Tag Archives: Lebuhraya WCE

Seksyen 2 WCE mula dibuka hari ini, hubungkan Banting terus ke Shah Alam, Klang

Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kini dibuka kepada pengguna lebuh raya bermula 22 Januari 2025 jam 12.01 tengah malam tadi.

Dengan pembukaan jajaran sepanjang 7.2 km ini, pengguna kini mempunyai laluan alternatif dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Kajang, Putrajaya, Kajang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau sebaliknya.

Selain itu, ia juga menawarkan sambungan terus ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Pembukaan jajaran baharu ini akan melengkapkan lagi jajaran Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE yang telah dibuka pada 31 Ogos 2024, dan mempercepatkan tempoh perjalanan berbanding jalan sedia ada.

Bersempena dengan pembukaan jajaran baharu ini, bayaran tol tidak akan dikenakan untuk pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) atau sebaliknya, bermula 22 Januari hingga 21 Februari 2025.

Jajaran terbaharu ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 km yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping, Perak.

Kutipan tol Lebuhraya WCE Seksyen 1 Banting-SKVE bermula 30 September ini

Setelah sebulan beroperasi secara percuma, West Coast Expressway (WCE) Jajaran Seksyen 1 (Banting-SKVE) akan memulakan kutipan tol pada 30 September 2024 jam 12.01 tengah malam.

Kadar tol yang dikenakan di Jajaran Seksyen 1 Lebuhraya WCE diintegrasikan sepenuhnya dengan Lebuhraya SKVE melalui Persimpangan Tanjung Dua Belas, mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna termasuk bahagian perjalanan di Lebuhraya SKVE.

Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag, dan RFID.

Pengguna dinasihatkan supaya memastikan baki e-dompet dan kad TnG mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan di plaza tol.