Tag Archives: lebuhraya

18 laluan SmartLane akan diaktifkan sempena Aidiladha – PLUS

Bagi memastikan pergerakan trafik lancar semasa cuti perayaan Aidiladha yang akan datang, PLUS Malaysia Berhad akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya di bawah kendaliannya.

Lokasi dan tarikh pengaktifan SmartLane adalah seperti berikut:

PLUS berkata, ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.

Laluan SmartLane yang diaktifkan boleh dikenal pasti menerusi pemasangan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light). Selain itu, PLUS turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan di lokasi-lokasi Smart Lane yang terlibat.

Tambah syarikat konsesi itu lagi, Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang.

Sementara itu, bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik, PLUS akan memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya PLUS di antara 12 Jun hingga 19 Jun 2024 yang akan datang.

Namun begitu, pengecualian diberikan untuk kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan serta pembaikan kritikal.

Untuk mengagihkan trafik, PLUS turut menyediakan jadual perjalanan digital iaitu MyPLUS-TTA menerusi Aplikasi PLUS.

Pengguna hanya perlu mendaftarkan perjalanan mereka di dalam aplikasi tersebut untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum pada perjalanan sempena perayaan Aidiladha di antara 13 Jun hingga 18 Jun 2024 yang akan datang.

Selain itu, orang ramai boleh menikmati kemudahan tandas awam yang telah ditambah baik di 32 lokasi di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah serta plaza tol terpilih.

Tol percuma sempena Deepavali mulai esok hingga Ahad

KERAJAAN bersetuju memberikan kemudahan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya selama dua hari bermula esok, sempena cuti sambutan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, berkata pelaksanaan pemberian tol percuma itu akan bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga Ahad, berakhir jam 11.59 malam.

“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebuhraya MEX laksana sistem pembayaran terbuka mulai hari ini

PENGGUNA Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) boleh membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit menerusi Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) yang dilaksanakan mulai hari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sistem berkenaan memberikan alternatif baharu dan memudahkan pengguna membuat bayaran tol.

Sebagai permulaan, enam lorong di Lebuhraya MEX akan dibuka untuk pengguna menggunakan kemudahan SPT itu.

“Ia adalah sebahagian inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan sistem SPT di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September depan,” katanya.

Selain Lebuhraya MEX, kemudahan SPT juga akan dilaksanakan di lebuh raya berikut:

  • Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)
  • Lebuhraya Besraya
  • Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE)
  • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
  • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
  • Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)
  • Lebuhraya Shah Alam (Kesas)
  • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
  • Terowong SMART
  • Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke)
  • Jambatan Pulau Pinang (JPP)

Tambah beliau lagi, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) mula menguji sistem tersebut sejak Julai 2023 bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Mengulas lanjut mengenai persediaan sistem berkenaan, Nanta berkata pihak KKR sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini sedang dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya.

“Pelaksanaan SPT harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan,” katanya.

Pengguna dinasihatkan supaya memastikan baki kad debit atau kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol. Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna boleh menggunakan kad bank lain atau kad TnG.

Selain itu, LLM juga sudah meminta semua syarikat konsesi yang terbabit dengan inisiatif SPT untuk menempatkan petugas di lorong tol untuk memberi panduan kepada pengguna sekiranya perlu.

Lebuhraya Karak akan dilebarkan, tiada lagi ‘jem’?

LEBUHRAYA Karak menjadi antara laluan paling sesak menjelang musim perayaan. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, kira-kira dua juta kenderaan menggunakan laluan tersebut untuk pulang ke Kelantan atau Terengganu terutama pada musim perayaan.

Untuk itu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion untuk menaik taraf Lebuhraya Karak dengan melebarkan lorong dan membina terowong tambahan bagi mengatasi masalah kesesakan yang dialami pengguna.

Gambar oleh: Malay Mail

“Dengan pelebaran lorong dan pembinaan terowong baharu kita jangka masalah kesesakan yang sering dialami di lebuh raya itu akan diatasi,” katanya.

“Setakat ini Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengeluarkan tender untuk kerja-kerja pembinaan yang akan dilaksanakan di sepanjang lebuh raya itu.”

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan laluan itu tidak digalakkan untuk dilaksanakan pada musim cuti perayaaan sebagai langkah mengurangkan masalah kesesakan jalan.

“Buat sementara waktu ini saya tidak galakkan LLM melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang musim cuti perayaan kerana ia akan mengganggu aliran trafik yang bergerak ke Pantai Timur,” ujarnya.

Kami yakin inisiatif ini akan membantu mengurangkan kesesakan kerana ianya pilihan utama untuk pulang ke Pantai Timur, tidak seperti penyelesaian seperti pengangkutan awam di dalam kawasan bandar.

Tetapi kami harap kerja-kerja menaik taraf dilakukan secara terancang agar tidak menyebabkan kesesakan lain. Keselamatan pengguna jalan raya harus diutamakan agar kemalangan seperti di lebuh raya NKVE yang melibatkan Toyota Veloz dan Innova disebabkan garisan jalan yang pudar dan mengelirukan tidak berulang.

Sistem kutipan tol tanpa henti bakal dilaksanakan – Timbalan Menteri Kerja Raya

DALAM usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negara ini, kerajaan Malaysia akan melaksanakan sistem kutipan tol tanpa henti di dalam sistem lebuh raya negara.

Perkara ini disahkan menerusi ciapan akaun Twitter rasmi Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad semalam (7 Februari 2023).

“Teknologi ini mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di plaza tol yang sering dihadapi oleh pengguna jalan raya contohnya di Tol Gombak dan Duke Highway (sesak akibat plaza tol). Terima kasih pihak Lebuhraya atas taklimat hari ini,” kata Abdul Rahman dalam ciapannya.

Menurut beliau lagi, pengenalan sistem baharu ini tidak akan melibatkan penambahan kos kepada pengguna mahupun kenaikan tol pada mana-mana lebuhraya, sambil menambah bahawa pihak KKR (Kementerian Kerja Raya) melalui LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) juga telah membuat analisa penuh mengenai kaedah terbaik perlaksanaan ini.

“Kementerian Kerja Raya sentiasa mencari kaedah terbaik demi memberi keselesaaan kepada pengguna jalan raya dan dapat meneruskan perjalanan dengan selamat ke destinasi yang dituju,” katanya.

Tanah runtuh LPT2: Laluan kedua-dua arah kini dibuka semula

INI perkembangan terbaharu untuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berkenaan tanah runtuh yang berlaku pada Isnin lepas (19 Disember). Kemaskini ini dihantar oleh pihak lebuhraya berkenaan.

Gambar oleh: Twitter LPT2 Trafik

Semalam, LPT2 telah dibuka untuk laluan arah selatan iaitu dari Kuala Terengganu ke Kuantan, tetapi laluan arah utara masih ditutup dari Dungun ke Ajil. Hari ini, laluan berkenaan tidak lagi ditutup, bermakna LPT2 kedua-dua arah kini dibuka.

Gambar keadaan cerun runtuh di LPT2 yang tular di media sosial.

Walaubagaimanapun, kerja-kerja masih berjalan dan anda akan perlu memperlahankan kenderaan di kawasan terjejas untuk arah utara. Air banjir telah memasuki beberapa kawasan berdekatan R&R Bukit Besi, jadi laluan kecemasan masih ditutup.

Di kawasan berlakunya tanah runtuh (KM393.4), beberapa lorong telah ditutup, tetapi laluan kontra telah diaktifkan. Jadi, sentiasa peka dengan papan tanda dan arahan petugas lebuhraya.

Dilaporkan juga ada lorong kecemasan ditutup sekitar KM415. Laluan arah selatan semuanya dibuka tetapi anda akan perlu memperlahankan kenderaan kerana terdapat lorong kontra.

Apa pun, selamat memandu, rancang perjalanan anda, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Kutipan tol Lebuhraya DASH bermula hari ini, RM2.30 untuk kereta penumpang

KUTIPAN tol di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dimulakan hari ini (1 Disember 2022) dengan kadar sama dikenakan kepada pengguna yang melalui Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol Kota Damansara mengikut kelas kenderaan.

Kelas kenderaan satu iaitu kereta dicaj RM2.30, lori iaitu kelas dua (RM4.60), treler iaitu kelas tiga (RM6.90), kelas empat iaitu kereta jenis teksi (RM1.20) dan bas iaitu kelas lima dicaj RM2.30.

Gambar oleh: Prolintas

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd. (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan, kutipan tol dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID.

“Pengguna disaran memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya DASH,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bahagian Operasi Lebuhraya DASH sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di ketiga-tiga plaza tol tersebut selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi dituju.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline DASH 1300885522.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer itu dibuka kepada pengguna secara percuma selama 48 hari bermula 14 Oktober lepas.

Lebuh raya SUKE: Hampir 100,000 kenderaan masuk dalam tempoh 24 jam pertama

HAMPIR 100,000 kenderaan direkod menggunakan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dalam tempoh 24 jam pertama selepas ia dibuka pada 16 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, sambutan yang diterima itu amat luar biasa dan menjangkaui sasaran purata trafik harian (ADT) Lebuh raya Suke untuk fasa pertama iaitu 80,000 kenderaan sehari.

“Kebanyakan pengguna terawal Lebuhraya Suke terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini.

“Terima kasih buat pengguna Lebuhraya Suke atas sokongan dan maklum balas yang diberikan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

Dalam pada itu katanya, Prolintas mengambil maklum bahawa terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi dalam lebuh raya itu.

“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu adalah amat berbahaya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh Prolintas. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” tegasnya.

Katanya, beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya.

Justeru itu, kon-kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

“Papan tanda ‘Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan’ juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat,” tambahnya.

Fasa satu Lebuhraya Pan Borneo kini 86 peratus siap, tiga seksyen tambahan dibuka tahun depan

FASA satu projek Lebuhraya Pan Borneo kini sudah mencapai 86 peratus siap, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, pada tahun ini, dijangkakan terdapat beberapa lagi seksyen dalam lebuh raya itu akan dibuka dan tiga seksyen iaitu di Sarikei, Bukit Begunan serta Lambir dijangka siap tahun depan.

Gambar oleh: Malay Mail

“Tiga seksyen itu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk cabaran di tapak yang memerlukan penelitian semula,” katanya.

“Malah ada juga yang memerlukan pengolahan semula reka bentuk kerana faktor keadaan muka bumi yang tidak sesuai,” tambah  Fadillah.

Fasa satu projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri membabitkan kos RM16.117 bilion.

Sementara itu, Fadillah berkata, Kementerian Kewangan juga kini sedang memuktamadkan aspek perolehan bagi Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) dan peruntukan siling sebanyak RM 12 bilion sudah ditetapkan bagi kedua-dua projek itu.

“Kita juga harap dapat memuktamadkan penganugerahan kontrak kepada kontraktor tahun ini dan awal tahun depan projek ini akan dapat dimulakan,” katanya.

Pada 7 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan Projek Fasa 2 SSLR serta Projek LTB, dan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.

Ismail Sabri berkata penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan tempoh selama tiga hingga lima tahun.

Projek itu katanya, bukan sahaja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.

Bilangan kenderaan di lebuhraya meningkat, 3.8 juta sejak Rabu lalu

STATISTIK pasukan Polis Diraja Malaysia mendapati terdapat peningkatan bilangan kenderaan di beberapa lebuhraya utama negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, lebih 3.8 juta kenderaan telah dicatatkan sejak Rabu.

Peningkatan itu dipercayai ada kaitan dengan kebenaran rentas negeri berkuatkuasa pada 11 Oktober lalu.

Katanya, pihak polis akan terus memantau aliran trafik dan bersedia melakukan tindakan penguatkuasaan lebih ketat.

“JSPT bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya. Tindakan advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Untuk rekod, Lebuh raya Utara Selatan mencatatkan kehadiran 1,075,408 kenderaan, Lebuh raya KL-Karak (97,758) serta Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (34,041).

Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan paling mendadak iaitu sebanyak 108 peratus atau bersamaan 57,719 berbanding 27,204 pada Rabu minggu lalu.

Berikut adalah jumlah kenderaan dicatatkan di beberapa plaza tol lebuhraya utama seluruh negara yang lain:

  • Plaza Tol Jalan Duta – 54,733 kenderaan

  • Plaza Tol Sungai Besi – 35,881 kenderaan

  • Plaza Tol Skudai – 18,336 kenderaan

  • Plaza Tol Juru – 39,068 kenderaan

  • Plaza Tol Bentong – 40,039 kenderaan

  • Plaza Tol Karak – 9,561 kenderaan

Cadangan kurang kadar tol masih dalam kajian, kata menteri

KERAJAAN masih mengkaji langkah terbaik berhubung cadangan pengurangan kadar tol seluruh negara.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian meliputi pelbagai aspek termasuk bebanan kewangan kerajaan serta impak kepada ekonomi.

Memetik laporan Berita Harian,kerajaan turut mengadakan perbincangan bersama syarikat konsesi lebuh raya bagi mencapai keputusan terbaik.

“Kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji pelbagai inisiatif dan kaedah boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kadar tol lebuh raya di negara ini.

“Kementerian Kerja Raya juga membenarkan syarikat konsesi lebuhraya mencadangkan kaedah penstrukturan semula kewangan bagi tujuan pengurangan kadar tol,” katanya.

Turut terlibat dalam perbincangan termasuk Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan beberapa agensi berkaitan.

Fadillah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya tahun depan.

Konsesi lebuhraya yang dimaksudkan adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Penangguhan kenaikan kadar tol selepas mengambil kira kesan ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19.