Tag Archives: lori

Kemalangan lima buah lori di Ipoh, seorang pemandu maut

Seorang pemandu lori maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan lima buah lori di Kilometer 288.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Insiden berlaku malam tadi di Ipoh itu turut menyaksikan tiga yang lain mengalami kecederaan.

Memetik laporan Bernama, kemalangan berlaku apabila sebuah lori dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori lain.

“Mangsa memandu lori tersebut hilang kawalan apabila tiba di lokasi kemalangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori lain.

“Ia menyebabkan lori itu menggelongsor melanggar tiga lagi buah lori yang berada di hadapannya.

“Mangsa mengalami kecederaan dan tersepit dalam kenderaan serta meninggal dunia di lokasi kemalangan,” memetik kenyataan polis.

Mangsa meninggal dunia dikenali sebagai Ahmad American Ahmad Danial berusia 42 tahun.

Pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian terpaksa memotong tiang rangka lori terbabit bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Sementara itu, bomba mengesahkan tiada sebarang kebocoran pada lori tangki dipandu mangsa yang membawa bahan kimia LPG dengan muatan 20,000 kilogram.

KSM: Majikan bawa pekerja positif Covid-19 naik lori ditegur

TINDAKAN majikan membawa pekerja positif Covid-19 menaiki lori mendapat teguran Kementerian Sumber Manusia (KSM).

KSM dalam satu kenyataan berkata, majikan diminta menggunakan kenderaan sesuai bagi membawa pekerja yang dijangkiti Covid-19.

Jelas KSM, tindakan membawa pekerja positif Covid-19 menggunakan lori bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah, turut mengancam individu lain.

“KSM menggesa para majikan mengambil tindakan sewajarnya dalam membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja,” memetik kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial foto sekumpulan pekerja warga asing dibawa menaiki lori.

Kesemua pekerja positif Covid-19 dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

Polis mengesahkan 48 lelaki terbabit merupakan antara 135 pekerja kilang memproses ayam di Sungai Lalang, Sungai Petani.

Pemandu lori disaman kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan Lesen Kenderaan Memandu (LKM) bagi tujuan lain.

Pihak pengurusan kilang disiasat mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada masa sama, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit.

Terdahulu, KSM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap majikan yang melanggar undang-undang.

‘Sumbat’ warga asing pakai gelang pink dalam lori, warga maya akui malu

DUA foto menunjukkan sekumpulan warga asing menaiki sebuah lori yang sesak tular di media sosial.

Hantaran salah seorang pengguna Twitter itu mendapat perhatian kebanyakan warga maya yang menganggap ia perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Berdasarkan foto terbabit, kesemua warga asing dipercayai dalam perjalanan ke pusat kuarantin Covid-19.

Hal ini kerana kelihatan beberapa individu dalam foto itu memakai ‘gelang’ merah jambu yang kebiasaan dipakai oleh mereka dikenakan kuarantin.

“Bayangkan kalau bangsa kita yang memburuh di negeri orang, legal mahupun illegal dilayan macam ini, apa respon kita?

“Malaysia, kita lebih baik daripada ini,” kata individu menggunakan nama Adam Adli di media sosial.

Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial kecewa dengan situasi berlaku dan berharap ia tidak berulang di masa depan.

Pada masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang menyalahkan majikan pekerja warga asing terbabit yang didakwa enggan menyewa bas sebagai langkah penjimatan.

“Pergi salahkan tokey (majikan) yang tak nak keluar modal sewa bas,” kata Shelah Eber.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut.

Bagaimanapun, ada pengguna media sosial mendakwa ia berlaku di Sungai Petani yang terletak di negeri Kedah.

Black Maria antara lori paling digeruni

SEBUT nama ‘Black Maria’ pasti ramai yang gerun mendengarnya.

Sering kelihatan membawa pesalah atau orang kena tuduh (OKT), ‘Black Maria’ antara kenderaan telah lama digunakan oleh pasukan polis negara ini.

Namun, sejauh mana pengetahuan anda mengenai kenderaan digeruni ramai ini?

Artikel kali ini penulis ingin menceritakan serba sedikit mengenai sejarah ‘Black Maria’.

Sejarah Black Maria

‘Black Maria’ merupakan kenderaan jenis lori atau van yang digunakan polis untuk membawa OKT atau pesalah.

Kenderaan ini dilengkapi sangkar besi di bahagian muatan bagi tujuan keselamatan.

Sangkar besi ini boleh dikunci menggunakan mangga bagi mengelak tahanan daripada melarikan diri ketika dalam perjalanan ke suatu lokasi.

Setakat ini tidak dapat dipastikan tarikh sebenar ‘Black Maria’ digunakan anggota polis negara ini.

Bagaimanapun, sejarah membuktikan bahawa ‘Black Maria’ telah lama digunakan anggota polis bagi membawa pesalah.

Nama ‘Black Maria’ mula diguna selepas kenderaan itu sering kelihatan membawa seorang pesalah wanita bernama Maria pada tahun 1962 di New Jersey, Amerika Syarikat.

Pada zaman dahulu pula, ‘Black Maria’ merupakan wagon paddy yang diubah dijadikan sebagai kenderaan membawa pesalah.

Lama-kelamaan ‘Black Maria’ yang lebih canggih direka dengan dilengkapi sangkar besi selepas terdapat kes pesalah menyerang anggota polis.

Insiden ‘Black Maria’

Setakat ini, terdapat beberapa insiden pernah menimpa ‘Black Maria’ di negara ini termasuk mambabitkan kes kemalangan dan perkara mistik.

Pada 2017, sebuah ‘Black Maria’ mengalami kemalangan ketika membawa 14 OKT dan tujuh anggota polis.

Insiden berlaku di Kulim, Kedah itu menyebabkan kesemua mereka menaiki kenderaan tersebut mengalami kecederaan.

Memetik laporan berita, kemalangan berpunca apabila kenderaan ‘Black Maria’ itu terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

Selain itu, terdapat juga beberapa kisah seram membabitkan kenderaan ‘Black Maria’.

Terdapat individu yang percaya sesiapa pernah menaiki ‘Black Maria’ akan ditimpa nasib malang selain berpotensi untuk terus ditahan pihak berkuasa di masa hadapan.

Demikian antara cerita ringkas mengenai ‘Black Maria’ yang digunakan pihak berkuasa negara ini.

Walau apa jua kisahnya, paling penting semoga kita semua terus dijauhkan daripada menaiki kenderaan ini.

Pastikan patuhi undang-undang dan kekal menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

Lori tangki kemalangan, Plaza Tol Juru ‘dibanjiri’ minyak sawit

KEMALANGAN membabitkan sebuah lori tangki minyak sawit menyebabkan kesesakan luar biasa di Plaza Tol Juru arah utara dekat Seberang Perai.

Memetik laman Facebook Penang Kini, insiden berlaku selepas lori terbabit dikatakan terlanggar penghadang besi plaza tol berkenaan.

Menerusi foto dikongsi di media sosial, kelihatan kawasan sekitar kemalangan dilimpahi minyak sawit susulan berlaku kebocoran pada tangki muatan lori itu.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berwajib berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, di media sosial rata-rata orang ramai mempersoalkan tindakan pemandu lori yang didakwa cuai.

Terdapat juga individu meluahkan rasa simpati kepada pemandu lori yang berkemungkinan dikenakan tindakan oleh pihak majikan.