Tag Archives: malaysia autoshow

Malaysia Autoshow 2024 cipta rekod, jualan cecah RM1.4 bilion

ACARA Malaysia Autoshow 2024 telah melabuhkan tirainya dengan mencipta rekod tersendiri. OEM (Original Equipment Manufcaturer) melaporkan potensi jualan keseluruhan RM1.4 bilion.

Ini terdiri dari 2,600 tempahan dan 13,799 jualan, sekaligus mencatatkan pencapaian dalam industri automotif negara.

Acara yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dari 21 hingga 26 Mei itu telah menghimpunkan lebih 200 jenama dan pempamer. Acara ini juga mencatatkan 226,876 pengunjung, peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 47 pelancaran dibuat, selain pelbagai sesi pandu uji dengan laluan lebih panjang termasuk litar off-road untuk 4×4. Sebanyak 6,623 sesi pandu dan tunggang uji direkodkan untuk tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata: “Sambutan menggalakkan Malaysia Autoshow 2024 jelas menunjukkan minat dan keyakinan terhadap industri automotif negara.

“Rantau Asia Tenggara pula baru-baru ini dilabel sebagai pasaran auto kedua terbesar, Malaysia mempunyai asas teguh untuk memacu pertumbuhan sector ini, terutamanya kenderaan elektrik (EV),” tambahnya.

Nissan bakal lancar model e-Power pada separuh kedua tahun ini

EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini mempamerkan Nissan Kicks e-Power di Malaysia Autoshow 2024.

Khoo Cheng Pah, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor berkata pihaknya akan melancarkan model e-Power pertama mereka pada separuh kedua tahun ini.

Model apa yang akan dilancarkan tidak diberitahu namun terdapat ura-ura mengatakan yang ETCM akan membawa masuk Serena e-Power.

e-Power merupakan teknologi rekaan Nissan yang menggabungkan enjin pembakaran dalaman dengan motor elektrik. Salah satu kelebihannya adalah tindak balas yang responsif pada pendikit.

Apa yang menarik, dengan teknologi ini, enjin ditugaskan untuk menjana tenaga elektrik manakala tayar pula digerakkan oleh motor elektrik berkuasa tinggi.

Koponen utama e-Power terdiri daripada bateri litium-ion, motor elektrik berkuasa tinggi, inverter, generator dan enjin pembakaran dengan kecekapan termal terkemuka.

Tidak seperti hibrid konvensional yang menggunakan enjin untuk memacu roda, sistem kawalan pintar e-Power melaraskan operasi enjin secara bebas berdasarkan faktor seperti kelajuan kenderaan, keadaan jalan raya, tahap pecutan dan tahap cas bateri.

Hasilnya adalah pemanduan yang lebih senyap, dengan operasi enjin yang tidak sekerap hibrid konvensional.

Pada kelajuan rendah hingga sederhana, seperti di kawasan bandar misalnya, kenderaan digerakkan oleh motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri litium-ion untuk memberikan prestasi seperti EV.

Pada kelajuan tinggi pula, RPM enjin berada pada tahap yang optimum untuk menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk menggerakkan motor.

Apabila pecutan yang kuat diperlukan, motor akan menggabungkan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh enjin dan tenaga elektrik daripada litium-ion untuk memberi kuasa pada kenderaan.

Sama seperti EV, e-Power juga menawarkan ciri pemanduan satu pedal. Operasi pedal brek boleh dikurangkan hampir 70% menerusi brek janaan semula yang boleh memperlahankan kenderaan sambil mengecas semula bateri.

Malaysia Autoshow 2024: BMW perkenal i5 M60, 520i versi CKD

ACARA Malaysia Autoshow 2024 menyaksikan kemunculan dua model 5 Series baharu iaitu i5 M60 xDrive dan 520i pemasangan tempatan (CKD).

i5 M60 xDrive (RM480,000 anggaran)

Merupakan varian i5 kedua yang dilancarkan di Malaysia selepas eDrive40, i5 M60 sebagai varian yang lebih sporty tampil dengan sepasang motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 601 PS dan 795 Nm.

Ini membolehkan sedan mewah itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.


Dengan bateri berkapasiti 89.3 kWj, i5 M60 menawarkan jarak pandu sejauh 516 km (kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.

Pengecasan dari 0 hingga 80% mengambil masa 34 minit menggunakan pengecas pantas DC 205 kW. Ia juga menyokong pengecas AC 22 kW yang boleh melakukan pengecasan penuh dalam 4 jam 15 minit.

Dari segi penampilan, varian M60 mendapat gril kidney M Performance dengan bingkai bercahaya BMW Iconic Glow, rim aerodinamik berukuran 21 inci, serta beberapa komponen M Sport Pro termasuk spoiler belakang M, garis bayang berglos tinggi M dan brek M Sport.

Di dalam, keadaan terasa familiar dengan adanya ciri-ciri seperti BMW Curved Display yang menggabungkan panel instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, serta sistem audio Bowers & Wilkins 655W.

520i (RM340,000 anggaran)

Dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah, 520i mempunyai trenkuasa hibrid ringan (mild hybrid) 48V dengan enjin B48 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 208 hp dan 330 Nm,

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat. Kelajuan maksimum adalah 230 km/j.

Penampilan luarannya hampir sama dengan i5, dengan rupa paras yang kemas dan sporty, serta dilengkapi tayar aerodinamik 19 inci baharu dalam warna 934 Bicolour Grey.

Kelengkapan di dalam juga sama, dengan Curved Display yang terdiri daripada paparan instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci.


Selain itu, terdapat juga BMW Interaction Bar yang inovatif memudahkan kawalan terhadap penghawa dingin dan fungsi lain untuk meningkatkan pengalaman pemanduan.

Untuk sistem bantuan pemandu, 520i didatangkan dengan pelbagai ciri termasuk Kawalan Pemanduan Aktif, Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong, serta sistem Amaran Keluar Lorong.

Perodua Myvi Conversion – prototaip EV pertama, jarak 350km, bawah RM100k?

PERODUA hari ini mempamerkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya – dikenali sebagai Myvi Conversion – yang akan menjadi asas kepada pembuat kereta kompak itu dalam membangunkan teknologi elektriknya.

Seperti pada namanya, prototaip ini diasaskan dari Myvi tetapi dilengkapi dengan pek bateri 55.7kWh yang memberikannya jarak pemanduan sehingga 350km. Ia mempunyai satu motor elektrik di roda depan dengan output 161hp dan 220Nm tork.

Prototaip EV berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia.

Sementara itu, pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia. Perodua juga bekerjasama dengan tiga universiti tempatan untuk projek ini.

“Proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat oleh Perodua dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Kerjasama ini bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan.”

Kerjasama berkenaan, yang bermula sejak September 2022, menyaksikan Perodua dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas.

Kerjasama berkenaan membuka peluang kepada semua pihak untuk meningkatkan kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam bidang EV.

Difahamkan model pertama EV Perodua dirancang untuk dilancarkan pada penghujung 2025 dengan harga tidak melebihi RM100,000.

“Kami memilih Perodua Myvi sebagai model pilihan bagi projek ini kerana ia adalah model kereta kami yang telah memenangi hati kebanyakan rakyat Malaysia,” kata Zainal.

“Walaupun rupa sebenar EV kami berbeza daripada apa yang dipamerkan di sini, tetapi yakinlah bahawa kereta elektrik Perodua bakal membuat kemunculan dalam pasaran.

“Sementara itu, kami mengajak orang ramai untuk singgah ke ruang pameran Perodua di Malaysia Auto Show 2024 untuk melihat sendiri Perodua Myvi Conversion di samping menyertai pelbagai kempen menarik yang kami sediakan.

“Kami juga mengalu-alukan kedatangan pelanggan untuk berinteraksi dengan kakitangan kami di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Perodua seperti Standard Outlet Baharu kami yang dilaksanakan bertujuan memberikan pengalaman yang lancar kepada pelanggan di pusat 3S kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Inilah rupa jentera lumba Proton S70 R3 S1k, lihat depan mata di Malaysia Autoshow 2024

INI dia tuan-tuan dan puan-puan, jentera lumba Proton S70 R3 yang akan berentap dalam acara Sepang 1000km (S1k).

Jika anda mahu melihat dengan lebih dekat Proton S70 R3 ini, bolehlah ke acara Malaysia Autoshow 2024 yang akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 22 hingga 26 Mei ini kerana ia akan dipamerkan kepada umum buat kali pertama.

S70 R3 merupakan kereta lumba serba baharu pertama Proton R3 sejak Saga R3 pada tahun 2019, menandakan kembalinya jenama tersebut ke perlumbaan S1k.

Setakat hari ini, Proton R3 mempunyai lima kemenangan di tangannya, lebih banyak daripada pasukan yang lain, termasuk meraih kemenangan selama tiga tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Masih lagi dalam pembangunan, kereta yang dipamerkan menampilkan evolusi terbaru pakej aerodinamik yang disesuaikan untuk kereta lumba ini.

Dua unit kereta baharu ini bakal dipertandingkan oleh pasukan pada perlumbaan S1k tahun ini.

“Proton mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran, bermula dengan Proton Saga dan penglibatan kami semakin meningkat dengan penubuhan Proton R3 pada tahun 2003,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Sejak itu, kami telah bersaing dan menang pelbagai pertandingan hingga ke peringkat global dengan model seperti Proton Satria, Waja, Suprima S, Iriz, dan versi terbaru Saga.

“Kini dengan Proton S70 R3, kami menambah satu lagi pencapaian dalam legasi kami, menandakan bukan sahaja kembalinya nama Proton ke acara S1K tetapi juga kereta lumba pertama berdasarkan model yang dibangunkan bersama oleh Proton dan Geely,” tambahnya.

Pembeli dan pengunjung dapat meningkatkan pengalaman mereka di Malaysia Autoshow 2024 dengan promosi eksklusif dan ganjaran dari Proton sepanjang acara tersebut.

Pengunjung yang terus membuat tempahan model Proton akan menerima hadiah eksklusif seperti pelindung matahari, pembaca tol, dan pengecas tanpa wayar untuk model terpilih.

Promosi istimewa juga ditawarkan khusus untuk tempahan yang dibuat di Malaysia Autoshow dengan pendaftaran sebelum 30 Jun 2024.

Ini termasuk penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk model X50, X70, dan X90 serta baucar tunai RM500 untuk model S70, Saga, dan Persona.

Terdapat juga Test Drive Lucky Spin di mana peserta dapat memutar roda bertuah untuk memenangi barangan eksklusif Proton setelah memandu uji model Proton.

BMW Motorrad bakal lancar empat model baharu di Malaysia Autoshow 2024

BMW Motorrad Malaysia bakal menggunakan peluang yang ada di Malaysia Autoshow 2024 untuk melancarkan empat motosikal baharu bagi pasaran tempatan.

Berdasarkan ‘teaser’ terbaru, BMW Motorrad Malaysia bakal melancarkan R 1300 GS, F 900 GS, S 1000 XR dan sebuah model elektrik, CE 02. 

Walaupun ‘teaser’ tersebut kurang jelas namun bagi yang kenal, cukup mudah untuk mengecam model yang akan dilancarkan apatah lagi kesemuanya telah pun dilancarkan di pasaran global lebih awal. 

BMW R 1300 GS merupakan generasi terbaru keluarga ‘Gelande Strasse’ dan menampilkan bukan sahaja rekaan malah platform baharu. 

Sementara itu, F 900 GS pula merupakan motosikal dengan keupayaan ‘off-road’ yang serius pernah dibangunkan BMW dan bakal menyaingi Yamaha Tenere, Aprilia Tuareg, Triumph Tiger 900 dan Ducati DesertX. 

Dalam pada itu, BMW S 1000 XR pula akan memeriahkan lagi segmen motosikal ‘sport touring’ di Malaysia yang telah dikemas kini bagi tahun 2024. 

Akhir sekali, BMW CE 02 merupakan motosikal elektrik kedua dari BMW Motorrad Malaysia yang bakal menyerikan lagi pasaran EV disini. 

Benda LFC700 bakal buat penampilan di Malaysia Autoshow 2024

MForce Bike Holdings bakal mempamerkan lebih 100 motosikal baharu di Malaysia Autoshow 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 26 Mei ini bertempat di MAEPS, Serdang. 

Menariknya, kesemua model berkenaan terdiri dari model sedia ada, model baharu dan model akan datang yang akan dipasarkan disini. 

Antara yang akan dipamerkan termasuk Benda LFC700 sebuah cuiser gaya futuristik yang telah pun dilancarkan di China pada 2021. 

Atas kertas, LFC 700 merupakan motosikal segmen sport cruiser yang tampil dengan dua varian, dengan standard menawarkan 84.5hp pada 10,000 rpm manakala model premium (High Power) hadir dengan 92.5hp pada 11,000rpm.

Maklumat lebih terperinci akan didedahkan di Malaysia Autoshow 2024. 

BMW akan pamer pelbagai model terkini di Malaysia Autoshow 2023

BMW Group Malaysia akan mempersembahkan pelbagai model kenderaan baharu di samping tawaran ulang tahun ke-20 yang menarik di acara Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS.

Anda dialu-alukan untuk menyaksikan barisan kenderaan yang bakal dirungkaikan oleh BMW Group Malaysia di Dewan A1 (Premium Hall) dan Dewan D (EV Hall) dan menikmati sesi pandu uji yang eksklusif serta tawaran istimewa yang disediakan hanya di Malaysia Autoshow 2023.

Berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), pintu masuk akan dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam pada tarikh 4 hingga 7 Mei 2023.

Tiket kemasukan am bagi warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia masing-masing berharga RM15 dan RM25 sehari, berserta parkir percuma di kawasan premis tersebut.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi: “Sebagai pengeluar kenderaan premium No. 1 di Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut, kami berasa teruja untuk merungkaikan barisan kenderaan luar biasa kami yang serba ekstensif di Malaysia Autoshow – iaitu sebuah acara automotif antara yang paling dinanti-nantikan setiap tahun.

“Berlatarkan sambutan yang semakin meluas terhadap portfolio kenderaan elektrik kami dalam kalangan pelanggan baharu dan juga yang lama, kami benar-benar teruja untuk menunaikan janji Sheer Electric Driving Pleasure kami kepada ramai lagi pemilik kenderaan elektrik di pameran tersebut.

“Beberapa lagi kenderaan berprestasi tinggi merentasi portfolio-portfolio kami yang bakal mempesona para peminat jentera BMW dan MINI,” tambahnya.

BMW Group Malaysia turut menyiarkan satu video menunjukkan bayangan model-model yang akan dipamerkan, antaranya 3-Series LCI 2023, CE04 dan MINI Electric 2023.

Terus memperkukuhkan komitmen mereka terhadap Mobiliti Berelektrik, Kelestarian dan Sirkulariti di sini, BMW Group Malaysia juga akan merungkaikan sebuah solusi rintis bagi ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia yang mengetengahkan aspek Sirkulariti dan Tanggungjawab – menerusi kerjasama dengan pembekal solusi pengecasan yang terkemuka, EV Connection.

Pembelian tiket boleh dibuat melalui ticket2u. Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Autoshow 2023, sila layari https://autoshow.my/.