Tag Archives: liberty media

Pemilik F1 ambil alih MotoGP dengan nilai EUR4.2 bilion

Pemilik sukan permotoran Formula 1, Liberty Media dengan rasminya menjadi pemilik baharu Kejuaraan Dunia MotoGP. 

Liberty Media kini menjadi pemegang syer terbesar MotoGP dengan pegangan 86 peratus sementara Dorna mengekalkan 14 peratus pegangan. 

Menurut laporan, perjanjian antara Liberty Media dan Dorna ini melibatkan EUR4.2 bilion dan ekuiti saham berjumlah EUR3.5 bilion. 

Dalam pada itu, pengambilalihan ini dijangka akan membawa perubahan besar terhadap MotoGP terutamanya melibatkan penganjuran, promosi, hak penyiaran dan harga tiket. 

Bagaimanapun, Liberty Media dalam satu kenyataan memaklumkan tiada perubahan ketara terhadap regulasi semasa MotoGP. 

Pemilik F1 hampiri pembelian MotoGP bernilai RM19.6 bilion 

Pemilik Formula 1, Liberty Media kini berada dalam peringkat akhir pembelian Kejuaraan Dunia MotoGP dari Dorna Sports. 

Financial Times melaporkan bahawa perjanjian antara Liberty dan Dorna kini semakin hampir untuk direalisasikan sekaligus bakal meletakkan dua sukan permotoran terbesar dunia bawah payung yang sama. 

FT turut mendakwa bahawa pembelian bernilai EUR4 bilion (RM19.6b) itu akan diumumkan seawal minggu hadapan. 

Menariknya, Liberty bukan satu-satunya pihak yang berminat mendapatkan MotoGP selepas berjaya menewaskan bidaan dari TKO, syarikat pemilik kepada UFC dan WWE.

Turut menyuarakan minat sebelum ini adalah Qatar Sports Investments yang merupakan pemilik pasukan bola sepak Paris-Saint Germain. 

Meskipun begitu, perjanjian antara Liberty dan Dorna dijangka berdepan penelitian terperinci dari badan perundangan dunia.