Tag Archives: LCV

PETRONAS lancar minyak pelincir Urania LCV

PETRONAS Lubricants International baru-baru ini melancarkan produk minyak pelincir PETRONAS Urania Light Commercial Vehicle untuk pasaran tempatan.

Diformulasikan dengan teknologi StrongTech™, minyak enjin PETRONAS Urania LCV ini memberikan manfaat kepada para pemilik kenderaan komersial ringan seperti penggunaan lebih lama tanpa memerlukan servis yang kerap, sekaligus mengurangkan kos penyelenggaraan.

Selain itu, ia juga menawarkan prestasi yang lebih baik di dalam pelbagai keadaan pemanduan, termasuklah operasi harian, pengurusan armada serta cabaran off-road yang lebih ekstrem.

Terdapat tiga gred kelikatan yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan yang pelbagai, seperti berikut:
• PETRONAS Urania 5000 LCV LA 5W-30
• PETRONAS Urania 3000 LCV LA 10W-40
• PETRONAS Urania 3000 LCV 15W-40

Minyak enjin PETRONAS Urania LCV kini boleh didapati di semua pengedar sah, pusat servis PETRONAS AutoExpert, rakan bengkel serta stesen minyak PETRONAS di seluruh negara.

Sunshine EV ialah sebuah kei van versatil buatan China

Sekali imbas, ini mungkin sekali model kei van terbaharu yang datang dari pasaran Jepun.

Namun, usah tertipu kerana logo yang terpampang itu menyatakan segalanya – ia adalah kenderaan komersial ringan (LCV) yang dihasilkan oleh SAIC-GM-Wuling.

Memfokuskan kepada praktikaliti dan pakej yang mampu milik, Sunshine EV sememangnya mengambil inspirasi daripada barisan model kei van buatan Jepun, dengan rekaan hidung pendek, roda yang kecil, pintu gelangsar kiri dan kanan, serta dimensi badan yang tinggi.

Jika dibandingkan ukuran dimensi, Sunshine EV mempunyai saiz yang besar sedikit berbanding kei van buatan Jepun, dengan ukuran sepanjang 3,685 mm, lebar 1,530 mm, tinggi 1,750 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,600 mm.

Dalam konfigurasi lima tempat duduk, Sunshine EV mampu menawarkan ruang kargo sebesar 527 liter, atau sehingga 1,117 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Untuk ruang kabin, ia membawakan kelengkapan yang serba asas, namun mementingkan aspek praktikaliti dan versatiliti untuk pelbagai jenis kegunaan.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, van kecil ini boleh diubah menjadi pelbagai jenis kedai bergerak, atau digunakan sebagai van pekhemah, atau dijadikan sebagai bengkel mini yang lengkap dengan perkakasan professional.

Dari segi kuasa, EV ini mendapat motor elektrik tunggal 40 hp dengan kelajuan tertinggi sekitar 100 km/j.

Pembeli boleh mendapatkan pilihan pek bateri berkapasiti 17.6 kWh, atau pilihan kapasiti 26.5 kWh yang boleh ditukar menerusi jaringan penukaran bateri CATL.

Sunshine EV akan dilancarkan di pasaran China seawal tahun 2025, dengan harga jualan bermula sekitar 50,000 yuan (RM30,580).