Jaguar baru-baru ini mendedahkan identiti dan logo serba baharu bagi menandakan permulaan era EV sepenuh masa jenama mewah tersebut.
Menurut Jaguar, ciptaan semula itu adalah berdasarkan falsafah daripada pengasasnya, Sir William Lyons yang terkenal dengan kata-kata “Sebuah Jaguar seharusnya tidak meniru apa-apa”.
Empat tunjang utama di dalam pembaharuan semula identiti Jaguar ialah:
Device Mark – logo minimalis yang menggunakan muka taip Exuberant Strike Through – 16 jalur melintang yang bakal digunapakai pada model akan datang Exuberant Colors – palet warna baharu untuk model Jaguar Maker’s Mark – terdiri daripada dua simbol, iaitu imej Jaguar meloncat serta monogram yang menampilkan huruf j dan r.
Keempat-empat visual ini akan muncul pada model konsep serta tiga model produksi elektrik yang dijanjikan pelancarannya sebelum tahun 2030.
Salah satu model yang bakal dilancarkan itu merupakan sebuah sedan berdasarkan kemunculan kelibat model ujian yang penuh dengan pelekat samaran.
Ia membawakan reka bentuk sedan yang rendah dan panjang, seakan-akan gabungan antara Porsche Taycan dan BMW i7.
Reka bentuk yang jauh berbeza berbanding pendekatan yang diguna pakai Jaguar sebelum ini menandakan kesediaan pengeluar itu untuk bersaing dengan jenama-jenama ultra mewah lain seperti Bentley dan Rolls-Royce.
KUDA menjadi simbol paling popupar digunakan sebagai logo syarikat-syarikat kereta kerana haiwan ini menunjukkan sifat kekuatan, kelincahan, dan kelajuan.
Penggunaan kuda dalam logo bukanlah baharu, malah sejak ribuan tahun dahulu. Dalam banyak budaya, kuda juga dikaitkan dengan kuasa dan kebebasan.
Sudah tentu jenama paling popular yang kita tahu menggunakan logo kuda ialah Ferrari. Kaki kereta pula mungkin tahu akan Porsche dan Mustang yang juga menggunakan simbol kuda.
Dalam artikel ini kita akan lihatkan 10 jenama pilihan. Ya, banyak lagi selain tiga jenama di atas.
1. Corre La Licorne
Corre La Licorne ialah pengeluar kereta Perancis yang diasaskan sejak 1901 di Levallois-Perret, oleh Jean-Marie Corre.
2. Pegaso
Pegaso berasal dari perkataan Bahasa Sepanyol dan bermaksud Pegasus dalam Bahasa Inggeris, merupakan pengeluar trak, bas, traktor, dan kenderaan perisai. Mereka juga pernah mengeluarkan kereta sports untuk seketika.
Pada 1990, Iveco mengambil alih Enasa, dan nama Pegasus hilang terus pada 1994. Nama Pegaso (kuda bersayap) merupakan satu inspirasi logo untuk satu masa yang lama dan pernah digunakan untuk emblem pada seni dan rekaan.
3. Iran Khodro
Iran Khodro yang juga dikenali sebagai IKCO ialah pengeluar dari beberapa negara, tetapi berpangkalan di Tehran. Nama asalnya ialah Iran National.
4. Eicher
Eicher Motors Limited (EML) ialah pengeluar India yang menghasilkan motosikal dan kenderaan komersial. Eicher juga merupakan syarikat induk kepada Royal Enfield.
Selain motosikal, Eicher juga pernah bekerja sama dengan Volvo Trucks dan membentuk pakatan VECV (Volvo Eicher Commercial Vehicles Limited).
5. Baojun
Seterusnya ialah Baojun, yang merupakan hasil kerjasama General Motors dengan dua syarikat China. Logo kuda pada Baojun ini bermaksud “treasured horse” atau kuda berharga.
6. Kamaz
Jenama seterusnya yang menggunakan simbol kuda ialah Kamaz, sebuah pengeluar trak dan enjin dari Rusia.
Diasaskan pada 1969, Kamaz popular dengan trak cab-over, dan nama Kamaz itu merujuk kepada Sungai Kama.
Simbol kuda berlari di padang pada logo Kamaz mewakili kekuatan dan kelincahan.
7. Carlsson
Carlsson pula ialah syarikat talaan kenderaan yang memfokus kepada kereta-kereta Mercedes-Benz.
Syarikat ini diasaskan pada 1989 dan simbol kuda sangat sesuai untuk Carlsson memandangkan mereka menjadikan model-model Mercedes lebih laju dan sporti.
8. Ford Mustang
Mustang menggunakan logo kuda sendiri dan unik, tidak menggunakan logo Ford seperti model-model lain.
Seperti yang semua tahu, Mustang ialah muscle car dan nama ini begitu ikonik, generasi pertamanya lahir pada 1964. Mustang kini dalam generasi keenam dan menjadi nama paling lama dikeluarkan dalam sejarah Ford.
Mustang ialah sejenis kuda yang bebas di kawasan barat Amerika Utara. Ini yang mereka mahu zahirkan kepada pembeli melalui logo – kereta mereka mempunyai kelajuan dan kualiti.
9. Porsche
Kuda pada logo Porsche diambil dari Coat of Arms, mewakili ladang kuda khas di Stuttgart, Jerman. Stuttgart menggunakan kuda sebagai lambang/jata bandar mereka, dan ini memberi inspirasi kepada Porsche untuk menggunakan haiwan itu dalam logo mereka.
10. Ferrari
Akhir sekali ialah jenama yang terpaling kuda – Ferrari. Asalnya, simbol ini digunakan oleh juruterbang Perang Dunia Pertama, Francesco Baracca pada kapal terbangnya. Sebab kenapa kuda pada Ferrari berwarna hitam ialah untuk berkabung atas juruterbang yang terkorban.
Prancing Horse digunakan oleh sebahagian logo Ferrari dan Scuderia. Kuda yang melompat itu memberi maksud kuasa dan ini yang dirasakan oleh peminat serta pemandu Ferrari.
PORSCHE menjadi pengeluar kereta terkini yang mengemas kini logo atau lencananya, tetapi anda harus jadi peminat tegar untuk nampak perbezaannya.
Walaupun pembaharuannya sedikit, Porsche mengatakan mereka perlu tidak kurang dari tiga tahun untuk memperhalusi rekaan lencana ikonik mereka.
Kita dapat melihatnya di sebelah barisan lencana-lencana sebelum ini, yang pertama digunakan sejak 1952. Ia kemudian ditukar pada 1954, 1963, 1973, 1993, dan 2008.
Lencana yang diperbaharui itu akan dipasang pada kenderaan-kenderaan bermula hujung tahun ini. Apa yang berubah adalah, terdapatnya struktur honeycomb (sarang lebah) di seksyen merah manakala kemasan logam berus memberikannya rupa lebih sofistikated.
Pengeluar itu juga tidak meninggalkan terus rekaan sebelumnya, semua lencana retro masih boleh anda pesan dan beli melalui Porsche Classic.
Perincian lain yang boleh dilihat adalah kuda yang diilhamkan dari ikon bandar raya Stuttgart manakala warna hitam dan merah serta tanduk rusa diambil dari lencana Württemberg-Hohenzollern.
Lencana original 1952 direka oleh Franz Xaver Reimspieß, yang juga dikatakan telah melukis logo Volkswagen pada 1936.
Lencana 1952 mula dipasang pada stereng sebelum dipasang pada pembuka hud Speedster pada November 1954. Kemudian pada 1959 ia mula dipasang pula pada hubcab rim.