Tag Archives: lesen B2

Naik taraf LMM Kelas B: Pemohon perlu bebas senarai hitam, lesen aktif lebih 10 tahun

Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal Kelas B1 dan B2 yang aktif lebih 10 tahun boleh memohon LMM Kelas B bermula 1 Oktober depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemegang LMM Kelas B1 dan B2 yang berminat boleh mendapatkan LMM Kelas B dengan kos yuran hanya RM160 sahaja berbanding RM900 sebelum ini.

Beliau berkata, mereka yang berminat perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas selama dua jam di Institut Memandu (IM) melibatkan program amali penunggangan dan informasi pemanduan selamat.

“Syarat lain ditetapkan adalah pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

“Malah, pemohon juga perlu melakukan pengesahan sihat tubuh badan, fizikal, minda secara deklarasi kendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini.

Katanya, kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan program khas peralihan itu namun, ia bukan dilaksanakan secara automatik sebaliknya perlu melepasi syarat-syarat ditetapkan.

Keputusan Lesen B2 ke B secara automatik akan diumum dalam masa terdekat

Kerajaan bakal mengumumkan keputusan mengenai cadangan menaik taraf lesen motosikal B2 kepada B secara automatik tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke ketika menjawab pertanyaan media ketika sesi tinjaun pembinaan LRT3 di Stesen Pasar Jawa. 

“Nanti saya akan umumkan, sudah ada keputusan (B2 kepada B penuh). Tetapi saya akan umumkan hari kemudian bukan hari ini,”jelasnya. 

Menurut Anthony Loke, pihak kementerian sudah pun mempunyai keputusan mengenai cadangan yang pernah dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyatakan bahawa tiada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

(sumber: Utusan Malaysia)

“Sekolah memandu rugi besar jika Lesen B2 dinaik taraf ke B secara automatik”

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menepis kerisauan institut memandu akan risiko membenarkan pemegang lesen motosikal B2 untuk dinaik taraf ke lesen B (full). 

“Lagi bahaya (jika lesen B2 dinaik taraf ke B) kerana mereka akan hilang pendapatan,” gurau Anthony Loke sewaktu menjawab dakwaan Persatuan Insititu Memandu Malaysia bahawa terlalu tergesa-gesa untuk memberikan lesen B (full) secara automatik mengundang bahaya. 

Meskipun begitu, Loke menegaskan bahawa tiada keputusan muktamad telah tercapai setakat ini namun memberi jaminan bahawa kajian mendalam sedang dilaksanakan ketika ini. 

“Kelulusan tidak akan diberikan secara terus. Akan ada beberapa aspek penting dipertimbang. 

“Untuk membolehkan lesen layak dinaik taraf beberapa syarat perlu dipenuhi termasuk had umur dan berapa tahun telah memegang lesen sedia ada. Juga terdapat satu dua perkara lain yang sedang diteliti,” tambahnya.NST

Pemilik lesen B2 boleh ‘upgrade’ ke B secara automatik?

TERDAPAT cadangan untuk membolehkan pemegang lesen memandu kelas B2 menaik taraf lesen mereka kepada B secara automatik, lapor Bernama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk diteliti terlebih dahulu.

Tambah beliau, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.

“Saya akan kemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dahulu, saya tidak fikir ini satu masalah kerana ia merupakan isu pentadbiran sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66 di Pekan, Pahang pada Ahad.

Majlis pelepasan membabitkan lebih 238 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada ahli Superbikers Association Malaysia (SAM) itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Presiden SAM Datuk Abdul Halim Suleiman.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklafikasikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250 cc manakala kelas B membabitkan motosikal melebihi 500 cc.

Terdahulu, Abdul Halim menyerahkan kertas cadangan bagi menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada B secara automatik bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat lesen B2.