Tag Archives: lemon law

Keputusan ‘Lemon Law’ dibentang di Parlimen Mac tahun depan

AKTA baharu atau pindaan undang sedia ada berkait ‘Lemon Law’ akan dibentang di Parlimen seawal penggal pertama tahun depan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, dalam merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah melantik pakar perunding dalam menjalankan kajian pewujudan perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ bermula bulan ini hingga September.

Tambah beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.

“Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk barangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dibawah kawal selia KPDN.

“Selain daripda Akta 599, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen ‘Lemon Law’,” katanya.

 

Jelasnya, hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar diperingkat kementerian untuk menetapkan hala tuju pewujudan rangka kerja perundangan baharu bagi memperkukuhkan hak pengguna.

“Ini termasuklah keputusan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia ada iaitu Akta 599 atau pewujudan perundangan baharu,” ujarnya.

Sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamatkan, Armizan berkata pihaknya melaksanakan dua strategi interim berkuatkuasa 1 Jun bagi pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor.

Strategi lain juga adalah dengan pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara.

“Dua strategi interim ini merupakan intervensi oleh kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan,” jelasnya.

Anda dapat kereta ‘lemon’? Ini cara buat aduan Tribunal Tuntuan Pengguna

MEMANG mengecewakan jika kereta kita yang baru dibeli, belum hilang bau kedai, sudah bermasalah. Lebih memburukkan keadaan jika pihak pengeluar atau wakil jualan tidak mahu bertanggung jawab, kita rasakan ibarat “menabur garam di atas luka”.

Jangan risau, jangan rasa keseorangan. Tahukah anda bahawa anda sebenarnya boleh membuat laporan atau tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna?

Gambar oleh: Torque

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai tribunal ini, tetapi ramaikah yang mengetahui cara sebenar membuat tuntutan? Kita sebenarnya sebagai pengguna atau pembeli mempunyai hak tersendiri di sisi undang-undang.

Jadi dalam artikel ini mari kita lihatkan soalan-soalan lazim berkenaan tribunal pengguna dan bagaimana anda boleh menuntut hak anda sebagai seorang pembeli tersakiti.

Objektif Tribunal Tuntutan Pengguna, menurut laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), adalah seperti berikut:

  1. Menyediakan forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi berkenaan dengan barang atau perkhidmatan secara murah, mudah dan cepat.
  2. Mendengar dan mengadili tuntutan dengan bebas, adil dan saksama.
  3. Membangunkan undang-undang berhubung perlindungan pengguna.

Bagaimana cara membuat tuntutan sekiranya kereta atau produk yang anda beli mempunyai masalah yang bukan disebabkan anda?

Ada dua cara, iaitu hadir sendiri ke mana-mana kaunter Tribunal Tuntutan Pengguna di seluruh negara, atau memfailkan secara online melalui portal https://ttpm.kpdn.gov.my.

Setiap permohonan yang difailkan akan dikenakan bayaran RM5.00.

Menurut laman web itu lagi, tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar:

  1. Tuntutan untuk tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah bidang kuasa Tribunal sepertimana diperuntukkan di bawah Akta 599;
  2. Tuntutan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000.00; dan
  3. Tuntutan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.

Adakah tribunal mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat aduan pengguna?

Tribunal Tuntutan Pengguna tidak mempunyai bidang kuasa perundangan di bawah Akta 599 untuk bertindak atas sesuatu aduan.

Tribunal adalah forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membawa tindakan tuntutan tebus rugi terhadap penjual/pengilang dan pemberi perkhidmatan untuk pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan di bawah Akta 599.

Apakah semakan kehakiman?

Setiap award yang dibuat oleh Tribunal di bawah subseksyen 112 (2) dan 107 (3) Akta 599 adalah muktamad dan mengikat semua pihak kepada prosiding itu sepertimana yang dinyatakan di bawah seksyen 116 Akta 599.

Walau bagaimanapun, pihak yang tidak berpuas hati dengan award Tribunal boleh memohon Semakan Kehakiman di Mahkamah tinggi.

Diharapkan maklumat yang kami kongsi ini dapat membantu sedikit sebanyak bagi anda yang berhadapan dengan isu kepenggunaan. Sama-sama kita perjuangkan hak kita sebagai pengguna!

KPDN laksana kajian kebolehlaksanaan Lemon Law di Malaysia

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Lemon Law bagi memperkasakan hak pengguna di negara ini untuk menuntut ganti rugi.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia sekiranya mereka menerima kenderaan bermotor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti dan prestasi seperti dijanjikan pembekal serta tidak dapat dibaiki.

Foto AFP / Jimin LAI

“Setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan langkah kerja perundangan dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai sama ada Lemon Law akan diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna dalam pembelian kenderaan baharu dan terpakai sekiranya berlaku kerosakan.

Mengulas mengenai soalan tambahan Lip Eng agar Lemon Law tidak perlu melalui prosiding undang-undang seperti tribunal dan mahkamah agar pengguna dapat menuntut ganti rugi mereka, Armizan berkata, cadangan dikemukakan itu satu opsyen yang boleh dilaksanakan.

“Apa yang dicadangkan oleh Kepong (Lip Eng) satu opsyen yang saya fikir kita boleh laksanakan sebagai tindakan segera sebelum kajian menyeluruh itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan kajian kebolehlaksanaan itu juga tidak bermakna kerajaan ingin memperkenalkan undang-undang baharu.

“Sama ada kita memperkukuhkan akta perlindungan pengguna sedia ada dan pada masa yang sama kita tahu kajian ini mengambil masa.

“Kita dalam proses mempertimbangkan untuk meminda mana-mana undang-undang sedia (dan) memperkenalkan satu peraturan di bawah Akta 599 (Akta Perlindungan Pengguna 1999) untuk membolehkan proses tuntutan ini dibuat pada kadar segera,” katanya.

Kerajaan pertimbang ‘lemon law’ untuk kereta baru dibeli yang rosak

KERAJAAN kini di peringkat awal menyemak dan menyelidik kemungkinan mewujudkan “lemon law”, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Gambar oleh: Malay Mail

Bercakap kepada FMT, Armizan berkata, Malaysia aktif menangani isu perlindungan pengguna berkaitan kenderaan rosak dan menganalisis amalan antarabangsa sebelum menyesuaikannya untuk kegunaan tempatan.

Beliau mengulas desakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya “lemon law” diperkenalkan, iaitu remedi undang-undang untuk pengguna membeli kenderaan rosak, sama ada baharu atau lama, yang gagal memenuhi kriteria kualiti serta prestasi dalam tempoh khusus.

Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina adalah antara negara mengguna pakai undang-undang seperti itu.

Bagaimanapun, Armizan berkata, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diguna pakai Malaysia turut melindungi pengguna daripada kenderaan rosak.

“Akta itu melindungi pengguna berkait kenderaan rosak dalam beberapa cara, walaupun ia bukan secara jelas ‘lemon law’ dan tidak menawarkan remedi khusus seperti pembelian semula kereta untuk kerosakan tidak boleh dibaiki.

“Ia menyediakan pelbagai peruntukan yang boleh digunakan untuk menangani masalah kenderaan rosak.”

Baru-baru ini, dua laporan kenderaan baru dibeli rosak tular di media sosial.

Kerani, S Nagakanni dilaporkan berkata, Perodua Bezza barunya rosak lapan jam selepas dibeli dan beliau terpaksa melunaskan pinjaman bulanan RM537, walaupun kereta itu tersadai di pusat servis.

Noriya Mamat dari Terengganu pula berkata, Honda HR-V yang baru dibelinya juga tersadai di pusat servis berbulan-bulan selepas menghantarnya ke situ sebulan selepas pembelian untuk diservis apabila mencapai jarak perjalanan 1,000km.

Katanya, beliau terpaksa membuat bayaran bulanan RM1,500 untuk kereta itu yang langsung tidak dapat dipandunya.