Tag Archives: le tour de langkawi

Le Tour de Langkawi dikeluarkan daripada kalendar antarabangsa – apa cerita ni?

PERLUMBAAN jelajah berbasikal terkemuka negara Le Tour de Langkawi (LTdL) telah dikeluarkan daripada kalendar antarabangsa Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) tahun ini.

Menurut laporan New Straits Times, ini menimbulkan kebimbangan sama ada perlumbaan ikonik akan diadakan atau pun tidak. LTdL dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab berkata beliau bimbang LTdL akan dikeluarkan dari kalendar UCI tahun depan berikutan isu bayaran penampilan dan tiket penerbangan kepada pasukan yang bertanding tahun lalu.

Awal bulan ini, PKBM mendedahkan bahawa lima pasukan telah mengadu kepada UCI selepas mereka tidak menerima bayaran penampilan seperti yang dijanjikan oleh penganjur LTdL sebelum ini. Human Voyage menganjurkan perlumbaan itu pada 2019, 2020 dan 2022.

Isu pembayaran ini menyukarkan LTdL untuk mendapatkan penyertaan WorldTeams untuk acara tahun ini.

Gambar oleh: Le Tour de Langkawi/Facebook

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh percaya isu LTdL 2023 dikeluarkan daripada kalendar antarabangsa dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari ini.

Menurut Hannah, Majlis Sukan Negara (MSN) dan PKBM sedang berbincang dengan UCI untuk menyelesaikan isu itu.

“Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh berkata pihaknya sedang berbincang dengan UCI mengenai cara untuk cari penyelesaian. Tunggu beberapa hari untuk dapat maklumat daripada mereka,” katanya kepada Astro Awani.

Tambah beliau lagi, isu tunggakan pembayaran itu bukan masalah baharu tetapi sudah lama wujud.

Le Tour de Langkawi 2022 kembali 11 hingga 18 Oktober ini

ACARA Petronas Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL) bakal diadakan pada 11 hingga 18 Oktober ini, kembali setelah ia dibatalkan pada 2021 disebabkan pandemik dan sekatan pergerakan.

Acara lumba basikal itu akan mengambil tempat di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia. Peringkat pertama di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Selasa 11 Oktober, sebelum berakhir di Kuala Lumpur selepas 157km.

Hari kedua ialah di luar bandar dari Kuala Klawang ke Raub, peringkat terpanjang acara ini dengan 178km. Sementara itu hari ketiga akan menyaksikan “Queen Stage” dari Putrajaya ke puncak Genting Highlands, 13 Oktober.

Kemudian acara bergerak keluar dari bandar untuk Jumaat dan Sabtu, dengan peringkat Sabak Bernam-Meru dan Kuala Kangsar-Kulim.

Imej oleh: Sukanz

Pada Ahad 16 Oktober, pelumba akan meneruskan saingan dari Georgetown, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah, kemudian diikuti ke Langkawi pada Isnin. Peringkat di pulau peranginan ini akan mengambil tempat di lingkaran Kuah-Langkawi pada 18 Oktober.

Anda oleh jangkakan penutupan jalan dan lencongan pada hari-hari dan kawasan terlibat. Penutupan jalan akan bermula seawal jam 6:00 pagi sehingga empat atau enam jam kemudian.

Jika anda berada di kawasan berdekatan, sila rancang perjalanan anda.