Tag Archives: m5

BMW M5 G90 tampil lebih agresif dengan kit M Performance Parts

BENAR, reka bentuk itu subjektif tetapi jika anda tanya penulis, BMW M5 generasi G90 nampak kurang berbisa walaupun pada hakikatnya, ia mempunyai ‘jantung’ hibrid baharu yang mampu menghasilkan 717 hp dan 1,000 Nm.

Nasib baiklah BMW telah memperkenalkan M Performance Parts untuk menyerlahkan sisi atletik serta meningkatkan aerodinamik sedan berprestasi tinggi itu.

Menurut syarikat itu, komponen-komponen luaran M Performance Parts diperbuat daripada gentian karbon. Ini termasuk splitter depan dan diffuser belakang – kedua-duanya dibahagikan kepada dua bahagian.

Turut disertakan adalah sill extensions iaitu tambahan kepada skirt sisi, spoiler belakang serta trim muncung ekzos yang diperbuat daripada campuran titanium/gentian karbon dan dihiasi dengan logo M5.

Tidak cukup dengan itu, BMW turut menawarkan penutup tangki minyak gentian karbon dan set pelekat berwarna Frozen Black yang dikatakan tahan cucian kereta komersial. Rim aloi ringan M Performance pula boleh dipesan mulai musim panas tahun depan.

Apa yang menarik, pelanggan juga boleh mendapatkan beg khas untuk menyimpan tayar. Baru lah motorsport, kan?

Untuk ruang dalaman, tidak banyak yang ditawarkan kecuali karpet lantai yang dihiasi dengan warna kontras dan selongsong kunci yang dibalut kulit nappa berwarna hitam.

Dengan enjin 4.4-liter biturbo V8 yang dibantu oleh sistem hibrid, transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan xDrive, M5 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat.

Ia mungkin kedengaran hebat, tetapi model baharu ini sebenarnya 0.2 saat lebih perlahan berbanding M5 F90 dek kerana berat keseluruhannya yang hampir mencecah 2.5 tan.

Bagaimanapun, tidak seperti model generasi terdahulu, M5 kini boleh bergerak sejauh 69 km tanpa menggunakan setitik bahan api dengan adanya pek bateri berkapasiti 18.6 kWj.

BMW Malaysia mencari pemilik BMW M tertua sempena sambutan ulangtahun ke-50

BMW M GmbH akan menyambut ulangtahun yang ke-50 pada Selasa depan, 24 Mei 2022. Dan untuk itu, BMW Group Malaysia akan menyertai sambutan itu dengan mencari pemilik BMW M tertua di negara ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang. BMW M dikatakan sebagai “huruf paling berkuasa di dunia”, dengan penghasilan jentera-jentera berprestasi tinggi dan jentera lumba yang mendominasi litar-litar seluruh dunia.

Ianya bermula dengan penubuhan divisyen BMW Motorsport GmbH pada sekitar 1972 dan menjadi elemen penting dalam BMW Group memandangkan mereka mampu menggabungkan fungsi perlumbaan dengan rupa sporti untuk sesebuah kenderaan.

Pasukan ini bermula dengan projek 3.0 CSL yang dibina untuk European Touring Car Championship. Jentera ini terus mendominasi perlumbaan ini setiap tahun dari 1975 hingga 1979.

BMW 3.0 CSL juga menjadi dua model pertama di BMW Art Cars yang dicat oleh artis terkenal Alexander Calder dan Frank Stella.

Sehingga hari ini, BMW M telah menghasilkan pelbagai jentera berprestasi tinggi yang seronok dipandu, bermula M1, M2, M3, M4, M5, M6, M8, termasuk SUV mereka X3 M, X4 M, X5 M dan X6 M.

Berbalik kepada pencarian BMW M tertua di Malaysia, BMW Malaysia mencari model BMW M tertua dalam setiap siri.

Jika anda adalah pemilik atau anda mengenali pemilik berkenaan, anda boleh hantarkan butiran di pautan ini.

Dan ada pemenang! Ya, pemenang berpeluang memenangi barangan BMW M eksklusif dan kenderaan mereka akan dipamerkan oleh BMW Group Malaysia. Mereka yang bukan pemilik tetapi menghantar butiran yang betul juga akan memenangi hadiah.

Tarikh tutup penghantaran/penyertaan adalah pada 8 Jun 2022 ini.