Tag Archives: maxsym tl508

SYM Maxsym TL508 dilancarkan pada harga RM46,888

SELAIN Husky 150, MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia turut melancarkan satu lagi skuter iaitu Maxsym TL508.

Menurut SYM, model baharu ini tampil dengan enjin yang telah dipertingkatkan berbanding enjin 465 cc pada Maxsym TL500 yang dilancarkan pada 2020.

Enjin silinder berkembar berkapasiti 508 cc dengan teknologi suntikan bahan api itu mampu menghamburkan 45 hp pada 6,750 rpm dan 49.9 Nm pada 5,250 rpm.

Menariknya, skuter maxi ini dikatakan mempunyai pengagihan berat yang seimbang antara bahagian hadapan dan belakang iaitu 50/50.

SYM berkata konfigurasi badan yang sempurna ini memberikan Maxsym TL508 prestasi pengendalian yang cemerlang.

Dari segi kelengkapan pula, ia hadir dengan pelbagai ciri canggih termasuk sistem Traction Control (TCS), brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran dan penghadang angin boleh laras.

Skuter ini juga sesuai untuk tunggang jarak jauh kerana reka bentuk tempat duduknya yang ergonomik dan anti gelincir memberi sokongan pada bahagian pinggang penunggang dan penumpang.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai lampu hadapan dan belakang LED, paparan TFT, port pengecas USB dan tangki bahan api sebesar 12.5 liter. Barang boleh disimpan di dalam ruang simpanan di bawah tempat duduk.

 

Maxsym TL508 ditawarkan dalam tiga warna iaitu Indigo Blue, Storm Grey dan Jet Black. Ia dijual pada harga bermula dari RM46,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan boleh didapati di pasaran bermula Mei depan.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

MForce lancar SYM Maxsym T508, Husky ADV 150 bulan Mac ini

MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi jenama SYM di Malaysia bakal melancarkan dua skuter terbaru untuk pasaran tempatan. 

Memetik laporan Mekanika, dua skuter jenama SYM itu berupa Maxsym TL508 generasi terbaru dan Husky ADV 150. 

Maxsym TL508 merupakan pengganti kepada TL500 yang dipasarkan di Malaysia sebelum ini. Antara naik taraf terbesar adalah kapasiti enjin parallel-twin yang meningkat dari 465cc kepada 508cc.

Peningkatan itu menyaksikan TL508 menawarkan 45hp dan 50Nm berbanding 40hp dan 42.5Nm sebelum ini. 

Bagaimanapun, rata-rata komponen lain masih dikekalkan dari generasi terdahulu. 

Dalam pada itu, Husky ADV 150 bakal memberi saingan kepada segmen skuter 150cc di Malaysia. 

Skuter tersebut dipacu enjin satu silinder SOHC yang berupaya menghasilkan 14.5hp dan 14.5Nm. Antara ciri ditawarkan termasuk ABS dwi-saluran dan panel meter TFT. 

Harga bagi kedua-dua model ini dijangka akan diketahui ketika hari pelancaran nanti.