Tag Archives: lemans

Bos Porsche berkhemah atas bumbung 911 Turbo S untuk tonton Le Mans

CEO Porsche, Oliver Blume turut turun padang pada acara perlumbaan Le Mans baru-baru ini. Walau bagaimanapun, beliau tidak duduk di ruang VIP dan orang kenamaan.

Sebaliknya, beliau hanya berkhemah bersama penonton-penonton lain yang berada di salah satu kawasan menonton di tepi litar. Oliver memarkir Porsche 911 Turbo S berwarna hitam di Porsche Employee Camp, dengan khemah atas bumbung kereta sports itu.

Porsche Employee Camp ialah lokasi khas untuk kakitangan syarikat itu menyaksikan perlumbaan. Oliver berkhemah di situ bersama isterinya selama dua malam semasa perlumbaan berlangsung.

Porsche memperkenalkan aksesori semua-musim itu pada tahun lepas. Ia mampu memuatkan dua orang dewasa dan hadir dengan tilam polyfoam. Ia juga mempunyai dua tingkap sisi dan satu ruang cahaya di atas.

Khemah ini turut dilengkapi dengan penghalau serangga, dan sudah tentu terdapat banyak tulisan penjenamaan Porsche padanya. Di dalam, ia menampilkan motif lukisan berbentuk gunung. Khemah ini dibangunkan dan dihasilkan oleh Porsche Tequipment, iaitu divisyen aksesori dan naik taraf.

Walaupun Oliver tampil cukup bergaya dan fancy dengan berkhemah bersama 911 Turbo S, khemah itu boleh dipadankan dengan hampir semua model Porsche, tidak kira sama ada ia mempunyai rel bumbung atau tidak.

Anda boleh memasang khemah ini pada Panamera, Taycan, Macan, dan Cayenne. Oliver tidak perlu risau akan hujan yang akan menyulitkan urusan beliau dan isterinya sepanjang perlumbaan, kerana khemah itu turut datang dengan zip kalis air dan pelapik tambahan.

Ia juga pasti cukup selesa kerana diperbuat dari fabrik campuran kapas, dan terdapat aksesori tambahan bakal menyusul seperti penebat suhu lebih baik, selimut, dan ruang simpanan kasut.

Porsche mula menjual khemah ini pada November lepas, dengan pilihan warna hitam kelabu cerah atau gelap. Ianya berharga USD7,029 (RM32.8k). Ia boleh dilipat dan disimpan dalam bekas keras.

Kami rasa ini suatu teknik pemasaran cukup baik dari Porsche kerana penampilan Oliver dengan aksesori khemah ini pasti menarik perhatian. Ia juga menunjukkan bahawa orang atasan Porsche juga meminati sukan permotoran dan ‘turun padang’ semasa perlumbaan hujung minggu.

Ferrari kembali dalam Le Mans Hypercar selepas 50 tahun, pertaruhkan dua jentera 499P

FERRARI akan kembali ke siri perlumbaan Le Mans Hypercar tahun depan, dan akan mempertaruhkan jentera yang diberi nama 499P.

499 merujuk kepada kapasiti enjin dalam sentimeter kubik (cc) untuk setiap silinder, manakala P merujuk kepada ‘prototype’.

Ferrari 499P ini akan dikuaskan oleh enjin 3.0-liter V6 twin turbo. Menurut Ferrari, enjin menggunakan cara binaan sama dengan 3.0-liter V6 pada 296 GTB, tetapi ianya “bukan enjin yang sama”.

Enjin ini akan menjana sehingga 680hp dan dipadankan dengan kotak gear sequential 7-kelajuan dan motor elektrik berkuasa 272hp (200kW).

Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh unit bateri 900 volt yang mampu dicaj semula semasa kereta diperlahankan atau dibrek.

Ferrari 499P ini ‘memakai’ livery merah dan kuning yang mengambil inspirasi dari 312PB dari tahun 1970an.

Dua jentera 499P akan membawa nombor perlumbaan #50 dan #51. Nombor pertama bermaksud 50 tahun sejak kali terakhir mereka bersaing dalam kategori tertinggi Le Mans, manakala nombor kedua merujuk kepada angka biasa digunakan jentera luma GT Ferrari.

499P ini telah menjalani lebih dari 12,000km ujian dengan dua unit prototaip akan dihomologasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Jentera-jentera ini akan mula membuat kemunculan di perlumbaan WEC Sebring 1000 Miles pada Mac 2023 depan.

Porsche uji prototaip LMDh dengan enjin V8 twin turbo

TOYOTA dan Peugeot mahu kekal dengan enjin V6 untuk jentera lumba LeMans Daytona hybrid (LMDh) mereka, Porsche pula mengambil pendekatan “there’s no replacement for displacement” apabila memilih nadi V8 dengan turbo berkembar.

Tetapi ini bukanlah bermakna pasukan dari Zuffenhausen itu akan mempunyai lebih kuasa kerana regulasi LMDh menetapkan pasukan-pasukan supaya tidak melebihi output 500kW (670.5hp).

Menariknya, V8 itu direka untuk diisi dengan bahan api boleh diperbaharui yang lebih bersih, lantas menurunkan kadar pelepasan emisi. Rev bagaimanapun masih mampu sehingga 10,000rpm.

Unit enjin twin-turbo itu pula mestilah mempunyai berat sekurang-kurangnya 180kg termasuk sistem ekzos dan penyejukan. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Xtrac dan tahap bunyi pula mestilah tidak melebihi 110 desibel.

Ujian pertama dilakukan di litar Weissach milik Porsche dan maklum balas nampaknya positif. Urs Kuratle, Overall Project Manager LMDh di Porsche Motorsport berkata, enjin itu “mengagumkan kami di semua aspek. Kami yakin telah memilih unit yang tepat.”

Spesifikasi lain yang mesti dipatuhi setiap pasukan adalah berat minima 1,030kg, jarak roda 3,150mm, dan panjang tidak melebihi 5,100mm. Semua pasukan akan menggunakan sistem hibrid oleh Williams Advanced Engineering dan motor elektrik oleh Bosch berkuasa 50kW (67hp).

Asas kepada jentera ini ialah casis Multimatic yang diambil dari LMP2 dan akan digunakan juga oleh prototaip Audi, dan mungkin disusuli oleh Lamborghini pada 2024.

Porsche Penske Motorsport akan mempertaruhkan kereta ini dalam FIA WEC World Endurance Championship dan North American IMSA WeatherTech SportsCar Championship.