Tag Archives: lebuh raya

Lebuh raya CSR Bentong-Lebu dibuka hari ini

CENTRAL Spine Road (CSR) dari Bentong ke Lebu dibuka hari ini untuk pengguna jalan raya.

Laluan empat-lorong sepanjang 28.5km itu ialah bahagian Seksyen 5 (Kampung Asap – Kampung Sertik yang dikenali sebagai 5C dan Bentong yang dikenali sebagai 5D).

Sumber: Media sosial

Apabila dibuka, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur atau Kuantan yang mahu ke Raub, Lipis dan Kelantan tidak perlu lagi melalui bandar Bentong.

Mereka yang melalui lebuh raya Karak boleh memasuki CSR berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong sebelum keluar di Lebu untuk menyambung perjalanan ke jalan lama sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka hadir untuk membuka laluan itu hari ini.

Wan Rosdy – yang memeriksa laluan itu di Mempaga minggu lepas – berkata sub-pakej 5C dan 5D itu adalah sebahagian dari laluan penuh sepanjang 350km yang merentasi dari Kuala Krai, Kelantan dan Bentong.

“Seperti disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan RMK-12, projek RM8.7 bilion itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

“Apabila siap, CSR akan mengurangkan masa perjalanan dan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya. Ia juga akan membantu meningkatkan status sosio-ekonomi rakyat dengan menyediakan infrastruktur berkualiti pada kawasan-kawasan terlibat,” tulisnya di laman Facebook.

CSR dibina menggunakan teknik Continuously Reinforced Concrete Pavement (CRCPP). Ia mempunyai enam fasa: dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan (47km), Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan (60km), Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (94km), Kampung Relong ke Raub, Pahang (45km), Raub ke Bentong (54km); dan Bentong ke Simpang Pelangai (47km).

Pesawat penyerang A-10 Thunderbolt buat latihan mendarat dan berlepas di jalan raya

PENDUDUK di utara Michigan biasa melihat pesawat tentera terbang rendah, tapi tidak serendah ini. Pada 5 Ogos lepas, enam buah pesawat dari Michigan Air National Guard mendarat dan berlepas dari sebuah jalan raya dua-lorong.

Latihan bersejarah itu melibatkan dua buah pesawat penyerang A-10 Thunderbolt dan dua pesawat pengangkut C-146, serta dirakam oleh 127th Wing of the Michigan yang berpangkalan di Selfridge Air National Guard Base. Ia latihan pertama seumpamanya yang dilakukan di jalan raya awam.

A-10 Thunderbolt dalam latihan pendaratan di jalan raya. Gambar: Facebook/127th Wing

Menurut MLive.com, jalan raya itu ditutup selama lima jam untuk latihan itu. Ia sebahagian dari misi latihan tahunan Northern Strike, tapi ia tidak pernah dibuat di jalan raya awam.

Tetapi hanya tidak pernah mendarat di jalan raya di Amerika Syarikat (AS). Pesawat A-10 dari skuadron itu sebelum ini pernah membuat pendaratan jalan raya di Estonia pada 2018. Dan latihan seumpama ini biasa dilakukan oleh pasukan tentera lain seluruh dunia.

Pesawat Saab Gripen milik Tentera Udara Sweden yang membuat latihan pendaratan di jalan raya. Gambar: Blog Before Flight

Terdapat juga yang berkata jalan raya di AS sebenarnya memang direka mempunyai beberapa bahagian lurus untuk digunakan oleh pesawat tentera sekiranya berlakunya peperangan.

Mendarat di jalan raya mungkin nampak biasa, tetapi dari presepektif juruterbang, ia agak mencabar. Di lapangan terbang, juruterbang mempunyai titik rujukan dan prosedur spesifik untuk memasuki aliran trafik udara, membuat pusingan, dan mendarat.

Tanda-tanda di landasan adalah serupa di semua lapangan terbang, dan landasan juga biasanya lebih lebar dari jalan raya dua-lorong. Latihan sebegini memberi peluang kepada juruterbang merasai pengalaman beroperasi di kawasan luar biasa sekiranya berlaku kecemasan.

Dan paling penting, ia nampak cool untuk ditonton.

Anih jangka 100,000 kenderaan guna KLK, LPT1 sempena Aidilfitri

ANIH Bhd menjangkakan purata harian kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) meningkat sehari sebelum Aidilfitri sehingga 17 Mei.

Syarikat konsesi itu menjangkakan jumlah kenderaan bakal meningkat lebih 100,000.

Pengarah Eksekutif Anih Bhd berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah 70,180 kenderaan menggunakan KLK sementara 40,250 bagi LPT1 menjelang Aidilfitri.

“Semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT1 mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP).

“Pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhinya ketika menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” kata Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dalam satu kenyataan.

KLK dan LPT1 merupakan antara lebuh raya paling sibuk ketika menjelang sesuatu perayaan.

Kedua lebuh raya itu menghubungkan beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Anih Bhd bersedia dalam usaha menguruskan operasi tol, trafik dan fasiliti.

Langkah terbabit dibuat memandangkan negara berdepan peningkatan kes Covid-19 yang kian membimbangkan.

Sementara itu, orang ramai ingin mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan di KLK dan LPT1 boleh layari laman web Anih Berhad atau akaun media sosial.

Pelbagai sektor ekonomi beroperasi semula, polis tingkat rondaan lebuh raya

USAHA pemantauan pihak polis di lebuh raya seluruh negara dipertingkatkan selepas hampir kesemua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Susulan itu, elemen Peronda Lebuh Raya (EMPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke semua sektor lebuh raya.

Memetik laporan Bernama, rondaan itu bertujuan memantau keadaan sekaligus membantu menyuraikan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengesan peningkatan aliran trafik di semua lebuh raya dan jalan utama seluruh negara.

Unit EMPV digerak bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya termasuk rondaan cegah kemalangan serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan memansuhkan syarat 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Operasi sektor swasta turut dibenarkan 100 peratus bagi bahagian pengurusan, penyelia dan bahagian operasi serta sokongan.