Tag Archives: MARiiCas

Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik terima lebih 20,000 permohonan

SKIM Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiicas), yang dilancarkan secara rasmi pada Disember tahun lalu, telah menerima lebih 20,000 pendaftaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz, daripada jumah itu, 2,000 permohonan telah diluluskan sekali gus melayakkan pemohon menerima rebat tunai berjumlah RM2,400.

Azrul Reza berkata, rebat tunai itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembelian atau langganan motosikal elektrik.

“Motosikal yang ada model setakat ini, kita telah luluskan lebih kurang 12 model tetapi kalau pemohon nak lihat boleh pergi ke insentif.marii.my untuk melihat lebih lanjut tentang motosikal yang ada dan juga setiap spesifikasi,” kata beliau.

Mengulas jumlah pendaftaran menggalakkan, jelasnya ia menandakan minat rakyat yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik (EV).

Selain didorong pemberian pelbagai insentif di bawah Belanjawan 2024, ia turut disokong kerjasama agensi awam dan swasta dalam mengukuhkan ekosistem EV negara.

“Kita boleh tengok dari segi syarikat-syarikat pengeluar pun, banyak membuat kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai syarikat lain. Saya bagi contoh macam ryde EV, dia bekerjasama dengan CelcomDigi untuk membolehkan pembeli melanggan melalui CelcomDigi. Selain rydeEV, kita ada Blueshark bersama dengan Maxis,” tambahnya.

MARiicas menyasarkan tawaran rebat bagi 8,300 unit motosikal elektrik. Tempoh permohonannya akan dibuka sehingga 31 Disember ini.

Permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dibuka hari ini

SKIM Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah dilancarkan secara rasmi hari ini.

Menerusi skim ini, rakyat dengan pendapatan tahunan RM120,000 ke bawah akan menikmati rebat bernilai sehingga RM2,400 apabila mereka membeli motosikal elektrik.

Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik diperkenalkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 bagi untuk meningkatkan penggunaan motosikal elektrik di negara ini.

Sehubungan itu, kerajaan melancarkan skim yang dikenali sebagai “MARiiCas” yang dikelolakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi menggalakkan rakyat membeli motosikal elektrik.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan rebat tersebut boleh membuat pendaftaran menerusi laman web MARiiCas.

Menurut laman web tersebut, terdapat lapan jenama motosikal elektrik yang terlibat dalam skim MARiiCas iaitu Legatus, Eclimo, Ebixon, Blueshark, Treelektrik, Modenas, Superlux dan RydeEV.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, “Saya nasihatkan semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini sekiranya berniat untuk membeli motosikal elektrik.

“Sekiranya ingin membeli, kerajaan akan sokong dengan memberi subsidi tunai,” katanya.