Tag Archives: litar drag

Kerajaan Pahang mahu bangunkan semula litar drag Pekan Speedway

KERAJAAN Pahang sedang meneliti usaha untuk membangunkan semula litar drag Pekan Speedway Circuit yang terletak berhampiran Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan yang sudah tidak beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

Hasrat itu dinyatakan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Gambar oleh: Pahang Media

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan platform kepada peminat aktiviti permotoran khususnya di kalangan anak muda di Pahang.

“InsyaaAllah Kerajaan Negeri Pahang bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk MAM, Pejabat Daerah Pekan, Majlis Perbandaran Pekan (MPP) dan juga KBS untuk memastikan hasrat ini tercapai.

“Ini hasrat Kerajaan Negeri untuk menyokong minat anak muda dalam sukan permotoran itu sendiri dan daripada ‘survey’ (tinjauan) yang kita buat minat ini semakin bersemarak sebenarnya di kalangan anak muda jadi sudah sampai masa Kerajaan Negeri sediakan lokasi yang sesuai untuk menyokong minat anak muda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan ke tapak litar drag di Pekan Speedway Circuit di Pekan.

Pekan Speedway Circuit yang telah menelan belanja RM3 juta itu mula dibina pada tahun 2014 hingga 2017 dengan keluasan tapak 400 meter panjang dan 40 meter lebar.

Justeru, satu perbincangan telah dilakukan bagi memanjangkan litar tersebut untuk meningkatkan kriteria keselamatan pengguna.

Jelasnya, usaha bersepadu amat diperlukan bagi memastikan Pekan Speedway Circuit dapat memulakan operasi semula sekaligus menjadi tarikan kepada anak muda yang meminati sukan permotoran.

Pekan Speedway Circuit juga mempunyai satu lagi litar yang lebih kompleks dan teknikal lengkap dengan struktur grandstand.

Litar ini pernah digunakan untuk sukan Cub Prix, perlumbaan karting, acara drift, dan beberapa acara permotoran lain.

Diharapkan kerajaan Pahang akan menilai untuk turut membangunkan semula litar ini yang sudah lama terbiar.

Cadangan litar drag setiap negeri tidak diteruskan – Menteri Belia dan Sukan

SATU lagi berita megecewakan hari ini selepas isu tol, kali ini isu sukan permotoran. Kerajaan persekutuan tidak merancang meneruskan cadangan pemerintahan sebelum ini untuk membina lita drag di setiap negeri.

Hannah Yeoh. Gambar oleh: Malay Mail

Dalam satu jawapan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata jika cadangan diteruskan – yang diumumkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – akan menimbulkan kos penyelenggaraan tinggi selain dipantau oleh pakar terlatih.

Terengganu Drag Strip. Imej oleh: Facebook

“Pada masa ini, kementerian memfokus dalam usaha menaik taraf dan membaiki kemudahan sukan sedia ada.

“Jika terdapat keperluan untuk membina litar-litar drag itu, Yang Berhormat boleh menyerahkan permohonan kepada kementerian untuk pertimbangan lanjut.

“Walaubagaimanapun, sebarang permohonan kemudahan sukan baharu hanya akan dipertimbangkan jika ia memenuhi terma yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi,” katanya yang menjawab kepada ADUN Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Ismail Sabri pada Ogos 2022 berkata cadangan itu disasarkan untuk meningkatkan pembangunan sukan permotoran di negara ini.

Menurutnya, apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Kerajaan cadang bina litar drag di setiap negeri – PM

KERAJAAN bercadang untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023, yang akan dibentang Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Setakat ini, hanya terdapat dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Terengganu Drag Strip. Imej oleh: Facebook

“Perlumbaan drag mungkin tidak terlalu bahaya jika dibandingkan dengan perlumbaan trek kerana ia hanya memerlukan jalan yang lebih pendek dan lurus,” katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Litar Permotoran Drag Strip di Gong Badak, Sabtu lepas.

Perdana Menteri juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, membabitkan pembangunan sukan motosikal dan kereta, yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlet permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional,” kata Ismail.

Menurutnya, kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

“Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal. Ketika banjir banyak kelab motor terbabit dengan kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

“Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan, dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti Mat Motor,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022, yang menerima lebih 30,000 kunjungan peminat sukan permotoran di seluruh negara itu.

Pada perhimpunan itu, penganjur turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Yamaha R1 1000cc bernilai RM135,000 serta dua buah Yamaha RXZ bernilai RM60,000.