Tag Archives: Malaysia Autoshow 2025

Boon Siew Honda pamer dua konsep motosikal elektrik di Malaysia Autoshow 2025

Selain daripada mempamerkan barisan model terkini, Boon Siew Honda turut mempertontonkan dua buah motosikal konsep di Malaysia Autoshow 2025.

Model yang dimaksudkan itu ialah Honda EV Fun Concept, sebuah jentera naked berkuasa elektrik dan skuter maxi elektrik Honda EV Urban Concept.

Kedua-dua model ini telah pun dipamerkan di acara pameran motosikal antarabangsa EICMA bertempat di Milan, Itali pada bulan November tahun lepas.

 

Honda EV Fun Concept

Ia disifatkan sebagai motosikal sports, menawarkan pengalaman tunggangan yang beremosi dan dalam masa yang sama, senyap!

Jentera naked ini membawakan binaan kerangka badan yang ramping untuk tunggangan yang lebih lincah. Kehadiran sirip pada bahagian kiri dan kanan juga dilihat menyumbang kepada aspek pengendalian yang lebih baik.

Penggunaan trenkuasa elektrik pula melenyapkan unsur gegaran dan haba yang kerap menghantui penunggang motosikal.

Sistem bateri kekal dan pengecasan serasi CCS2 pula menawarkan pengalaman penggunaan yang tidak asing untuk pemilik EV sedia ada.

Menurut Honda, EV Fun Concept ini menawarkan jarak tunggangan melebihi 100 km, selain menyokong pengecasan pantas 30 minit untuk bateri mencapai 80 peratus SoC.

Honda EV Fun Concept ini dijadualkan penjualannya pada tahun 2025.

 

Honda EV Urban Concept

Ini pula sebuah skuter maxi berkuasa elektrik yang menggambarkan visi Honda terhadap mobiliti elektrik urban yang sebenar.

Sama seperti Fun Concept, EV Urban Concept ini memiliki binaan badan yang ramping, namun dengan perkadaran yang lebih muskular terima kasih kepada penggunaan rim 15 inci depan dan 16 inci di belakang, serta tayar yang lebar.

Ia juga turut mempunyai struktur penghadang angin, cermin sisi pada penghujung bar hendal, kemasan warna tembaga, dan sistem pacuan akhir menggunakan tali sawat.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian spesifikasi mahupun tarikh pelancaran diumumkan oleh pihak Honda.

 

Zeekr 009 Executive – motor tunggal FWD 340 hp, jarak gerak 604 km, harga RM310k

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr turut sama memperkenalkan varian baharu MPV mewah Zeekr 009 Executive.

Varian ini dikhususkan untuk mereka yang tidak mahukan sebuah MPV berkuasa tinggi, namun dalam masa yang sama mengekalkan pakej praktikaliti dan keselesaan untuk kegunaan keluarga.

Zeekr 009 Executive ini dijana dengan motor elektrik tunggal pacuan roda depan (FWD) menghasilkan 335 hp dan 373 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.9 saat.

Sementara pek bateri 116 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 604 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Tempahan untuk model Zeekr 009 Executive sudah pun dibuka dengan harga jualan bermula dari RM310,000 khas untuk 500 pelanggan pertama.

Selain daripada itu, Zeekr Malaysia turut memperkenalkan warna baharu Mineral Green untuk varian Zeekr 009 Luxury versi enam dan tujuh tempat duduk.

Untuk makluman, Zeekr 009 versi AWD pula menampilkan tetapan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan mencecah 603 hp dan 693 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.5 saat.

Disebabkan motor elektrik yang cukup berkuasa itu, jarak gerak untuk Zeekr 009 AWD adalah sejauh 582 km.

Kelengkapan ruang kabin termasuklah skrin kluster 10.25 inci, skrin tengah 15.05 inci, skrin paparan head-up realiti terimbuh 35.95 inci, serta tempat duduk baris kedua Sofaro First Class Aeronautics boleh laras.

Chery Tiggo 8 PHEV dipertonton, jangkaan pelancaran 2H 2025

Untuk ketua keluarga yang sedang mencari SUV serba baharu yang lebih berkuasa tanpa mengorbankan aspek ekonomi, inilah dia jawapan untuk anda – Chery Tiggo 8 CSH.

Sama seperti Chery Tiggo 7 CSH, Chery Tiggo 8 ini merupakan SUV plug-in hybrid (PHEV).

Ia hadir dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 143 PS dan 220 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik (204 PS), berserta transmsi DHT (Direct Hybrid Transmission) tiga-kelajuan.

Kuasa keseluruhan mencecah 347 PS dan 525 Nm.

Sementara pek bateri 18.3 kWh pula membenarkan jarak pandu elektrik sejauh 95 km, atau sehingga 1,200 km dalam mod pemanduan hibrid.

Tidak seperti Tiggo 8 Pro, Tiggo 8 PHEV ini membawakan muka hadapan yang lebih segar disumbangkan oleh lampu utama yang lebih tajam, kemasan jeriji yang berbeza, serta pemegang pintu tersorok.

Rekaan bampar belakang juga telah dikemas kini, membawakan tip ekzos berbentuk trapezoid.

Masuk dalam kabin, Tiggo 8 ini menampilkan susun atur papan pemuka baharu dengan skrin kluster instrumen dan skrin tengah dipisahkan.

Tiada lagi tombol gear fizikal di atas konsol tengah, sebaliknya telah digantikan dengan tuil penukaran gear yang terletak pada kolum stereng.

Selain itu, panel kawalan iklim berasaskan sentuhan juga tidak lagi wujud pada Tiggo 8 facelift ini.

Chery Malaysia mengesahkan model ini akan dilancarkan pada separuh kedua (2H) 2025 bersama-sama dengan model Tiggo Cross HEV dan Tiggo 7 PHEV.

Chery Tiggo Cross bakal dilancarkan di Malaysia – harga anggaran bawah RM100 ribu

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Chery Malaysia memperlihatkan beberapa buah model SUV yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Salah satu daripadanya ialah Chery Tiggo Cross, atau lebih dikenali sebagai Tiggo 4 di sesetengah pasaran.

Tiggo Cross secara asasnya merupakan sebuah SUV dalam segmen B, bakal memberikan saingan kepada model seperti Proton X50 dan Honda HR-V.

Untuk pasaran Malaysia, Chery mengesahkan Tiggo Cross boleh didapati dalam versi enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 147 PS dan 210 Nm, dipadankan dengan transmisi DCT enam-kelajuan.

Terdapat juga Tiggo Cross HEV yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA 102 PS/204 Nm dipadankan dengan motor elektrik 204 PS/310 Nm, pek bateri 1.8 kWh dan transmisi hibrid DHT (Dedicated Hybrid Transmission).

Versi hibrid ini menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, dengan jarak pemanduan keseluruhan mencecah sehingga 1,000 km.

Chery Malaysia tidak kedekut untuk mendedahkan spesifikasi model Tiggo 4 ini.

Antara ciri yang wujud termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang DRL LED, serta pilihan rim 18 inci (17 inci untuk model hibrid).

Kelengkapan untuk ruang kabin seperti skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 10.25 inci, kamera 540 darjah, sistem pencahayan ambien, pengecas peranti pintar tanpa wayar, sistem pendingin hawa dua zon, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri keselamatan termasuklah kelengkapan ADAS Tahap 2 yang merangkumi amaran penukaran lorong, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan autonomi, bantuan suluhan tinggi automatik, sistem pemantauan titik buta, pengelakan keluar lorong dan kawalan jelajah adaptif.

Varian hibrid mendapat ciri seperti tempat duduk larasan enam tahap dengan sokongan tulang belakang, tujuh beg udara, serta fungsi tambahan untuk ciri ADAS termasuklah amaran pelanggaran belakang, bantuan penukaran lorong dan amaran bukaan pintu.

Kami difahamkan model ini akan dilancarkan pada separuh kedua (2H) tahun ini, dengan harga jualan anggaran bawah RM100,000.

MGS5 EV kini boleh ditempah – anggaran RM115k, penjimatan hebat dan wallbox percuma untuk pelanggan terawal

Selepas dipertontonkan pada April lalu, SUV elektrik segmen B terbaharu dari MG Motor Malaysia iaitu MGS5 EV kini dibuka untuk tempahan.

Kini dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025, MGS5 EV akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Com dan Lux. Varian Com boleh didapati dengan bateri 49 kWj atau 62 kWj, masing-masing memberikan jarak sehingga 340 km dan 430 km berdasarkan kitaran WLTP.

Sementara itu, varian Lux pula didatangkan dengan satu pilihan bateri sahaja iaitu 62 kWj yang turut menawarkan jarak gerak sehingga 430 km.

Kedua-dua varian dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 170 PS dan 250 Nm.

Menurut MG, varian Lux menyokong pengecasan pantas sehingga 150 kW yang membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilengkapkan dalam masa hanya 26 minit. Turut disertakan adalah pengecasan AC 7 kW dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

MGS5 EV akan diposisikan sebagai pesaing terus Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3. Ia mempunyai ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm. Ruang butnya pula menawarkan ruang maksimum 1,441 liter.

Kelengkapan standard yang disertakan termasuk lampu depan LED dengan DRL bertemakan ‘Racing Flag’, lampu belakang Arch khas MG dengan motif tersendiri, skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 12.8 inci, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Varian Lux mendapat kelengkapan tambahan berupa roda aloi 18 inci, bumbung matahari panoramik, upholsteri fabrik-kulit, pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, stereng kulit dengan sistem penghangat, pad pengecasan telefon tanpa wayar, enam pembesar suara premium, pintu belakang berkuasa, dan kamera 360 darjah.

Tiada pengumuman harga rasmi namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, MGS5 EV bakal dijual dengan harga anggaran RM115,000.

Pelanggan yang membuat tempahan semasa Malaysia Autoshow dengan bayaran yuran RM500 akan layak untuk pakej early bird eksklusif yang menawarkan penjimatan luar biasa, serta pengecas AC Wallbox 7 kW secara percuma.

GAC M8 PHEV dibuka untuk tempahan – jarak sehingga 1,308 km, harga dari RM333k

Pada acara Malaysia Autoshow 2025, WTC Automotif mengumumkan bahawa GAC M8 kini sudah boleh ditempah.

Harga sebenar masih belum diumumkan, namun menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Keng Meng, MPV plug-in hybrid itu dijangka dijual pada harga bermula dari RM333,000.

Spesifikasi penuh juga masih belum didedahkan, namun carian di laman web GAC Motor Malaysia menunjukkan bahawa M8 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Luxury.

Kedua-duanya menampilkan enjin petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo, sebuah motor elektrik, dan transmisi hibrid DHT dua kelajuan. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 372 PS dan 630 Nm.

Motor elektrik tersebut mendapat bekalan tenaga daripada pek bateri berkapasiti 25.57 kWj, yang membolehkan M8 dipandu dengan kuasa elektrik sahaja sehingga 120 km (kitaran NEDC).

Apabila digabungkan dengan enjin pembakaran dalaman, MPV ini dikatakan mampu memberikan jarak pemanduan keseluruhan sejauh 1,038 km.

Mengetengahkan gaya mewah dan premium, M8 akan tampil dengan lampu LED ‘Lion Eye’ di bahagian hadapan, lampu LED ‘Time Portal’ di bahagian belakang, serta rim aloi berukuran 18 inci.

Apa yang menarik, logo GAC pada bahagian tengah rim tersebut sentiasa berada dalam keadaan menegak, tidak ubah seperti yang terdapat pada kenderaan Rolls-Royce.

Di dalam, M8 menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan kerusi kapten pada barisan kedua. Antara ciri yang disertakan termasuk upholsteri kulit dua tona, fungsi penyejukan, urutan serta perehat kaki Ottoman dengan pelarasan kuasa untuk kerusi kapten, bumbung panoramik dengan corak tahi bintang dan paparan berkembar.

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem ADAS Tahap 2, sistem bantuan parkir penuh (FAPA) dan teknologi beg udara 360 darjah yang merangkumi beg udara untuk cermin belakang, dikatakan pertama seumpamanya di dunia.

M8 didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km, dan waranti lapan tahun/150,000 km untuk bateri, motor dan unit kawalan elektrik.

Bukan itu sahaja, pelanggan yang membuat tempahan dalam tempoh pra-jualan juga akan menerima pakej penyelenggaraan berjadual percuma selama dua tahun serta kabel pengecas mudah alih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3,800.

Konsep skuter elektrik retro Lambretta Elettra buat kemunculan di MAS 2025

Dua tahun lepas, Lambretta memperlihatkan sebuah model konsep skuter elektrik Elettra di acara pameran EICMA di Milan, Itali, dan kini ia muncul di Malaysia Autoshow 2025.

Lambretta Elettra membawakan penampilan retro klasik, dengan struktur belakang skuter tersebut boleh diangkat sepenuhnya untuk akses ruang storan yang mampu memuatkan sebuah helmet.

Tinggi pelana pula adalah sekitar 780 mm.

Sistem suspensi terdiri daripada penyerap hentak berkembar di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak yang dipasang secara mendatar di bahagian belakang.

Secara standard, Elettra datang dengan rim 12 inci yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Rosso Scooter bersaiz 110/90 dan 120/80 belakang.

Lambretta Elettra ini dilengkapi motor elektrik tunggal berkuasa 15 hp dan daya kilas 257.6 Nm.

Pek bateri lithium-ion 4.6 kWh membenarkan Elettra ini bergerak sejauh 104.6 km untuk sekali cas penuh.

Skuter ini menyokong pengecasan pantas 20-80 peratus dalam masa 36 minit, sementara penggunaan soket domestik 220 volt pula membenarkan pengecasan penuh selama 5.5 jam.

Terdapat tiga mod iaitu Eco (had laju 40 km/j, jarak sehingga 127 km), mod standard (had laju 72 km/j, jarak cecah 70 km), serta mod Sport (had laju 80 km/j, jarak tunggangan 62.8 km).

Anda masih berpeluang untuk melihat skuter futuristik ini dengan lebih dekat di Malaysia Autoshow 2025 bermula 9-15 Mei ini di MAEPS, Serdang.

 

Lambretta G350 Series II kini di Malaysia – RM29,800

Sebuah lagi skuter gaya klasik ditawarkan oleh Lambretta untuk pasaran Malaysia, iaitu G350 Series II.

Memasuki generasi kedua, G350 Series II turut membawakan gaya klasik namun dengan kombinasi warna yang lebih berani.

G350 Series II dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 330 cc menghasilkan 26.5 hp @ 7,500 rpm dan 25.3 Nm @ 6,750 rpm.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED depan, lampu belakang LED yang nipis, skrin paparan TFT digital, serta pengecas USB di dalam glove box.

Casis keluli monocoque skuter ini disokong oleh tetapan suspensi jenis double arm-link dengan penyerap hentak berkembar untuk roda depan, serta tetapan penyerap hentak berkembar di belakang.

Secara standard, G350 ini hadir dengan tetapan brek yang terdiri daripada rotor bersaiz 240 mm depan dan belakang, serta sistem brek ABS.

Tangki bahan api adalah sebesar 9 liter, sementara tinggi pelana pula 790 mm.

Terdapat tiga kombinasi warna menarik yang boleh dipilih, iaitu Bianco-Rosso (pelana hitam), Nero-Bianco (pelana merah) dan Grigio-Bianco (pelana hitam).

Lambretta G350 Series II dijual pada harga RM29,800.

Lambretta X300 GT 2025 rasmi di Malaysia – RM26,800

Peminat skuter dengan reka bentuk retro klasik kini boleh mendapatkan barisan model terbaharu yang dilancarkan oleh Lambretta di Malaysia Autoshow 2025.

Salah satu daripadanya ialah Lambretta X300 GT, sebuah skuter dengan penggayaan ala grand touring.

X300 GT didatangkan dengan ciri unik seperti cermin penghadang angin, sistem lampu LED depan, lampu belakang rekaan tujuh bar kristal lengkap dengan sistem IFS (Integrate-Fuction Signals) dalam satu perumah tunggal.

Bahagian sisi pula dihiasi dengan jalur berlogo 300 GT serta corak papan dam.

Sistem suspensi menggunakan tetapan double arm-link pada roda depan (dengan tujuh tahap larasan), diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Brek pula menggunakan rotor bersaiz 220 mm di depan, rotor bersaiz 240 mm di belakang lengkap dengan sistem ABS dua saluran.

Lambretta X300 GT dikuasakan oleh enjin silinder tunggal Lambretta Super Performance (LSP) 275 cc dengan kuasa 25.1 hp @ 8,250 rpm, dipadankan dengan tangki bahan api sebesar 7.5 liter.

Tempat duduk pula membawakan rekaan klasik dengan ketinggian sekitar 790 mm.

Akhir sekali, skrin paparan TFT yang boleh dihubungkan kepada peranti pintar, selain menawarkan beberapa ciri yang boleh disesuaikan termasuklah lima tema dan enam tahap kecerahan yang boleh dipilih.

Untuk pasaran Malaysia, Lambretta X300 GT dijual pada harga RM26,800, serta hadir dengan dua pilihan warna iaitu Light Grey dan Super Black.

Vespa Sprint Tech 150 2025 rasmi di Malaysia – harga RM22,900

Peminat Vespa kini boleh mendapatkan model terbaharu Sprint Tech 150 yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia Autoshow 2025.

Vespa Sprint Tech 150 dijana dengan enjin silinder tunggal empat lejang 155 cc i-Get berkuasa 12 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 12.7 Nm @ 5,750 rpm.

Dari segi kelengkapan, Sprint Tech ini mempunyai skrin paparan TFT lima inci yang menyokong fungsi navigasi turn-by-turn, serta boleh disambung kepada aplikasi Vespa MIA.

Ia turut hadir dengan ciri seperti sistem tanpa kunci, lampu LED depan dan belakang, rim 12 inci, aksen warna hijau terang pada panel badan dan rim, serta kemasan jahitan hijau pada tempat duduk.

Terdapat juga fungsi Bike Finder untuk memudahkan pemilik mencari lokasi skuter ini.

Sistem brek terdiri daripada rotor 200 mm di depan, diikuti brek gelendong di belakang dibantu dengan sistem ABS saluran tunggal.

Untuk pasaran Malaysia, Vespa Sprint Tech 150 2025 dijual pada harga RM22,900 tidak termasuk insurans.

Royal Enfield Classic 650 2025 di Malaysia – dari RM34,500

Sebuah lagi motosikal kelas 650 cc dilancarkan oleh Royal Enfield Malaysia di Malaysia Autoshow 2025, iaitu Classic 650.

Sama seperti model Bear 650, Classic 650 ini dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris 650 cc menghasilkan kuasa 46 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 52.3 Nm @ 5,650 rpm.

Namun tidak seperti Bear 650, Classic 650 membawakan penggayaan tradisi Classic dengan menampilkan perumah lampu jenis nacelle/casquette, pilihan pelana tunggal atau boleh dipasangkan tempat duduk pembonceng, rim lidi bersaiz 19 inci/18 inci, serta tangki rekaan klasik berkapasiti 14.8 liter.

Model Classic 650 ini juga turut dilengkapi dengan paparan meter analog berbentuk bulat, skrin LCD kecil serta skrin TFT Tripper berbentuk bulat.

Memastikan jentera ini ditunggang dengan baik ialah sistem suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang, dibantu dengan sistem brek rotor tunggal 320 mm di depan dan rotor tunggal 300 mm di belakang.

Secara standard, Classic 650 hadir dengan sistem ABS dua saluran.

Harga jualan bermula dari RM34,500 untuk pilihan warna Bruntingthorpe Blue dan Vallam Red, sementara warna Black Chrome pula berharga RM35,500.

Royal Enfield Bear 650 2025 kini di Malaysia – dari RM35,700

Royal Enfield meluaskan lagi penawaran portfolio model 650 di pasaran Malaysia dengan pelancaran model baharu, iaitu Bear 650.

Royal Enfield Bear 650 disifatkan sebagai sebuah scrambler versatil dengan penampilan yang lebih menonjol dan berani.

Menggunakan pelantar yang sama dengan model Interceptor 650, Bear 650 dilengkapi enjin dua silinder sebaris dengan kuasa 47 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas maksimum 56.5 Nm @ 5,150 rpm yang diakhiri dengan sistem ekzos 2-1.

Sesuai dengan imej scrambler, Bear 650 dipadankan dengan tayar bunga blok membaluti rim 19 dan 17 inci, sistem suspensi yang terdiri daripada fork Showa USD (jarak pergerakan roda 130 mm) serta penyerap hentak berkembar Showa di belakang (jarak pergerakan roda 115 mm) yang menyumbang kepada jarak kelegaan tanah setinggi 184 mm.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal 320 mm dengan angkup dua omboh di depan, serta rotor 270 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua saluran yang boleh dinyahaktifkan mengikut keperluan.

Akhir sekali, Bear 650 dilengkapi dengan skrin paparan TFT Tripper Dash dengan antara muka yang ringkas dan mudah untuk dibaca.

Royal Enfield Bear 650 boleh didapati dalam tiga pilihan warna (Petrol Green, Wild Honey, dan Golden Shadow) dengan harga RM35,700, atau edisi khas Bear 650 Two Four Nine dengan harga jualan RM36,000.

HLYM lancar Yamaha TMax Tech Max 2025 – RM75,888

Selain skuter 250 cc Yamaha Xmax 2025, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut sama melancarkan sebuah lagi skuter maxi, iaitu Yamaha TMax Tech Max 2025.

Skuter ini dikuasakan enjin dua silinder sebaris 562 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 47.6 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 55.7 Nm @ 5,250 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Untuk model tahun 2025 ini, Yamaha TMax Tech Max membawakan beberapa perubahan, seperti unit lampu nyalaan siang (DRL) yang direka semula, diikuti dengan tempat duduk bertekstur untuk keselesaan penunggang.

Skuter ini turut menampilkan rekaan corong pengambilan yang dipertingkatkan untuk runut bunyi yang lebih mengujakan terutama ketika sedang memecut atau memotong kenderaan di hadapan.

TMax Tech Max masih kekal dengan penggunaan rim saiz 15 inci, namun untuk model 2025 ini ia diberikan unit rim machine-cut untuk kemasan yang lebih menyerlah.

Aspek tunggangan dibantu dengan ciri elektronik seperti unit pengukuran inersia (IMU), Yamaha Brake Control (BC) atau Cornering ABS, kawalan jelajah yang ditambah baik, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Skrin TFT bersaiz tujuh inci itu kini menampilkan unit kawalan komunikasi (CCU) yang serasi dengan aplikasi Y-Connect, serta aplikasi Garmin Motorize yang boleh dipasang pada peranti pintar.

Ciri lain masih lagi dikekalkan termasuklah skrin penghadang angin larasan elektrik, fork hadapan teleskopik, lengan ayun belakang, tangki bahan api sebesar 15 liter, serta tinggi pelana 800 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha TMax Tech Max boleh didapati dalam pilihan warna Magma Black atau Ceramic Grey, dengan harga jualan RM75,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Yamaha XMax 2025 rasmi dilancarkan – RM24,888

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasmi membawakan skuter maxi Yamaha XMax 2025 untuk pasaran tempatan.

Dari segi kuasa, ia kekal dengan enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan kuasa 22.5 hp @ 7,000 rpm dan 24.3 Nm @ 5,500 rpm.

Perubahan yang dibawakan pada XMax 2025 adalah lebih bersifat kosmetik, seperti contoh skrin penghadang angin larasan elektrik yang lebih pendek dan lebar, diikuti dengan perumah tunggal yang menempatkan paparan TFT dan LCD.

Selain daripada itu, XMax 2025 turut dilengkapi dengan lampu isyarat berhenti kecemasan (ESS) yang akan diaktifkan sewaktu sistem mengesan skuter ini berhenti lebih pantas berbanding jangkaan.

Untuk kemudahan sewaktu perjalanan, terdapat port pengecasan USB Type-C disediakan untuk mengecas peranti pintar atau peranti yang bersesuaian.

Yamaha XMax 2025 boleh didapati dalam pilihan warna Icon Red atau Ceramic Grey, dengan harga jualan RM24,888 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Honda Gold Wing Tour 2025 sempena ulang tahun yang ke-50 – RM222,888

Selain model CB1000 SP, Boon Siew Honda turut melancarkan model premium Gold Wing Tour 2025 bersempena dengan sambutan ulang tahun Gold Wing yang ke-50.

Jentera touring ini dikuasakan oleh enjin flat-six 1,833 cc dengan janaan kuasa 129 hp @ 5,500 rpm dan 170 Nm @ 4,500 rpm.

Enjin besar itu tadi dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan untuk penukaran gear yang lebih lancar, lengkap dengan fungsi undur.

Edisi ulang tahun ke-50 ini menampilkan kemasan eksklusif berupa logo Gold Wing dengan lencana ’50th Anniversary since 1975′, serta kemasan krom pada fob kunci.

Antara ciri lain termasuklah sistem pencahayaan LED, lampu kabus LED, penghadang angin boleh laras, port pengecasan USB Type-C, kotak storan atas sebesar 61 liter, kotak pannier kiri dan kanan sebesar 60 liter, serta kunci pintar.

Unik untuk model Gold Wing ini ialah tetapan suspensi jenis double wishbone untuk roda depan, diikuti dengan tetapan Pro Link dengan larasan spring elektronik bergantung kepada mod tunggangan.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar 320 mm dengan angkup enam omboh di depan, serta rotor tunggal 316 mm dengan angkup tiga omboh di belakang.

Terdapat skrin paparan TFT berwarna sebesar tujuh inci yang diapit oleh dua meter analog, lengkap dengan sokongan GPS, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Apple CarPlay dan Android Auto, fungsi intercom Bluetooth, dan sistem audio 55 watt.

Dengan ciri Throttle-by-Wire, Gold Wing Tour menawarkan sehingga empat mod tunggangan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain.

Ciri bantuan elektronik lain termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem berhenti melahu (ISS), serta bantuan mula mendaki (HSA).

Tidak ketinggalan beg udara terbina bertujuan untuk mengurangkan kesan kecederaan akibat pelanggaran hadapan.

Honda Gold Wing Tour 2025 boleh didapati dalam pilihan warna Eternal Gold atau Bordeaux Red Metallic, dengan harga jualan RM222,888 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Jaecoo Malaysia kini dikenali sebagai Omoda | Jaecoo Malaysia, turut pamer Omoda C7

Jaecoo Malaysia meraikan ulang tahun pertamanya di Malaysia Autoshow 2025 dengan memperkenalkan imej jenama baharu.

Kini, jenama itu lebih dikenali sebagai Omoda | Jaecoo sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyeragamkan kembali portfolio produk mereka.

Langkah ini juga selari dengan strategi yang telah dipraktikkan oleh Chery di peringkat global.

Menurut Emily Lek selaku Naib Presiden Omoda | Jaecoo Malaysia, “Sebagai sebuah jenama dinamik yang memahami kecenderungan dan keperluan pengguna, kami bertekad untuk menambah baik cara orang ramai menikmati pengalaman bersama jenama ini.

“Dengan barisan kenderaan canggih dan berprestasi tinggi, kami berusaha membawakan pengalaman gaya hidup yang diperibadikan khas untuk pengguna selaku jenama SUV kegunaan lasak premium di Malaysia,” jelasnya lagi.

Di Malaysia, Omoda | Jaecoo berjaya mencatatkan pendaftaran berjumlah lebih 12,000 unit, selain mempunyai rangkaian 45 buah pengedar sah di seluruh negara.

Di Malaysia Autoshow 2025, Omoda | Jaecoo memperlihatkan sebuah crossover kompak Omoda C7.

Tiada sebarang perincian spesifikasi didedahkan buat masa ini, namun besar kemungkinan C7 ini merupakan varian petrol berdasarkan kehadiran penutup tangki tunggal pada bahagian sisi.

Di pasaran luar, C7 turut hadir dalam varian PHEV, dengan enjin 1.5 liter turbo 154 hp/22- Nm yang dipadankan dengan motor elektrik, serta jarak gerak sifar emisi sejauh 95 km.

Secara keseluruhan, C7 PHEV boleh bergerak sejauh 1,250 km dengan kadar penggunaan bahan api serendah 4.98 liter untuk setiap 100 km.

GWM Tank 500 HEV rasmi di Malaysia – harga RM328,800

GWM Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan SUV off-road mewah Tank 500 HEV di Malaysia Autoshow 2025.

Untuk pasaran tempatan, Tank 500 HEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo 224 PS/380 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm.

Kuasa keseluruhan mencecah 346 PS dan 648 Nm yang disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik sembilan-kelajuan.

SUV tujuh tempat duduk ini membawakan ukuran dimensi 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.

Tank 500 HEV menawarkan sistem pacuan roda pintar (dengan ciri M-Lock), sistem Intelligent All-Terrain dengan 11 mod pemanduan, fungsi Tank Turn, kawalan jelajah off-road serta fungsi casis pandang telus.

Ia juga mampu meredah air pada kedalaman maksimum 800 mm.

Untuk bahagian luaran, Tank 500 HEV menawarkan ciri seperti lampu LED projektor, jeriji besar dengan kemasan krom, lampu belakang LED, ruang tayar simpanan di belakang, rim 20 inci, serta tempat pemijak sisi boleh simpan automatik.

Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster 12.3 inci, skrin infohibur 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, jam analog, slot pengecasan peranti nirwayar, butang kawalan iklim fizikal, serta sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara.

Ciri keselamatan termaju turut dimuatkan pada Tank 500 HEV termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal tengah lorong, sistem pengelakan pintar, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, serta amaran bukaan pintu.

Ditawarkan dalam varian tunggal, GWM Tank 500 HEV dijual pada harga bermula dari RM328,800 atas jalan tanpa insurans.

iCAUR V23 – EV rekaan retro, jarak pandu sehingga 550 km

Selain daripada EV kotak iCAUR 03, jenama itu turut memperlihatkan sebuah lagi SUV elektrik yang membawakan penggayaan retro,  iaitu V23.

iCAUR V23 merupakan model pertama yang dibangunkan oleh Chery dan Zhimi Technology.

Unit yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 ini merupakan versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

iCAUR V23 merupakan SUV saiz kompak berukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,730 mm.

Rekaan luaran V23 banyak diinspirasikan daripada SUV off-road terkenal seperti Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz G-Class dan juga Land Rover Defender.

Di pasaran China, V23 boleh didapati dalam versi pacuan roda belakang 136 PS/180 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa 208 hp dan 292 Nm.

Terdapat pilihan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 59.93 kWh dengan jarak gerak 401 km, atau nickel manganese cobalt (NMC) 81.76 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 550 km.

V23 turut menyokong pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam masa 30 minit serta fungsi V2L (Vehicle-to-load) sehingga 3.3 kW.

Buat masa ini, pihak iCAUR Malaysia belum mengumumkan harga jualan rasmi serta tarikh pelancaran bagi model V23 ini.

MODENAS lancar skuter Kymco DTX 250 – harga RM22,500

Sebuah lagi skuter segmen 250 cc sudah pun rasmi dilancarkan oleh MODENAS di Malaysia Autoshow 2025, iaitu Kymco DTX 250.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 246 cc yang mampu menjana kuasa 22.8 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi CVT automatik.

Antara ciri yang dimuatkan seperti skrin penghadang angin, lampu utama LED depan dan belakang, paparan meter LCD, dan tangki bahan api sebesar 13.5 liter.

Skuter dwi-kegunaan ini dijual pada harga bermula dari RM22,500, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Zontes 703F diperlihatkan di Malaysia Autoshow 2025, harga bawah RM40,000

Di Malaysia Autoshow 2025, Zontes Malaysia hari ini memperlihatkan model adventure tourer Zontes 703F yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

ZT 703 F Adventure ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 699 cc yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 97 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 76 Nm @ 7,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan dan bantuan quickshifter.

Jentera ini menggunakan bahan aluminium untuk binaan casis termasuklah lengan ayun belakang, dibantu dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal belakang, kedua-duanya daripada Marzocchi.

Pembeli boleh mendapatkan tetapan rim 19 inci dengan tinggi pelana 830 mm, atau tetapan rim 21 inci dengan tinggi pelana 845 mm.

Aspek pemberhentian menggunakan sistem brek J.Juan yang terdiri daripada rotor brek berkembar di hadapan, rotor brek tunggal di belakang serta bantuan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain termasuklah tangki sebesar 22 liter, penghadang angin boleh laras elektronik, tinggi pelana sekitar 845 mm, pemanas grip bar hendal, skrin TFT sebesar 6.75 inci, slot pengecas USB dan sistem tanpa kunci.

Harga jualan anggaran bermula dari bawah RM40,000.