Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI dengan harga minimum serendah RM100, yang bermula semalam dan akan berakhir pada pukul 10 malam, Rabu ini.
Proses bidaan ini dilakukan melalui Sistem JPJeBid.
Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata keputusan bidaan NPI tersebut akan diumumkan pada Khamis dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
“Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada Terma dan Syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid,” katanya.
Beliau berkata harga bidaan minimum bagi siri nombor plat berkenaan ditetapkan mengikut kategori iaitu RM20,000 untuk ‘Nombor Utama’, RM5,000 (Nombor Premium), RM2,500 (Nombor Menarik), RM500 (Nombor Popular) dan RM100 (Nombor Semasa).
Mengulas mengenai NPI itu, Aedy Fadly berkata ia merupakan inisiatif kerajaan untuk menyokong agenda Malaysia MADANI sekali mempromosikan nilai MADANI yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Katanya hasil penjualan akan digunakan untuk merealisasikan hasrat Kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan seperti Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, FlySISWA, Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan pelbagai inisiatif yang lain.
Kira-kira 180,000 kenderaan barangan masih belum memohon mendapatkan Fleet Card menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata mengikut rekod, terdapat 389,000 kenderaan barangan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 209,000 memohon Fleet Card dalam SKDS 2.0.
“Jumlah 209,000 itu telah diluluskan untuk subsidi diesel,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau menjelaskan, terdapat 33 kategori kenderaan, termasuk 10 kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres, manakala 23 lagi kategori membabitkan kenderaan pengangkutan barangan, logistik.
“Kategori kenderaan barangan, ada 389,000 yang berdaftar dengan JPJ, namun yang daftar untuk dapatkan Fleet Card sekitar 209,000, bermakna lebih kurang 180,000 lagi masih belum daftar.
“Mungkin yang belum berdaftar ingat mereka tak layak atau hanya punya satu, dua kenderaan dan rasa susah. Sebenarnya, walaupun satu, dua atau tiga kenderaan pun layak, tak perlu ada 20 kenderaan dalam syarikat.
“Asalkan mereka termasuk dalam 23 kategori kenderaan mengangkut barang yang tersenarai,” katanya menasihatkan pemohon dalam 23 kategori itu tidak bimbang memandangkan mereka yang memohon akan mendapat kelayakan serta-merta.
Beliau memberi contoh, jika permohonan Fleet Card daripada lima syarikat minyak yang mengambil masa untuk diproses, pemohon boleh menyimpan resit dan kemudian boleh mendapatkan bayaran balik.
“Bila ada Fleet Card, serta-merta dekat pam minyak sudah ada diskaun,” katanya.
Mengenai dakwaan pemberian subsidi RM200 tidak mencukupi bagi kenderaan barangan, Fuziah berkata, tiada kuota Fleet Card ditetapkan bagi kenderaan pengangkutan barang setakat ini.
“Penyasaran subsidi diesel di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ialah syarikat dan kita guna kan sistem Fleet Card. Berbeza dengan dua lagi,” katanya merujuk sistem Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi.
PERMOHONAN bagi Progam Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) yang melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi dibuka hari ini (28 Mei 2024).
Penerima yang layak akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu.
Manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.
“Pelaksanaan susulan kenyataan Perutusan Negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Bagi kategori BUDI Individu, pemohon mestilah warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.
Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
Manakala bagi BUDI Agri-Komoditi, pemohon mestilah berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20),” katanya.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.
Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama menjelang pertengahan Jun dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.
Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.
BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.
Amir Hamzah berkata, Program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada Kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.
“Seperti yang sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.
“Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi,” tambah beliau.
Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI boleh layari https://budimadani.gov.my.
Pemohon juga boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat budimadani@treasury.gov.my.
Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.