Tag Archives: lawan arus

Suspek lawan arus hingga sebabkan kematian penunggang Ducati mengaku OKU

SEORANG lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas kesalahan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal Ducati bulan lalu, mengaku orang kurang upaya (OKU) dan menerima rawatan sebagai pesakit mental.

Ketika prosiding di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail berkata, anak guamnya, Mudzyadaha Mohammad, 42, telah menerima surat rujukan daripada doktor semasa ditahan di sebuah hospital di Kajang malah mendapat ubat untuk rawatan psikiatri.

Sebelum kejadian, peguam itu berkata, tertuduh merupakan seorang OKU dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Foto: Media Sosial

“Semasa kejadian, anak guam tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran, jadi saya mohon agar mahkamah membenarkan dia menjalani ujian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran tidak membantah perkara tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Amalina mengarahkan tertuduh menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Pada pagi Isnin, Muzyadaha yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku tidak bersalah atas tuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.

Kesalahan didakwa dilakukan di kilometer 22.2 Lebuhraya Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) di sini, pada jam 1.10 petang, 14 Jun lalu

Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ SUKE akibat elak motosikal lawan arus

SEORANG lelaki meninggal dunia selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya sebelum jatuh dari jejambat Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE).

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kini tular di media sosial, penunggang motosikal jenis Ducati itu dilihat cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudiannya gagal mengawal motosikal lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum terjatuh ke bawah jejambat.

Mangsa dikatakan mengalami kecederaan parah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat selepas hasil siasatan awal diperoleh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya.

Saksi diseru tampil bantu kes Bezza langgar orang, lawan arus di SKVE

SAKSI kemalangan di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala Bandar Saujana Putra diminta tampil membantu siasatan polis.

Polis berkata, individu menyaksikan insiden tersebut diharap tampil dengan segera bagi memudahkan siasatan kes.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222.

Jelas pihak polis, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenderaan Perodua Bezza dipercayai melawan arus dan melanggar penunggang motosikal di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) . – Foto tangkap layar video tular di Facebook

Terdahulu, seorang lelaki memandu secara melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di SKVE ditahan polis.

Memetik laporan Bernama, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas mendapatkan rawatan ekoran kecederaan bahagian kepala di Hospital Banting, semalam.

Kejadian jam 2 petang semalam menyaksikan pemandu Perodua Bezza itu melanggar seorang penunggang motosikal.

Pemandu kereta itu kemudian bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal.

Susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.