Tag Archives: MARA

Hino serah bas elektrik Poncho pertama untuk MARA

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini telah menerima dua unit bas elektrik pertama mereka iaitu Hino Poncho. Bas-bas ini akan menjalani ujian di laluan sekitar Pulau Langkawi selama dua tahun, selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) dalam pengangkutan di Malaysia.

Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, berkata projek perintis ini bukan sahaja menggalakkan pengangkutan lestari tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon di pulau peranginan itu.

Inisiatif ini juga merupakan komitmen berterusan antara kedua belah pihak selepas perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani pada Mac lepas.

Bas Hino Poncho dijadualkan beroperasi pada September tahun ini bagi melihat kesesuaiannya dengan cuaca dan persekitaran jalan raya Malaysia.

Bas ini mampu memuatkan 11 tempat duduk sehingga 32 penumpang, dan dengan saiznya yang kecil dan rendah, membuatkannya mesra pengguna kerana lebih mudah untuk naik dan turun darinya.

Pada hari yang sama, MARA juga menganjurkan MARA Brew’ 23 Program untuk memperkenalkan dan mempromosi pengusaha kopi dalam industri makanan.

Sebanyak 10 vendor kopi menyertai program yang dijalankan selama empat hari itu bermula 22 hingga 25 Jun 2023.

Hino dan MARA bekerjasama hasilkan tenaga kerja mahir MRO kenderaan komersial

Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (Hino) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bertujuan meningkatkan pembangunan dari segi keusahawanan, pendidikan dan pelaburan dalam industri automotif.

Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan Hino, Atsushi Uchiyama dan Ketua Pengarah MARA, Dato Azhar Abdul Manaf.

Perkongsian strategik antara Hino dan MARA ini bertujuan untuk membangunkan program tenaga kerja mahir terutamanya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kenderaan komersial.

Selain itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pertumbuhan industri automotif dan menggalakkan perkongsian pengetahuan serta teknologi.

Menurut Datuk Seri Panglima Hajah Azizah, kolaborasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada MARA dan HINO, malah ianya akan meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri automotif terutamanya bidang MRO di samping menghasilkan tenaga kerja berkemahiran untuk masa hadapan.

Atsushi Uchiyama pula berkata, “MARA merupakan pelanggan setia kami sejak tertubuhnya HINO di Malaysia pada tahun 1977 lagi.

“Di HINO, kami mengalu-alukan kolaborasi sebegini dalam membuka peluang serta potensi baru industri automotif di Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman,” tambahnya lagi.

Hadir sama untuk menyaksikan majlis tandatangan MoU ialah Pengerusi MARA Datuk Seri Panglima Hajah Azizah dan Pengarah HINO, Ahmad Yasmin Yahya.