sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Pada masa sama, insiden turut melibatkan beberapa kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.