Tag Archives: lexus rx

Enam kes seleweng data ujian pelanggaran, Toyota Jepun henti jualan 3 model JDM

Skandal kes keselamatan melibatkan syarikat pengeluar Jepun Daihatsu kini menjangkiti syarikat induknya, Toyota.

Menurut laporan terbaharu dari Negara Matahari Terbit, Toyota mengesahkan terdapat enam kes penyelewengan/penipuan data ujian keselamatan yang dijalankan terhadap tujuh model termasuk tiga yang masih lagi dijual di Jepun, iaitu Yaris Cross, Corolla Axio dan Corolla Fielder.

Dalam sidang media yang dianjurkan baru-baru ini, Pengerusi Akio Toyoda menjelaskan pihak Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan telah dimaklumkan tentang penggunaan kaedah ujian yang berbeza berbanding apa yang ditetapkan oleh undang-undang pada 31 Mei lepas.

Butiran kes tersebut telah itu diterangkan dengan lebih terperinci oleh Ketua Pegawai Kumpulan Promosi Pertama Pelanggan Toyota, Shinji Miyamoto seperti berikut:

 

Kes #1 melibatkan Toyota Crown & Toyota Isis pada tahun 2014 dan 2015, di mana Toyota menggunakan data daripada ujian pembangunan yang direka untuk mencipta keadaan pelanggaran yang lebih teruk berbanding apa yang telah ditetapkan dalam ujian pensijilan.

 

Kes #2 pula melibatkan Toyota Corolla Axio dan Corolla Fielder, di mana pendekatan yang sama turut digunakan untuk menilai impak pelanggaran terhadap kepala pejalan kaki. Dalam kes ini, Toyota menggunakan data daripada sudut impak 65 darjah, di mana sepatutnya mereka perlu menggunakan data sudut impak 50 darjah seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Untuk makluman, Corolla Axio dan Corolla Fielder masing-masing merupakan sedan dan wagon yang dibina berdasarkan Corolla generasi terdahulu, dan hanya boleh didapati sebagai kenderaan armada syarikat sahaja.

Kes #3 masih melibatkan model Corolla, namun ditambah dengan dua model lain iaitu Sienta dan Crown.

Dalam kes ini, Toyota sepatutnya menghantar data impak pelanggaran terhadap kepala dan kaki untuk penilaian sisi kiri dan kanan secara berasingan. Namun sebaliknya, mereka telah menghantar maklumat yang menggandingkan nilai daripada kedua-dua sisi penilaian.

Dalam kes keempat, Toyota telah melakukan ujian untuk mengesahkan masalah kebocoran bahan api dan isu lain akibat impak pelanggaran dari arah belakang untuk model Crown 2014 dan Sienta 2015.

Sama seperti kes #1, Toyota telah menggunakan komponen penghadang bergerak seberat 1,800 kg yang jauh lebih berat berbanding standard 1,100 kg, di mana ia menghasilkan impak pelanggaran yang lebih besar daripada sepatutnya.


Kes ke-5
melibatkan model Yaris Cross TNGA (tiada kaitan dengan Yaris Cross DNGA) yang masih lagi dijual di pasaran Jepun di mana Toyota didapati mengabaikan perubahan peraturan yang sepatutnya dilaksanakan untuk menilai kerosakan terhadap kerusi belakang disebabkan oleh bagasi dalam situasi kemalangan.

Perubahan tersebut memerlukan penggunaan blok bagasi yang baharu, namun begitu Toyota tidak mengulangi semula ujian penilaian tersebut, sebaliknya menghantar data ujian lama untuk permohonan pensijilan yang baharu.

Kes terakhir melibatkan SUV Lexus RX di mana semasa pembangunan enjin dibuat pada tahun 2015, unit enjin tersebut tidak dapat menghasilkan kuasa yang disasarkan semasa penilaian dijalankan.

Mengikut standard operasi, ujian seharusnya dihentikan supaya pemeriksaan terperinci dapat dijalankan untuk melakukan perubahan sewajarnya. Namun, Toyota mengakui sistem kawalan enjin telah diubah supaya dapat menghasilkan kuasa kuda yang telah disasarkan.

Tiga model yang masih dijual di pasaran Jepun telah dihentikan penjualannya, iaitu Yaris Cross, Corolla Axio dan Corolla Fielder.

Toyota turut menjamin tiada sebarang isu prestasi melibatkan kenderaan yang terjejas dan tiada sebarang keperluan untuk berhenti memandu kereta-kereta tersebut.

 

Lexus RX 2024 dapat enjin PHEV – 304hp, jarak EV 56km, sistem audio Mark Levinson

GENERASI kelima bagi Lexus RX mula diperkenalkan pada Mei tahun lepas dengan empat pilihan powertrain. Bagi model 2024, SUV mewah itu akhirnya mendapat powertrain plug-in hybrid (PHEV) dan menjadi pilihan enjin kedua paling berkuasa dalam barisan RX.

Dikenali sebagai RX 450h+, pakej janaan kuasanya dikongsi dengan NX, yang terdiri dari enjin 2.5-liter empat-silinder sebaris. Enjin ini disokong oleh dua motor elektrik dan pek bateri lithium-ion.

Kombinasi ini menghasilkan 304hp dan jarak pemanduan EV sekitar 56km. Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam masa 6.2 saat, manakala kelajuan maksima dihadkan kepada 200km/j.

Lexus berkata SUV hibrid ini datang standard dengan kabel pengecas Level 1 untuk soket 120 volt. Dalam keadaan ideal, RX 450h+ boleh dicas penuh kira-kira dua jam setengah menggunakan pengecas 6.6kW.

Lexus RX baharu ini akan ditawarkan dengan lapan pilihan warna – Eminent White Pearl, Cloudburst Gray, Iridium, Caviar, Matador Red Mica, Copper Crest, Nori Green Pearl, dan Nightfall Mica, bersama rim 21-inci.

Ciri standard di bahagian kabin pula termasuklah tempat duduk berkuasa dengan pemanas, lampu ambien, pemanas stereng, bumbung panoramik, dan sistem audio premium Mark Levinson dengan 21 pembesar suara.

Lexus RX akan mula dijual di Eropah dan Amerika Utara menjelang hujung tahun ini, dan kami jangkakan tiba ke Malaysia awal tahun depan. Ia akan bersaing dengan model-model seperti Mercedes-Benz GLE, BMW X5, Porsche Cayenne, dan Volvo XC90.