Tag Archives: lumba

Subaru BRZ Cup dengan rim kompang, sedia masuk litar!

SUBARU BRZ telah berada dalam pasaran Jepun sejak 2013, dengan beberapa versi diperkenalkan seperti RA dan Cup Car Basic.

Untuk 2024, coupe sports untuk peminat tegar pemanduan ini mendapat kemas kini baharu, tetapi masih murah.

Anda masih dapat rim steelies (kompang/besi) 16-inci dengan tayar 205/55 biasa, ini kerana Subaru tahu anda pasti akan tukar sebaik sahaja kereta dibeli.

Yang penting adalah bahagian-bahagian lain, seperti roll-cage enam-poin dan bar sisi yang telah dimodifikasi. BRZ Cupa Car Basic 2024 ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan EyeSight sebagai standard, sesuatu yang tidak disangka untuk kereta kegunaan litar.

Sama seperti sebelum ini, versi hardcore ini tidak dilengkapi dengan beg udara, malah tiada penebat bunyi. Tempat duduk pemandu siap dengan lubang untuk tali pinggang keledar enam-poin manakala karpet juga berbeza.

Subaru juga memasang penyejuk minyak enjin tambahan dan sirip udara untuk mengalirkan udara ke pembeda belakang.

Dari segi berat, BRZ Cup ini tidak banyak berbeza dengan versi biasa kerana ia masih mempunyai pendingin hawa. Beg udara pemandu telah dinyah-aktifkan dan tidak akan meletup jika berlaku perlanggaran kerana bukaannya telah dihalang dengan roll-cage.

Apa pun, Subaru BRZ Cup ini sedia untuk menyertai acara kompetitif seperti track day, perlumbaan one-make, drifting, atau gymkhana sebaik sahaja keluar bilik pameran. Tukar sahaja rim dan tayar, dan anda boleh terus daftarkan nama dalam acara.

Jentera ini berharga USD24,373 (RM115,812) di Amerika Syarikat, dikira agak murah jika dibandingkan dengan BRZ biasa yang berharga USD30,195 (RM143,476).

Maserati MCXtrema jentera litar ekstrem, 62 unit sahaja, harga 7 angka, habis terjual

Satu lagi jentera yang didedahkan dari Monterey Car Week 2023, kali ini Maserati MCXtrema. Ianya supercar untuk kegunaan litar sahaja, diasaskan dari MC20.

Tetapi MCXtrema mendapat pakej aerodinamik agresif yang menjadikannya nampak lebih ganas, berkepak, lebih ekstrem seperti namanya, dan enjin 3.0 V6 Nettuno yang ditala untuk menghasilkan 730hp.

Hanya 62 unit MCXtrema akan dihasilkan, hanya untuk kegunaan litar, dan tidak boleh dipandu di jalanan. Tetapi untuk pengumpul dan pelumba, MCXtrema akan menjadi model susulan sesuai selepas MC12 Corsa yang pernah dihasilkan awal 2000-an.

Dalam mengubah MC20 dari supercar kepada jentera litar agresif, ia dipasang dengan pakej aerodinamik merangkumi splitter depan gentian karbon yang rendah dan panjang.

Terdapat air curtain untuk mengalirkan udara ke sekeliling dan bawah kereta, manakala ruang udara berbentuk trident pada clamshell menambahkan downforce.

Di bahagian belakang, terdapat flying buttress di sekitar tiang-B menghala ke spoiler dan radiator enjin. Corong udara di bumbung pula bersambung dengan sirip jerung besar, direka untuk meningkatkan kestabilan kereta dan menyalurkan udara ke belakang.

Maserati berkata bahagian bawah MCXtrema hampir rata sepenuhnya untuk aerodinamik. Di kokpit, segala yang tidak diperlukan telah dibuang untuk mengurangkan berat dan membantu pemandu fokus kepada tugas di tangan.

Tiada papan pemuka, hanya struktur crossbeam untuk meletakkan command centre. Sterengnya mendapat paparan 5.0-inci, butang, dan tombol bulat, dibina dari karbon dan aluminium. Ini bukan sahaja untuk astetik, tetapi juga sesuai untuk ergonomik pemanduan litar.

Setiap unit akan dibina khas untuk setiap pelanggan, maka segala posisi stereng, kotak pedal, butang kawalan, serta tali pinggang 6-point dikonfigurasikan khas.

Pemandu boleh mendapat maklumat seperti kalibrasi traction control, catatan masa, pengehad kelajuan pit, dan sistem komunikasi melalui stereng dan command centre.

Nadi kepada jentera ekstrem ini ialah enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 730hp pada 7,500rpm, dengan 730Nm tork. Enjin dipadankan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan, menghantar kuasa ke roda belakang melalui LSD (limted-slip differential).

Suspensi adalah double-wishbone di kesemua empat roda, dengan geometri khas untuk MCXtrema. Ia juga dilengkapi penyerap hentak, spring, dan bar anti-oleng boleh-laras untuk membolehkan kereta ini mudah ditala untuk litar dan permukaan spesifik. Brek pula adalah dari gentian karbon.

Harga tidak didedahkan, tetapi Maserati berkata kesemua 62 unit telah terjual, dengan harga melebihi tujuh angka. Pengeluaran akan bermula pada pertengahan 2024, dan penghantaran menyusul selepas itu.

Kumpulan peladang Thailand ini berlumba guna traktor padi, pun boleh!

Benarlah apa orang kata. Letak saja enjin pada sesuatu benda, pasti akan ada orang berlumba dengannya. Ini terbukti dengan suatu scene di Thailand, dimana mereka berlumba di kawasan ladang. Apa yang dipandu itu?

Menurut perkongsian CB Media di Youtube, peladang-peladang Thailand berluma dengan tractor bising yang dimodifikasi dan dipandu secara berdiri. Ia mirip berlumba kereta kuda, cuma jenteranya di depan adalah enjin.

Mereka berlumba drag di laluan lurus yang dibina di permukaan tanah (dirt) berdekatan kawasan ladang padi Thailand. Pelumba-pelumba ini dilengkapi dengan peralatan keselamatan mereka sendiri, seperti topi keledar basikal dan pelindung tulang kering motosikal.

Di kawasan perlumbaan juga terdapat pelbagai jentera dipamerkan, mereka mempunyai tahap kustom yang agak menarik. Antaranya adalah tangki minyak gentian karbon dan anodized, rim fancy, dan skema warna untuk pelumba.

Ekzos adalah jenis bising tanpa peredam bunyi, membingitkan suasana. Enjin diesel silinder tunggal yang digunakan mungkin tidaklah begitu berkuasa, sekadar beberapa puluh hp, tetapi ia tetap memberikan aksi persembahan menarik.

Kebanyakan pelumba berentap dengan tempat pemijak manakala enjin dan roda pacuan di depan. Ada juga yang membina jentera rendah panjang seperti dragster, lengkap dengan roda stereng dan kotak gear.

Secara keseluruhan, ianya suatu sukan yang seronok ditonton. Tanah-tanah memercik ke atas saat tayar memacu laju ke depan.

Dalam video, jentera ini dipanggil sebagai rice tractor atau traktor padi, tetapi ada juga beberapa gelaran oleh rakyat tempatan, antaranya “ekong”, “e-tak”, dan “e-tan”, mengikut jenis dan konfigurasi.

Ini macam pun boleh! Asalkan seronok dan selamat.

3-silinder ‘makan’ 4-silinder, Geely Coolray (Proton X50) menang drag dengan Honda Civic

ANDA masih ragu-ragu dengan kemampuan enjin 3-silinder? Mungkin video yang kami paparkan ini boleh mengubah persepsi anda.

Ini kerana sebuah Geely Coolray (kembar Proton X50) telah mengalahkan Honda Civic dalam acara lumba drag di Filipina. Seperti yang semua tahu, Proton X50 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 3-silinder manakala Honda Civic EG dipacu enjin 1.6-liter 4-silinder.

Menurut video pendek yang dikongsi dalam forum Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) di Facebook, acara itu merupakan kejuaraan National Drag Race Championship Filipina (NDRC PH) yang berlangsung di Clark International Speedway.

Dapat dilihat sebaik lampu bertukar hijau, dapat dilihat Geely Coolray memecut dengan lebih ‘clean’ mungkin kerana adanya Traction Control. Honda Civic pula bergelut sedikit dengan cengkaman, kerana dapat dilihat asap pada kawasan tayar depan.

Geely Coolray itu terus meninggalkan Civic dalam acara sejauh 400 meter itu.

Kami tidak pasti akan spesifikasi setiap kenderaan, apakah modifikasi yang dilakukan pada kedua-dua kenderaan tersebut. Geely Coolray nampak agak ‘standard’, manakala Civic pula nampak cukup ‘perang’ dengan hos kemasukan udara di lampu depan kanan.

“Honda Civic dengan ram air system berentap dengan Coolray turbo, dari Geely, pembuat Volvo. Pengecas turbo, tiga silinder, kawan. Dan pemenangnya ialah Geely,” kata pengulas perlumbaan.

Enjin Proton X50 di pasaran Malaysia varian paling berkuasa dengan enjin TGDI menghasilkan sekitar 175hp dan 255Nm tork, mungkin lebih tinggi dari Civic jika menggunakan enjin B-Series. Tetapi X50 juga lebih berat.

Apa pun, menarik untuk kita tontoh kenderaan berenjin 3-silinder memecut lebih pantas dari kenderaan berenjin 4-silinder.