Tag Archives: litar lumba

Inilah dia unit pertama Xiaomi SU7 Ultra terbabas dalam litar

Ini bukanlah kali pertama berita kemalangan melibatkan sedan elektrik buatan Xiaomi dilaporkan.

Jika anda masih ingat, tahun lepas sebuah Xiaomi SU7 Max dilapor terbabas di dalam litar disebabkan sistem brek yang tidak sesuai digunakan.

Menurut Xiaomi, sedan elektrik tersebut tidak dihasilkan untuk pemanduan serius di dalam litar.

Bagaimana pula dengan sedan pantas Xiaomi SU7 Ultra?

Menurut kata Xiaomi, SU7 Ultra dengan spesifikasi 1,526 hp dan tanda harga RMB529,900 (RM324 ribu) disahkan sesuai untuk kegunaan dalam litar lumba.

Namun, dalam tempoh beberapa hari selepas kumpulan kecil pertama SU7 Ultra diedarkan kepada pemiliknya, salah satu daripadanya dilapor terbabas di dalam litar lumba.

Dalam video rakaman yang muncul di laman media sosial Weibo, sedan tersebut dipandu melebihi 120 km/j di atas seksyen jalan lurus.

Walau bagaimanapun, pemandu kereta tersebut brek terlalu lewat menyebabkan SU7 Ultra itu terbabas dan melanggar tembok penghadang yang dibuat daripada tayar.

Akibatnya, bahagian hud, bampar hadapan, fender dan unit lampu utama remuk teruk. Mujur beg udara berfungsi dengan baik untuk memastikan pemandu kekal selamat.

Menurut pengasas dan CEO Xiaomi Auto, Lei Jun berkata, pemilik SU7 Ultra perlu memberikan tumpuan penuh pada aspek keselamatan, dan menyarankan mereka untuk menjalani latihan formal sebelum memasuki litar.

Biarpun Xiaomi SU7 Ultra mempunyai kuasa mencecah 1,526 hp dan 1,770 Nm, angka tersebut dihadkan kepada 900 hp dengan kelajuan maksimum 140 km/j untuk jarak pemanduan 300 km terawal.

Dalam kuasa penuh, SU7 Ultra mampu memecut sepantas 1.98 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 359 km/j.

Litar persendirian di Jepun ini merupakan syurga untuk golongan petrolhead

Selain daripada beberapa litar lumba terkemuka termasuklah Tsukuba Circuit, Fuji Speedway, Motegi Twin Ring dan juga Suzuka Circuit, Jepun kini mempunyai lokasi baharu untuk geng petrolhead merasai aliran adrenalin yang deras.

Terletak di Minamiboso, Wilayah Chiba kira-kira satu jam dari Tokyo, Magarigawa Club merupakan sebuah fasiliti resort bertemakan sukan permotoran dan tarikan utama sudah pasti kehadiran litar lumba yang nampak macam lahir dari permainan Gran Turismo.

 

 

Litar lumba sepanjang 3.57 km itu mempunyai sehingga 22 selekoh termasuklah beberapa selekoh teknikal, serta dua seksyen garis lurus sepanjang 800 meter.

Ya, untuk makluman rekaan litar ini sebenarnya datang daripada pereka litar terkenal Hermann Tilke yang sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan rekaan untuk Fuji Speedway dan Litar Antarabangsa Sepang.

 

 

Litar istimewa ini hanya boleh diakses oleh pemegang keahlian sahaja, di mana setiap ahli perlu membayar yuran berjumlah ¥36,000,000 (RM1.13 juta), tidak termasuk yuran tahunan ¥220,000 (RM6,880).

Terdapat juga kemudahan paddock yang dilengkapi dengan kawalan iklim, pasukan mekanik, stesen minyak kecil, kolam renang infiniti, tapak pendaratan helikopter, bantuan perubatan termasuklah perkhidmatan ambulans, serta ruang makan yang menawarkan pemandangan Teluk Tokyo dan juga Gunung Fuji.

 

 

Menurut video yang diterbitkan oleh Top Gear, idea di sebalik kewujudan litar ini datangnya daripada CEO Magarigawa Club yang mahu membawa keluarganya ke litar lumba, namun beliau tidak dapat mencari lokasi yang bersesuaian.

Dengan sumber kewangan yang ‘mencukupi’, maka idea tersebut direalisasikan di mana pembinaan fasiliti ini mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.

Seperti yang diungkapkan oleh hos Top Gear, Magarigawa Club secara asasnya merupakan ‘syurga’ kepada golongan petrolhead di luar sana.

 

Litar Magarigawa Club

Banyak litar lumba belum diiktiraf, Wazi sindir punca rempit berleluasa

BEKAS pelumba motosikal negara Wazi Abdul Hamid mempersoalkan usaha pihak berwajib yang dilihat tidak serius dalam membangunkan sukan permotoran di Malaysia.

Ia susulan pendedahan sebuah stesen televisyen berhubung status litar lumba negara ini yang kebanyakan masih belum diiktiraf pihak berwajib.

Katanya, perkembangan ini bukan sahaja merencatkan pembangunan sukan permotoran malah, mengundang kepada masalah lumba haram yang semakin serius.

“Patut masih banyak rempit (lumba haram) jalanan berleluasa di Malaysia.

“Kita ada banyak litar seluruh Malaysia tapi tiada kelulusan daripada badan kerajaan.

“(Ia) macam ada parlimen tapi taka da menteri. Litar ada tapi kejohanan tidak boleh dianjurkan. Kesian rakyat bermotosikal kita,” katanya di Facebook, semalam.

Masalah lumba haram bukan suatu yang baharu di negara ini. – Foto ihsan Malay Mail

Menerusi laporan berita, difahamkan terdapat lebih tujuh litar lumba yang masih belum mendapat kelulusan daripada pihak berwajib.

Antara litar tersebut termasuk Litar Dato Sagor, Melaka International Motorsports Circuit, Litar Pasir Gudang, Tangkak Racing Track dan Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor.

Selain itu, dua lagi litar di Selangor iaitu Speedway Plus Circuit dan City Karting berdepan masalah sama.

Sejak tahun 2020, hanya tiga litar telah diiktiraf untuk menganjurkan perlumbaan iaitu Litar Antarabangsa Sepang, Litar Antarabangsa Sepang Go-Kart dan Morac Adventure Park di Langkawi, Kedah.

Kewujudan Litar Dato’ Sagor di Perak antara inisiatif baik dalam usaha memajukan sukan permotoran di Malaysia. Foto ihsan Facebook/Maymeilagie Lagie

Sementara itu, Wazi turut menyatakan kesediaan membantu pihak berwajib bagi memajukan sukan permotoran dan masalah lumba haram.

Jelas Wazi, beliau bersedia menyediakan kertas cadangan sebagai usaha membantu mereka yang meminati sukan perlumbaan khususnya bagi anak muda.

“Mana senator sukan bermotor? Cepat saya nak hantar kertas cadangan untuk anak muda di jalanan,” katanya lagi.

F1: Perlumbaan GP Kanada batal susulan peningkatan kes Covid-19

KEJOHANAN Formula Satu (F1) bakal menyaksikan Grand Prix Kanada tercicir daripada jadual perlumbaan musim ini.

Keputusan dibuat selepas Kanada mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sekaligus memaksa perlumbaan dibatalkan.

Menerusi keputusan itu, venue perlumbaan terpaksa dirombak dengan Turki bakal menganjurkan perlumbaan itu pada 11 hingga 13 Jun nanti.

Memetik laporan media antarabangsa, terdapat juga perubahan tarikh bagi Grand Prix GP Azerbaijan.

Perlumbaan di Baku City Circuit akan dianjurkan seminggu lebih awal dari tarikh ditetapkan sebelum ini.

 

Lumba haram: Polis sita 30 kenderaan, tahan lima remaja

USAHA membasmi kegiatan lumba haram terus diperhebat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan beberapa lokasi ‘panas’ seluruh negara.

Semalam, lebih 30 buah kereta disita selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan lumba haram di daerah Kuantan dan kawasan sekitar.

Operasi dijalankan lebih tujuh jam di Taman Perindustrian Indera Mahkota 14 turut menyaksikan lima remaja ditahan membabitkan kesalahan lalu lintas.

Kesemua remaja terbabit ditahan selepas gagal mengemukakan lesen memandu apabila diminta berbuat demikian.

Sementara itu, polis masih menyiasat sama ada kegiatan lumba haram di kawasan itu melibatkan wang pertaruhan.

Siasatan dijalankan atas pelbagai kesalahan membabitkan Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah.

Sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.