Tag Archives: mazda 6

Ucap sayonara kepada Mazda 2, 6, CX-3 dan MX-30

Dengan kereta sport dan enjin generasi baharu sedang dalam persiapan, masa depan Mazda nampak begitu mengujakan. Namun malangnya, ada beberapa model sedia ada yang bakal dihentikan pengeluarannya seawal hujung tahun ini.

Mazda 2

Pertama sekali adalah Mazda2, yang berada dalam pasaran sejak 2014 lagi. Hatchback ini sebenarnya mendapat kemas kini pada 2019 dan 2023 namun ia dilihat sangat kecil dan tidak cukup untuk membuatnya kekal relevan dalam pasaran.

Jualan hatchback ini sudah pun dihentikan di United Kingdom pada Februari lalu namun pelanggan di Eropah masih boleh mendapatkan versi hibrid yang merupakan versi rebadge dari Toyota Yaris. Setakat ini, masih tiada berita mengenai penggantinya.

Mazda CX-3

Seperti Mazda 2, crossover kompak CX-3 juga telah dilancarkan lebih 10 tahun lalu. Ia masih boleh didapati di Jepun dan beberapa pasaran Asia (termasuk Malaysia) namun di Amerika Syarikat dan Eropah, model ini sudah dihentikan jualannya.

Walau bagaimanapun, masih ada sinar untuk CX-3 kerana terdapat laporan yang mengatakan Mazda sedang membangunkan model generasi baharu yang menawarkan pilihan enjin hibrid.

Mazda 6

Mazda 6 generasi ketiga juga bakal menemui penghujung ayatnya selepas jualan sedan itu dihentikan di Amerika Utara pada 2021, UK pada 2023 dan Jepun pada 2024. Terbaru, sedan itu ditarik dari pasaran Australia selepas didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Peminat Mazda 6 bagaimanapun tidak perlu gusar kerana sedan itu sudah pun mempunyai pengganti iaitu Mazda EZ-6 yang dibangunkan dengan kerjasama Changan. Model itu menggunakan Deepal SL03 dan boleh didapati dalam versi elektrik sepenuhnya dan PHEV.

Mazda MX-30

Akhir sekali, kenderaan elektrik produksi pertama Mazda iaitu MX-30 juga bakal ‘dicantas’ selepas hanya lima tahun berada dalam pasaran. Ini bukanlah keputusan yang mengejutkan memandangkan ia hanya boleh dipandu sejauh 199 km dengan satu cas penuh.

Namun begitu, Mazda masih menawarkan versi range extender dengan enjin rotari yang dikenali sebagai e-SkyActiv R-EV. Walaupun ia mempunyai jarak gerak elektrik sejauh 85 km sahaja, model ini boleh dipandu sejauh 600 km dengan kuasa elektrik dan petrol.

Mazda mengaku guna ‘peranti luaran’, perisian kawalan enjin berbeza dalam ujian

BERIKUTAN skandal ujian keselamatan Daihatsu baru-baru ini, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT) Jepun mula melancarkan siasatan ke atas pengeluar-pengeluar domestik yang lain.

Dalam satu kenyataan rasmi, Mazda berkata ia telah menjalankan siasatan ke atas 2,403 ujian ‘Type Designation’ yang dilakukan antara Januari 2014 hingga Januari 2024 dan mengaku terdapat penyelewengan dalam lima ujian melibatkan dua kategori ujian.

Penyelewengan berkenaan, yang telah dilaporkan ke MLIT pada 30 Mei lalu, melibatkan 150,878 unit kenderaan yang telah dikeluarkan. Daripada jumlah itu, 149,313 unit telah dijual ke pasaran domestik.

Menurut syarikat itu, ia telah menggunakan ‘peranti luaran’ dalam ujian pelanggaran hadapan (frontal collision) bagi Mazda 6 dan Mazda 3, masing-masing dikenali sebagai Atenza dan Axela di Jepun.

Peranti tersebut berfungsi untuk mencetuskan beg udara secara bermasa dalam ujian tersebut. Beg udara sepatutnya diaktifkan secara spontan berdasarkan pengesanan pelanggaran oleh penderia yang terdapat pada kenderaan.

Walaupun model-model berkenaan sudah tidak lagi dikeluarkan, Mazda akan menjalankan semula proses pengesahan teknikal dan melakukan semula ujian bagi memastikan ia mematuhi piawaian perlindungan penumpang.

Selain itu, Mazda turut mengaku bahawa ia telah menggunakan perisian kawalan enjin yang berbeza dalam ujian output enjin petrol bagi MX-5 RF dan Mazda 2.

Perisan tersebut bertindak untuk menyahaktifkan fungsi ignition timing adjust semasa ujian dilakukan, berbeza dengan perisian yang terdapat pada unit-unit yang dijual.

Oleh itu, Mazda berkata ia akan mengubahsuai semula perisian tersebut bagi memastikan ia sama dengan perisian yang terdapat pada unit-unit yang dijual dalam pasaran. Ia juga akan menjalankan semula ujian bagi kedua-dua model tersebut.

Syarikat itu memberi jaminan yang unit-unit terlibat masih selamat untuk dipandu, namun akan menghentikan jualannya buat sementara waktu.

Mazda6 2023 facelift diperkenal – 2.0 dan 2.5, sedan dan wagon, dari RM180k

SELAIN Mazda3, Bermaz Motor juga memperkenalkan Mazda6 yang dikemas kini untuk 2023. Sedan segmen-D ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin serta pilihan badan sedan dan Touring (wagon). Harga adalah seperti berikut:

Mazda6 2.0 Mid Sedan – RM180,359
Mazda6 2.5 High Touring – RM230,848
Mazda6 2.5 High Plus Sedan 20th Anniversary Edition – RM240,848

Kita lihatkan bab mekanikal dulu, iaitu enjin. Model dengan enjin 2.0 menjana 162hp dan 213Nm tork manakala model dengan enjin 2.5-liter mempunyai output 192hp dan 258Nm tork. Transmisi adalah standard untuk semua, iaitu automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan, memacu roda depan.

Ciri luaran pada Mazda6 2023 ini termasuklah lampu LED dengan Signature Illumination, DRL LED, lampu kabus LED, pengesan parkir, dan rim 17-inci bagi 2.0 Sedan, tetapi 19-inci untuk 2.5 Touring dan Sedan.

Kemasan dalaman pula terdiri dari brek parkir elektronik, paparan instrumen digital 4.6-inci, stereng balutan kulit, paparan HUD untuk dua varian atas, pendingin hawa dwi-zon, corong pendingin hawa belakang, dan tempat duduk berkuasa.

Mazda6 juga dilengkapi dengan skrin infotainmen 8-inci, sambungan Android Auto, Apple Carplay tanpa-wayar, kamera 360-darjah, dan 6 pembesar suara atau sistem audio Bose dengan 11 pembesar suara (bergantung kepada varian).

Ciri keselamatan adalah standard untuk semua varian, seperti ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control System, Emergency Stop Signal, dan Hil Launch Assist.

Varian dengan enjin 2.5-liter mendapat tambahan sistem bantuan pemandu seperti lampu adaptif, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Lane-Keep Assist System, Driver Attention Alert, Smart Brake Support, dan Mazda Radar Cruise Control.

Mazda6 ditawarkan dengan tujuh warna iaitu Arctic White, Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Gray, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Polymetal Gray, dan dua warna baharu Platinum Quartz dan Rhodium White Premium.

Versi 20th Anniversary Edition 2.5 Sedan datang dengan warna eksklusif Artisan Red Premium serta kemasan-kemasan kosmetik lain.

Kesemua Mazda6 di Malaysia dilindungi dengan jaminan lima-tahun berserta pakej penyelenggaraan lima-tahun termasuk upah, alatganti, dan bendalir. Tetapi jaminan ini terhad kepada 100,000km, yang mana dahulu.