Tag Archives: Mazda EZ-6

Mazda EZ-6 mula dijual di China, harga dari RM86k

Mazda mengumumkan harga jualan bagi model sedan EZ-6 yang direka sebagai pengganti spiritual kepada Mazda6 untuk pasaran China.

Sedan EZ-6 secara asasnya merupakan versi tukar lencana daripada model Deepal SL03 yang dihasilkan oleh Changan Automobile.

Di sana, pembeli boleh mendapatkan model sedan berkuasa elektrik yang dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 255 hp/320 Nm yang dipadankan dengan dua pilihan kapasiti bateri.

Versi asas hadir dengan pek bateri lithium iron phosphate 56.1 kWh dengan jarak gerak 480 km, sementara pek bateri 68.8 kWh pula membolehkan jarak gerak lebih 600 km dicapai untuk sekali cas penuh.

Terdapat juga versi penambah jarak, di mana Mazda EZ-6 range extender didatangkan dengan motor elektrik 215 hp/320 Nm yang dibantu dengan enjin 1.5 liter berkuasa 94 hp untuk mengecas pek bateri.

Dua pilihan kapasiti pek bateri tersedia untuk versi penambah jarak, iaitu 18.9 kWh atau 28.4 kWh, di mana versi paling kecil membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 105 km, manakala unit yang lebih besar menambah jarak kepada 160 km.

Paling penting, terima kasih kepada penambahan enjin itu tadi, jarak gerak keseluruhan sedan EZ-6 versi range extender ini mampu mencecah 1,300 km!

Dari segi saiz, Mazda EZ-6 berukuran 4,921 mm panjang dengan jarak antara roda sekitar 2,895 mm, lebih panjang berbanding pesaingnya Toyota Camry.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah skrin kluster digital 10.1 inci, skrin tengah 14.6 inci, tempat duduk balutan kulit atau kulit Nappa, kawalan iklin dua zon automatik, pengecas peranti tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien 64 warna dan sistem audio premium Sony dengan 14 pembesar suara.

Harga jualan bermula dari 139,800 yuan (RM85,531) untuk varian berenjin penambah jarak, sementara versi EV tulen bermula dari 159,800 yuan (RM97,768).

Spesifikasi sedan Mazda EZ-6 EV terdedah, 255 hp, jarak gerak 600 km

Mazda menerusi kerjasama dengan syarikat automotif China Changan bakal melancarkan sedan baharu Mazda EZ-6 di pasaran China dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menerusi informasi yang diperoleh daripada laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China, Mazda EZ-6 bakal ditawarkan dalam dua pilihan unit rangkaian kuasa, motor elektrik (EV), atau sistem rangkaian kuasa penambah jarak (EREV).

Berikut merupakan fakta ringkas berkenaan Mazda EZ-6:

 

1. Dimensi

Ketiga-tiga versi sedan EZ-6 itu membawakan ukuran yang hampir sama, sepanjang 4,921 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,485 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,895 mm.

Difahamkan, jarak antara roda Mazda EZ-6 itu adalah lebih pendek 5 mm berbanding model sedan Deepal SL03 yang digunakan sebagai asas pembangunan.

 

2. EV atau EREV?

Versi EV dibekalkan dengan unit rangkaian kuasa yang dipinjamkan daripada model Deepal SL03, terdiri daripada motor elektrik berkuasa 255 hp, dengan pek bateri lithium iron phosphate CATL yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh (data CLTC).

Selain itu, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

Sementara versi penambah jarak (EREV) pula menggandingkan nadi 1.5 liter (94 hp), motor elektrik berkuasa 215 hp, dan pek bateri lithium iron phosphate, di mana EZ-6 EREV ini mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.

Walaupun dengan penambahan enjin, Mazda EZ-6 EREV mempunyai berat sehingga 1,862 kg sahaja, berbanding EZ-6 EV dengan berat sekitar 1,855 hingga 1,962 kg.

 

3. Perbezaan rekaan

 

Secara keseluruhan, kedua-dua versi EZ-6 EV dan EREV membawakan reka bentuk yang hampir sama sahaja, dengan bahasa rekaan yang diselarikan dengan apa yang digunakan pada model-model Mazda masa kini.

Cuma bezanya, model EZ-6 EV mempunyai struktur jeriji hadapan yang tertutup tanpa sebarang bukaan, sementara versi EZ-6 EREV pula datang dengan rekaan jeriji konvensional.

 

4. Kelengkapan ruang kabin

Mazda EZ-6 bakal membawakan ciri-ciri seperti skrin tengah terapung sebesar 14.6 inci, skrin kluster instrumen LCD, roda stereng rekaan bawah rata, cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8155, sistem bunyi Sony dan tempat duduk graviti sifar untuk pemandu dan penumpang hadapan.

 

Mazda EZ-6

Mazda EZ-6 guna asas sedan Deepal SL03, EV atau PHEV, mampu capai 1,000 km!

Bertempat di Auto China 2024 yang baru dibuka tirainya hari ini, Mazda menerusi syarikat Changan Mazda Automobile Corp. memperlihatkan dua buah model baharu, iaitu sedan Mazda EZ-6 serta model konsep Mazda ARATA.

 

Mazda EZ-6 merupakan sedan saiz pertengahan yang bakal menggantikan peranan Mazda6, dan dijangka akan dilancarkan di China pada penghujung tahun 2024.

Mazda EZ-6 secara asasnya merupakan Deepal SL03 versi tukar lencana, namun dengan elemen  bahasa rekaan KODO Soul of Motion, konsep Jinba-ittai (kereta dan pemandu bersatu), dan teknologi elektrifikasi yang disalurkan oleh Changan Automobile.

 

Di China, Mazda EZ-6 boleh didapati dalam versi kenderaan elektrik bateri (BEV) dan versi plug-in hybrid (PHEV), di mana versi EV boleh mencapai jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Versi PHEV pula dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan melebihi 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.

 

Ciri lain termasuklah tetapan suspensi multi-link di bahagian belakang, spoiler belakang adaptif untuk kestabilan pemanduan berkelajuan tinggi, serta nisbah pembahagian berat ideal 50:50 untuk model BEV.

Tidak banyak perincian berkenaan spesifikasi rangkaian kuasa didedahkan, melainkan ia didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang, dengan ukuran dimensi 4,912 mm panjang, 1,890 mm lebar, tinggi 1,485 mm dengan tetapan roda bersaiz 245/45R19.

Ruang kabin Mazda EZ-6 pula mengekalkan elemen minimalis dan mewah, disumbangkan oleh susun atur papan pemuka yang kemas, diikuti dengan penggunaan bahan balutan yang premium.

 

Dalam masa yang sama, Mazda turut memperlihatkan sebuah model konsep SUV yang digelar sebagai Mazda ARATA.

SUV tersebut direka menggunakan tema ‘SOULFUL + FUTURISTIC x MODERN’ yang menerapkan elemen moden masa depan di dalam kenderaan tenaga baharu.

Selain itu, ia juga turut menggandingkan pendekatan bahasa rekaan KODO yang menjadi identiti Mazda.

 

Sama seperti Mazda EZ-6, tidak banyak perincian spesifikasi rangkaian kuasa yang akan digunakan oleh Mazda ARATA didedahkan buat masa ini.

Apa yang pasti, SUV ini membawakan elemen aerodinamik seperti contoh kehadiran terowong udara pada bahagian hadapan, sisi bampar hadapan, diikuti bahagian tiang D.

Mazda ARATA dijangka akan muncul dalam versi produksi sebenar pada akhir tahun 2025 dengan menggunakan nama rasmi Mazda EZ-60.

 

Mazda EZ-6 Sedan

 

Mazda ARATA Concept