Tag Archives: lesen B

Syarat program peralihan Lesen Kelas B dilonggarkan serta-merta – Anthony Loke

Laman Bernama melaporkan bahawa syarat Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) yang bermula semalam dilonggarkan serta-merta ekoran keluhan orang ramai yang tidak layak menyertai program itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata satu daripada syarat untuk program itu ialah individu mesti memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut.

Beliau berkata mengambil kira maklum balas daripada orang ramai, perkara itu dibincangkan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli dan beliau bersetuju memudahkan lagi syarat tersebut.

“Syarat itu dilonggarkan serta-merta iaitu tempoh LLM hanya perlu aktif dan mencukupi 10 tahun ke atas dan tidak perlu secara 10 tahun berturut-turut (diumumkan sebelum ini),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata antara sebab yang dibangkitkan orang ramai adalah munasabah iaitu lesen tidak dapat diperbaharui ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Sepanjang tempoh PKP itu kerajaan memberikan pengecualian kepada keperluan memperbaharui lesen memandu bagi semua pemegang lesen.

Bagaimanapun, syarat lain kekal dan tidak akan dikompromi termasuk pemohon perlu bebas daripada sebarang senarai hitam dan tunggakan saman.

Loke berkata kemas kini akan dilakukan agar lebih ramai pemohon berjaya dan mendapat manfaat daripada program itu.

“Kita buat pertukaran (sistem) serta-merta untuk memudahkan orang ramai. Kita mohon kesabaran orang ramai dan dalam masa beberapa hari, mereka (pemohon) boleh ambil program itu di institut memandu yang terlibat,” katanya.

Keputusan Lesen B2 ke B secara automatik akan diumum dalam masa terdekat

Kerajaan bakal mengumumkan keputusan mengenai cadangan menaik taraf lesen motosikal B2 kepada B secara automatik tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke ketika menjawab pertanyaan media ketika sesi tinjaun pembinaan LRT3 di Stesen Pasar Jawa. 

“Nanti saya akan umumkan, sudah ada keputusan (B2 kepada B penuh). Tetapi saya akan umumkan hari kemudian bukan hari ini,”jelasnya. 

Menurut Anthony Loke, pihak kementerian sudah pun mempunyai keputusan mengenai cadangan yang pernah dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyatakan bahawa tiada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

(sumber: Utusan Malaysia)

Pemilik lesen B2 boleh ‘upgrade’ ke B secara automatik?

TERDAPAT cadangan untuk membolehkan pemegang lesen memandu kelas B2 menaik taraf lesen mereka kepada B secara automatik, lapor Bernama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk diteliti terlebih dahulu.

Tambah beliau, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.

“Saya akan kemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dahulu, saya tidak fikir ini satu masalah kerana ia merupakan isu pentadbiran sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66 di Pekan, Pahang pada Ahad.

Majlis pelepasan membabitkan lebih 238 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada ahli Superbikers Association Malaysia (SAM) itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Presiden SAM Datuk Abdul Halim Suleiman.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklafikasikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250 cc manakala kelas B membabitkan motosikal melebihi 500 cc.

Terdahulu, Abdul Halim menyerahkan kertas cadangan bagi menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada B secara automatik bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat lesen B2.