Tag Archives: LG

Hyundai, LG buka kilang sel bateri EV pertama di Indonesia

Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution minggu lalu telah merasmikan pembukaan kilang pengeluaran bateri untuk kenderaan elektrik yang pertama di Indonesia.

Dengan kapasiti sel bateri tahunan berjumlah 10 Gigawatt jam (GWh), kilang tersebut mampu menyalurkan pek bateri yang diperlukan  lebih 150,000 unit EV, bermula dengan Kona Electric diikuti dengan pelbagai model Hyundai dan Kia.

Pembukaan kilang tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kedua-dua belah pihak untuk melabur sehingga $9.8 bilion (RM46.14 bilion) untuk membangunkan rantaian bekalan EV di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara.

 

 

Hyundai dan LGES juga sedang bersedia untuk membangunkan fasa kedua kilang tersebut melibatkan pelaburan $2 bilion (RM9.42 bilion) bagi menambah kapasiti sel bateri tahunan sebanyak 20 GWh.

Presiden Indonesia, Joko Widodo menjelaskan kilang bateri tersebut mampu mengukuhkan Indonesia dalam rantaian bekalan EV global.

“Ini merupakan kilang sel bateri EV yang pertama dan terbesar di Asia Tenggara, dan saya yakin kita akan dapat memenangi persaingan dengan negara lain disebabkan oleh sumber nikel, bauksit dan tembaga ada di sini,” ujarnya.

Indonesia memiliki rezab nikel yang paling besar dalam dunia, di mana negara itu telah mengenakan larangan eksport nikel mentah pada tahun 2020 bagi menggalakkan pelaburan dalam pemprosesan logam secara domestik.