Tag Archives: LEXUS

UMW Toyota catat 36,972 unit jualan sehingga Mei 2022, lebih baik dari tahun lepas

UMW Toyota Motor terus berada dalam rentak yang baik untuk tahun ini, dimana mereka telah mendaftarkan 7,442 unit kenderaan untuk Mei, dan 137 unit Lexus.

Setakat penghujung Mei 2022, UMW Toyota telah menyerahkan sejumlah 36,972 unit kenderaan Toyota dan Lexus.

Ini merupakan peningkatan sebanyak Sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 34,026 unit kenderaan walaupun jualan kenderaan tahun ini dijangka agak perlahan.

Ini kerana dengan gangguan bekalan semikonduktor, pengeluar agak bergelut untuk meningkatkan jumlah pengeluaran mereka. Tambahan lagi, kembalinya cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas Jun 2022 akan turut membantutkan sedikit angka jualan.

Jadi, ada yang mahu mengambil kesempatan sebelum kembalinya SST.

“Dalam kita memasuki separuh masa kedua tahun ini, kami di UMW Toyota sangat menghargai sokongan yang diberikan pelanggan,” kata Ravindran K, presiden UMW Toyota Motor.

Untuk itu, UMW Toyota menawarkan penjimatan sebanyak RM4,000 untuk Yaris dan Vios. Bulan ini juga bakal memperlihatkan penjimatan serta rebat untuk pelanggan serta bakal pemilik Toyota.

Untuk maklumat lanjut, layari www.toyota.com.my atau hubungi 1-800-8-TOYOTA (869682).

Tempahan Lexus NX F Sport kini dibuka, 2.5 turbo dengan 275hp dan 430Nm

LEXUS NX F Sport bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan Lexus berkata crossover itu menampilkan 95 peratus komponen baharu.

Rekaan luarannya diberi peningkatan dengan garisan-garisan karakter yang jelas, muka depan lebih agresif, dan gril ‘spindle’ besar yang menjadi identiti Lexus. Gril ini mendapat jaringan baharu dengan corak bersilang dan dikemaskan dengan warna perak dan hitam.

Seterusnya, Lexus NX F Sport dilengkapi lampu depan tri-LED projektor dengan bentuk L, dan bahagian sisi yang juga diberikan permainan garisan dan cahaya untuk menampakkan rupa unik.

Bahagian belakang juga mendapat lampu LED yang kini disambungkan dengan bar panjang melintang sebagai identiti baharu model-model Lexus terkini.

NX F Sport ini akan dijana oleh enjin 2.4-liter turbo yang menghasilkan 275hp pada 6,000rpm dan 430Nm tork dari 1,700 hingga 3,600rpm.

Kuasa disalurkan ke jalan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Menariknya, kotak gear ini mempunyai kawalan AI yang akan menggunakan kamera depan untuk mengesan permukaan jalan lalu memadankannya dengan tukaran gear yang sesuai.

NX F Sport juga akan ditemani dengan varian NX Luxury yang dipacu oleh enjin 2.5-liter naturally-aspirated, cukup untuk menghasilkan 204hp dan 243Nm tork. Varian ini dengan penghantaran kuasa lancar dan linear dikatakan cukup sesuai untuk penggunaan dalam bandar.

Sistem pacuan untuk kedua-dua varian Lexus NX ialah AWD (pacuan semua-roda) tetapi dengan kawalan elektronik. Jadi kuasa akan dihantar ke gandar depan atau belakang mengikut kesesuaian.

Asas kepada Lexus NX ini ialah pelantar Global Architecture K (GA-K) yang menawarkan casis 30 peratus lebih tegar berbanding sebelumnya. Jadi secara teori, NX kali ini mempunyai pengendalian lebih baik.

Ciri keselamatan juga cukup lengkap, di bawah ‘payung’ Lexus Safety System Plus (LSS+). Ia merangkumi ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Adaptive High-beam System (AHS).

Sebagai tambahan, ia juga dilengkapi Road Sign Assist (RSA), Panoramic View Monitor (PVM) dan Parking Brake Support (PKSB).

Ciri lain adalah skrin sesentuh infotainment 14-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan rekaan kabin dengan sentuhan rekaan Takumi.

Lexus NX juga didatangkan dengan lampu pencahayaan kabin di bahagian seperti konsol tengah, panel pintu dan ruang kaki. Terdapat kira-kira 64 warna cahaya boleh dipilih.

NX akan ditawarkan dengan lapan pilihan warna termasuk warna baharu Sonic Chrome. Varian F Sport pula mendapat dua warna khas Black dan Dark Rose.

Tempahan untuk Lexus NX baharu kini dibuka, dan jika berminat, boleh ke mana-mana enam cawangan Lexus Centre seluruh negara.

NX F Sport akan dijual pada harga RM389,888 menakala NX Luxury pada harga RM370,888.

Suku pertama 2022, UMW Toyota Motor jual 8,487 unit kenderaan

UMW Toyota Motor Sdn Bhd menjangkakan aliran menaik selepas merekodkan 22,447 unit jualan suku pertama tahun ini.

Syarikat itu merekodkan jumlah jualan 8,386 unit Toyota dan 101 unit Lexus sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,487 unit pada Mac.

Angka itu meningkat berbanding 6,432 unit pada Februari lepas, lapor Bernama.

Foto hiasan ihsan Lexus

“Jualan bulan ke bulan yang dicapai untuk Lexus pada Mac adalah pada 101 unit manakala jualan bulan sebelumnya adalah sebanyak 66 unit.

“Toyota mencapai jualan 8,386 unit berbanding 6,366 unit pada Februari, diterjemahkan kepada peningkatan 32 peratus dalam unit yang dijual,” memetik kenyataan dikeluarkan.

Hasil jualan positif UMW Toyota Motor Sdn Bhd itu disebabkan oleh promosi bulan Mac yang menawarkan pelbagai ganjaran.

Ia termasuk manfaat nilai tambah bernilai RM4,000 untuk kenderaan paling laris Toyota seperti Vios dan Yaris.

Foto hiasan ihsan Toyota

Sementara itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd sentiasa mengkaji dan menyesuaikan diri dengan keadaan berubah-ubah dan ketidaktentuan ekonomi.

Pada masa, syarikat itu juga akan bekerja rapat dengan pembekal dan memantau perkembangan terkini bagi memastikan kesan minimum terhadap pengeluaran dan pelanggannya.

“Ketika Malaysia beralih ke fasa endemik, UMW Toyota Motor menghargai sokongan yang diterima daripada pelanggan kami.

“Kami kekal komited untuk mencapai pertumbuhan secara berterusan untuk jenama Toyota serta bagi industri automotif tempatan,” kata presidennya Ravindran K.

Terdahulu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menjangkakan peningkatan jualan dengan pelancaran produk baharunya akhir tahun ini.

UMW jual 6,366 unit kenderaan Toyota dan Lexus pada Februari, peningkatan 27 peratus

UMW Toyota terus mencatatkan peningkatan positif dalam jualan mereka dengan jualan sebanyak 6,366 kenderaan Toyota dan Lexus sepanjang Februari 2022.

Ini merupakan pencapaian agak siginifikan berbanding bulan sama tahun lepas sebanyak 5,026 unit, peningkatan sebanyak 27 peratus.

Jenama automotif bukan nasional nombor satu itu optimistik untuk 2022 dengan promosi bulan Mac bernilai RM4,000, menampilkan model paling laris mereka (Vios dan Yaris) serta beberapa pelancaran yang akan datang.

Bulan lepas, syarikat berpangkalan di Shah Alam itu melancarkan Camry baharu yang bukan sahaja menawarkan prestasi lebih baik dan rupa dikemaskini, malah keselamatan yang dipertingkat.

Toyota Camry 2022 itu menampilkan enjin baharu 2.5-liter Dynamic Force, kotak gear baharu automatik 8-kelajuan Direct Shift serta platform TNGA (Toyota New Global Architecture).

“Kami sangat menghargai sokongan pelangan terhadap jenama Toyota dan optimistik dengan perkembangan positif sektor automotif Malaysia,” kata Ravindran K, presiden UMW Toyota Motor.

“Selain memberi inovasi dan produk yang menawarkan teknologi dan ciri keselamatan terbaik, kami percaya rakyat Malaysia akan terus memilih Toyota sebagai ‘teman’ mereka di jalanraya,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, UMW Toyota pada Februari telah mengadakan beberapa inisiatif untuk menyumbang semula kepada masyarakat setempat.

Ini termasuklah sumbangan RM140,000 kepada National Cancer Society Malaysia (NCSM) bagi perolehan mesin Digital Doppler Ultrasound untuk rawatan lebih baik kepada pesakit.

UMW juga mengumumkan pemenang 15th Dream Car Art Contest yang telah memilih tiga pemenang untuk mewakili negara untuk peringkat antarabangsa di Jepun.

Selain itu, UMW Toyota juga baru melancarkan cawangan 2S dengan khidmat Body & Paint (badan dan cat) di Skudai, Johor.

Pembukaan itu merupakan hasil kerjasama dengan Super Evergreen (Nusajaya) Sdn Bhd untuk menampung pertambahan jumlah pelanggan di negeri itu.

Toyota bekerjasama dengan Yamaha hasilkan enjin V8 hidrogen, 444hp

TOYOTA telah bekerjasama dengan Yamaha bagi menghasilkan enjin pembakaran dalaman yang dikuasakan oleh gas hidrogen termampat.

Yamaha telah memilih asas enjin petrol 2UR-GSE yang diguna pakai oleh model produksi Lexus RC F 5.0-liter V8 bagi projek ini. Dengan menggunakan blok enjin yang sama, modifikasi dilakukan di bahagian penyuntik bahan api, kepala silinder dan manifold kemasukan.

Kombinasi enjin yang dilengkapi dengan sistem ekzos lapan-kepada-satu, menghasilkan kuasa 444hp, kurang 13hp dari enjin asal. Namun tork yang dihasilkan pula adalah 540Nm, lebih 20Nm berbanding versi petrol.

Apa yang menarik, Lexus RC F versi enjin petrol boleh diubah suai kepada versi hidrogen dengan perubahan minima. Ini adalah disebabkan oleh kedudukan cagak enjin yang sama seperti versi petrol, hanya sedikit modifikasi diperlukan dari segi tempat simpanan bahan api hidrogen menggantikan tangki petrol yang sedia ada.

Menurut Takeshi Yamada dari Bahagian Pembangunan Automotif, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknikal Yamaha, enjin baharu ini akan membuat pengguna berasa seronok untuk menggunakannya.

“Enjin hidrogen lebih mesra digunakan. Rata-rata yang sebelum ini berasa skeptikal, bertukar seronok setelah memandu uji kereta prototaip,” jelas Yamada. 

Projek ini merupakan sebahagian dari kolabrasi antara Kawasaki, Subaru, Toyota dan Mazda yang diumumkan pada November lalu untuk tujuan penyelidikan serta penggunaan sumber alternatif bagi enjin pembakaran dalaman secara karbon neutral.

Vios kekal model paling laris, UMW Toyota catat permulaan baik untuk 2022

UMW Toyota nampaknya mencatatkan permulaan yang baik untuk 2022 dengan jualan 7,528 unit kenderaan untuk Toyota dan Lexus pada Januari.

Ini satu peningkatan besar iaitu sebanyak 96 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 3,845 unit.

Antara model-model kenderaan penumpang, Vios kekal sebagai model paling laris Toyota dengan 28 peratus dari keseluruhan jualan. Hilux pula masih ‘KING’ iaitu trak pikap paling popular di Malaysia, dengan 38 peratus jualan adalah dari model ini.

“Kami berterima kasih dengan keputusan kerajaan melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan sehingga 30 Jun 2022. Ini sangat membantu pihak industri seperti kami untuk pulih dari kesan pandemik sejak dua tahun lepas,” kata Ravindran K, presiden UMW Toyota Motor.

“Kami juga menggalakkan peminat Toyota memanfaatkan lanjutan pengecualian cukai ini untuk memiliki kereta idaman mereka di samping tawaran nilai seperti kempen jualan Stay Ahead yang sedang berlangsung,” tambahnya.

Kempen Stay Ahead oleh UMW Toyota Motor ini menawarkan penjimatan sehingga RM4,500.

Model popular Vios obleh dimiliki dengan ansuran serendah RM540 dan penjimatan cukai sebanyak RM2,216. Yaris pula ditawarkan dengan ansuran dari RM493 serta penjimatan cukai RM2,192.

Untuk maklumat lanjut, layari toyota.com.my atau hubungi 1-800-8-TOYOTA (869682).

Vios kekal model Toyota paling laris, UMW jual 63,106 kenderaan keseluruhan November

TOYOTA dan Lexus mencatatkan 63,105 unit jualan untuk November 2021, iaitu 26 peratus lebih berbanding tempoh sama tahun lepas (50,074 unit).

Menurut UMW Toyota, permintaan untuk kedua-dua jenama ini kekal kukuh dengan jualan pada Oktober dan November masing-masing sebanyak 8,500 dan 8,486 unit (6,620 untuk kenderaan penumpang dan 1,866 untuk kenderaan komersial termasuk trak pikap).

Untuk model kereta penumpang, Vios kekal menjadi model Toyota paling laris dengan menyumbang kepada 33 peratus daripada jumlah jualan, sementara Hilux kekal sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005.

“Pertumbuhan pasaran yang berterusan adalah tanda yang kami kian melangkah ke arah pemulihan,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Pelanggan boleh berkunjung ke pusat pameran atau menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang sah dengan rasa lega bahawa kesihatan mereka akan terjamin.

“Untuk bulan terakhir tahun ini, kami memberikan tawaran hebat dan menerusi promosi Now Is The Time, penjimatan diberi sehingga RM5,500 untuk model terpilih,” katanya.

Ke arah pelancaran hibrid

Persediaan juga sedang dimuktamadkan untuk acara utama — pelancaran kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang dalam negara — dalam masa terderkat.

Model Toyota Corolla Cross Hibrid yang baru kini dalam peringkat pra-produksi di ASSB, kilang pemasangan UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.

“Sejak kami membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan kami gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV),” menurut Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar.

“Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek.

“Saya juga ingin katakan yang sebaik saja kereta diserahkan, pemiliknya yang baru pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” tambah Takeyama.

Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang 5 tahun/tanpa had perjalanan.

Selain itu, untuk memberi kelegaan, ada lagi jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun.

Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan. Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara.

Toyota sasar pasarkan EV mampu milik demi alam sekitar, pelanggan

KENDERAAN electric vehicle (EV) tidak dinafikan merupakan satu fenomena baharu dalam industri automotif.

Toyota antara yang tidak terkecuali menyertai ‘perlumbaan’ penghasilan EV sebaris jenama besar dunia lain.

Terbaharu, syarikat itu dijangka memperkenalkan enam model EV dalam tempoh terdekat kepada para pelanggan.

Memetik laporan media antarabangsa Green Car Reports, Toyota bercadang menghasilkan kenderaan EV ‘mesra poket’ sekaligus memberi peluang setiap individu memiliki kenderaan jenis itu.

Naib Presiden Perancangan Produk dan Strategi Toyota Motor Amerika Utara Cooper Ericksen berkata, tumpuan tidak lagi kepada penghasilan EV ‘high end’.

“Anda perlu memasarkan kenderaan EV dengan harga mampu milik sekaligus menjadikan usaha melestarikan alam sekitar tercapai.

“Justeru, kami tidak bercadang menghasilkan EV yang mampu bergerak lebih kilometer memandangkan kosnya yang tinggi.

“Maka, buat masa sekarang apa yang penting menghasilkan EV dengan harga dan kualiti berpatutan,” katanya.

Foto ihsan Toyota

Sementara itu, Toyota bZ4X merupakan EV pertama dihasilkan Toyota dengan jarak bergerak sejauh 402 kilometer.

Model ini dihasilkan dengan mempunyai bentuk futuristic selain didatangkan dengan pelbagai fungsi menarik seperti skrin sesentuh lebih lebar, ruang dalaman eksklusif dan pelbagai lagi.

Dalam perkembangan sama, Toyota menerusi keluaran Lexus tetap menawarkan EV mampu bergerak jauh dengan harga sedikit mahal dalam waktu terdekat.

UMW Toyota Motor catat peningkatan jualan, umum ketibaan hibrid CKD pertama

DENGAN hampir semua kegiatan perniagaan kini beroperasi semula, sektor automotif terus menyaksikan prestasi jualan yang meningkat. Ini dapat dilihat menerusi peningkatan pesanan dan penyerahan setiap bulan.

UMW Toyota Motor (UMWT) merupakan antara syarikat yang meraih kadar pemulihan pasaran yang pantas. Untuk bulan Oktober, jumlah kenderaan Toyota dan Lexus yang dijual adalah sebanyak 8,500 unit, peningkatan 6 peratus berbanding September.

Jumlah jualan keseluruhan bagi tahun ini setakat akhir Oktober adalah 54,618 unit, 25 peratus lebih banyak berbanding tempoh sama pada tahun 2020.

Bukan itu saja berita baik daripada UMWT. Seperti diumum sebelum ini, tempahan juga kini mula dibuka untuk Toyota Corolla Cross Hybrid yang ditunggu-tunggu, sebuah model dengan teknologi hibrid elektrik yang pertama dipasang dalam negara (CKD).

Model terbaru ini ditawarkan dengan harga anggaran bermula RM137,000.

Jika tidak mahu hibrid, anda masih boleh memilih dua varian berlainan—Corolla Cross 1.8V dan 1.8G—dengan enjin 1.8 liter DOHC 16-injap Dual VVT-i.

“Ini adalah peristiwa penting dalam sejarah Toyota di Malaysia dan kami teruja dengan pelancaran model CKD Toyota dengan teknologi hibrid elektrik yang pertama. Ini bermakna harga yang lebih menarik dan mampu milik dapat ditawarkan, agar lebih ramai yang dapat menikmati manfaat teknologi maju,” kata Presiden UMWT, Ravindran K.

Ketika model Corolla Cross mula diperkenalkan, kereta ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Kini, tiga varian model berkenaan dipasang di kilang ASSB di Bukit Raja, Selangor.

Selain Corolla Cross Hybrid, dua lagi varian adalah Corolla Cross 1.8V dan Corolla Cross 1.8G.

Semua pengedar sah Toyota telah mula mengambil pesanan untuk kesemua tiga varian yang ada. Berikut adalah anggaran harga termasuk cukai jualan dan tidak termasuk insurans: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid: RM137,000 Toyota Corolla Cross 1.8V: RM129,000 Toyota Corolla Cross 1.8G: RM123,000.

Lexus ES 250 facelift kini dengan varian F Sport, 204hp, harga bermula RM296k

LEXUS ES 250 facelift diperkenalkan oleh UMW Motor dan hadir dengan tiga pilihan, termasuk varian baharu F Sport.

Harga bermula pada RM296,663 untuk Premium, RM329,910 untuk Luxury, dan RM345,134 untuk F Sport yang anda lihat ini. Harga adalah atas jalan tanpa insurans, termasuk pengecualian cukai 50 peratus untuk kereta CBU.

Apa yang menarik mengenai Lexus ES 250 ini? Ianya antara model paling laris Lexus dengan lebih 2.65 juta unit telah terjual merangkumi tujuh generasi. Rekaan dinamik dan tajam yang anda dapat lihat ini ialah hasil dari konsep yang Lexus gelarkan sebagai Provocative Elegance.

Harus diketahui juga Lexus ES 250 generasi ketujuh ini dibina di atas pelantar Global Architecture K (GA-K) iaitu dari Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menjadi asas Camry. Tetapi Lexus ES 250 ini lebih dari sekadar Camry yang lebih mahal.

Versi facelift ini mendapat rekaan Spindle Grille baharu. ES 250 Premium diberikan lampu bi-LED, manakala Luxury dan F Sport dilengkapi lampu LED kompak 3-tahap dengan rekaan DRL baharu. F Sport juga dapat dibezakan dari rupa yang lebih sporti serta rim aloi khas 19-inci dengan kemasan Dark Premium Metallic.

Pilihan warna untuk ES 250 adalah: Sonic Quartz, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Red Mica Crystal Shine, Ice Ecru Mica Metallic, Deep Blue Mica, dan dua warna baharu Sonic Iridium dan Sonic Chrome. F Sport pula boleh didapati dengan dua warna eksklusif heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake.

Untuk bahagian kabin, kesemua varian ES 250 mendapat tema warna baharu, kemasan hitam atau Brown Walnut untuk Premium dan Luxury, serta kemasan aluminium Flare Red atau Black untuk F Sport.

Teknologi juga cukup canggih, dengan skrin sesentuh 8- dan 12.3-inci yang diubah kedudukannya untuk lebih ergonomik untuk pemandu dan penumpang.

Antara ciri unik pada ES 250 ini adalah Nanoe-X yang memperbaiki kualiti udara kabin, jam analog (F Sport), dan meter gegelung logam dengan kesan 3D yang diinspirasikan dari supercar LFA.

Lexus ES 250 dikuasakan oleh enjin 2.5-liter empat-silinder petrol yang mampu menjana 204hp dan 247Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan dengan transmisi Direct-Shift 8-kelajuan.

Pecutan ke 100km/j dapat dicapai dalam 9.1 saat dan kelajuan maksima ialah 210km/j.

ES 250 juga hadir dengan ciri keselamatan Lexus Safety System+ dengan teknologi seperti Pre-Collision System+, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Keep Asssit, Lane Tracing Assist, dan Adaptive Highbeam System.

Pengeluaran dan servis Toyota, Lexus kembali beroperasi

KERAJAAN telah membenarkan operasi beberapa sektor ekonomi bermula 16 Ogos lalu dan aktiviti pengeluaran, jualan dan pusat servis Toyota serta Lexus kembali dibuka.

Kesemua aktiviti ini dihentikan sejak 1 Jun 2021 dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata: “Kami mengalu-alukan kelonggaran ini dimana sekatan sebelumnya telah memberi cabaran kepada perniagaan kami dua bulan kebelakangan ini.”

Tambahnya, syarikat itu akan menjalankan operasi mereka dengan mematuhi dengan teliti segala garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan serta pekerjanya.

Pemilik kenderaan yang berhasrat membawa kenderaan ke pusat servis perlu membuat temujanji terlebih dahulu.

Ravindran turut berkata untuk bahagian pengeluaran, kelonggaran ini pastinya membantu mereka memenuhi segala tempahan yang telah tertangguh.

Gambar: Malay Mail

Dua kilang pengeluaran UMW Toyota dan fasiliti berkaitan akan mampu beroperasi pada kapasiti tertentu bergantung kepada peratusan pekerja yang telah divaksinasi. Mereka boleh beroperasi sepenuhnya jika vaksinasi mencapai lebih 80 peratus.

Sementara itu, Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor berkata, “Dengan kelonggaran ini, kami pastinya mempunyai banyak perancangan penting.

“Contohnya, kami telah membuat persediaan pemasangan tempatan (CKD) untuk Toyota Hybrid Electric Vehicle dan kami akan meneruskannya secepat mungkin selepas tertangguh.”

UMW Toyota Malaysia tangguh operasi, fokus bantu cegah Covid-19

UMW Toyota Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang terus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara di sebalik ancaman pandemik Covid-19.

Naib pengerusinya Akio Takeyama berkata, dasar kewangan diperkenalkan berjaya membantu syarikat itu kekal berdaya saing walau berdepan cabaran ekonomi semasa.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil beberapa langkah dan campur tangan.

“Ini memberi kesan yang tidak terlalu parah terhadap ekonomi termasuklah lanjutan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) yang kami percaya akan terus menyumbang di dalam memulihkan keyakinan membeli,” katanya.

Sementara itu, UMW Toyota menggantung sementara operasi pengilangan serta penjualannya.

Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K. berkata, ia sebagai langkah menyokong usaha membasmi penularan Covid-19 di negara ini.

“Kami telah menangguhkan sementara semua perkhidmatan tidak penting.

“Dalam masa sama, kami faham dalam keadaan tidak menentu ini, kami tetap boleh membantu dan menyediakan sokongan.

“Untuk itu, kami akan tetap ada sekiranya kenderaan anda rosak atau dalam kecemasan dan memerlukan perhatian,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, UMW Toyota Motor memberi lanjutan 30 hari bagi kenderaan pelanggan yang tamat tempoh jaminan ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

Baru-baru ini, UMW Toyota Motor  mengumumkan jualan kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia menunjukkan corak peningkatan.

Pada Mei, terdapat kira-kira 7,595 unit sekaligus mencatatkan peningkatan 120 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kenderaan elektrifikasi: Lexus jual dua juta unit seluruh dunia

USAHA Lexus menjadi salah satu pengeluar kenderaan terkemuka dunia tampaknya berada di landasan tepat.

Syarikat itu kini berjaya mencapai angka jualan dua juta kenderaan teknologi elektrifikasi di seluruh dunia.

Setakat ini, terdapat sembilan model model hibrid dan elektrik keluaran Lexus meliputi lebih 90 negara.

Menjelang tahun 2025, Lexus menyasarkan pengeluaran 20 model baharu menggunakan teknologi hybrid dan elektrik.

Langkah itu bukan sahaja demi memenuhi usaha pelestarian alam sekitar malah, menepati visi ‘Lexus Electrified’ yang dilancar pada 2019.

Pada masa sama, Lexus bercadang memansuhkan penggunaan enjin konvensional dan digantikan dengan teknologi elektrifikasi menjelang tahun 2050.

LF-Z Electrified bukan sahaja 'menawan' malah, memiliki kuasa yang luar biasa!

Selain itu, Lexus juga difahamkan sedang membangunkan teknologi sistem pacuan semua roda Direct4 dan steer-by-wire untuk kenderaannya.

Model konsep LF-Z Electrified misalnya menggunakan sistem ini menghasilkan kuasa 400kW (536hp) dan 700Nm tork.

Lexus mendakwa ia mampu mencapai pecutan 0 – 100 km/j dalam masa tiga saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j!

Bagi memberi kepuasan menyeluruh kepada pengguna, Lexus turut menggunakan bateri lithium-ion 90kWh sejukan cecair bagi kenderaannya.

Penggunaan bateri itu dikatakan mampu menyediakan jarak 600 kilometer selain mempunyai pengecasan pantas 150kW.

Lexus LM 350 ‘istana bergerak’, harga bermula RM1.15 juta

LAMBAKAN model minivan atau kenderaan pelbagai guna (MPV) jelas membuktikan terdapat permintaan tinggi bagi kenderaan jenis itu di negara ini.

Model Toyota Alphard dan Vellfire antara mendapat permintaan tinggi sesuai dengan harga dan kualiti ditawarkan.

Terkini, sebuah lagi kenderaan MPV terbaharu bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Dikenali sebagai Lexus LM 350, model ini tidak diragui mampu memikat setiap mata memandang.

Lexus LM 350

Tidak keterlaluan jika Lexus LM 350 diibaratkan seperti sebuah ‘istana bergerak’ yang sangat memukau.

Memiliki reka bentuk dan kekemasan hampir sempurna, Lexus LM 350 menyerlahkan kemewahan kepada si pemilik.

Memiliki kerangka badan sama seperti model Alphard, Lexus LM 350 bagaimanapun mempunyai sedikit kelainan pada bahagian lampu depan.

Ia memiliki lampu pemancar cahaya diod (LED) menyerupai bentuk anak panah persis mode Lexus yang lain.

Selain itu, Lexus LM 350 didatangkan dengan rim pelbagai jejari tiga-dimensi berdiameter 18-inci.

Walaupun rim tersebut kecil seinci berbanding yang terdapat pada Alphard, ia bertujuan mengurangkan bunyi dihasilkan tayar.

Setakat ini, hanya terdapat dua warna yang ditawarkan di pasaran Malaysia iaitu hitam dan White Pearl Crystal Shine.

Bagaimana pula dengan bahagian dalaman?

Tergolong sebagai kenderaan MPV, Lexus LM 350 bagaimanapun hanya mempunyai empat tempat duduk.

Ternyata, ia bertujuan untuk memberi keselesaan maksima kepada penumpang dan pemandu.

Secara asas, ia mempunyai konfigurasi sama seperti Alphard Royal Lounge yang mana terdapat bahagian pemisah antara kabin hadapan dan belakang.

Harga pasaran Lexus LM 350

Lexus LM 350 dijual pada harga RM1,148,000 tanpa insurans.

Namun, harga ini adalah termasuk cukai jualan kerana penghantaran pertamanya kepada pelanggan hanya bermula pada Julai nanti.

Sama seperti model Lexus lain, MPV ini mempunyai waranti lima-tahun tanpa had jarak perjalanan.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” autoplay=”true” autoplay_speed=”1000″ images=”472122,472119,472118,472121,472124,472123,472126,472125″]