Tag Archives: Mazda Spirit Racing

MX-5 Mazda Spirit Racing bakal muncul di Tokyo Auto Salon 2025

Tinggal beberapa minggu sahaja sebelum acara Tokyo Auto Salon membuka tirainya di Jepun pada bulan depan.

Untuk itu, Mazda bakal mempamerkan beberapa model istimewa pada acara tersebut termasuklah sebuah model edisi khas yang dihasilkan oleh divisyen prestasi tinggi Mazda Spirit Racing.

Bagi mereka yang tidak mengetahui, Mazda Spirit Racing telah pun digunakan oleh pengeluar tersebut sejak tahun 2021 di dalam Super Taikyu Series Jepun dan direka untuk menggantikan peranan Mazdaspeed.

Konsep yang diperlihatkan awal tahun lalu

Berdasarkan gambar tunggal (gambar utama) yang dibekalkan, Mazda MX-5 talaan Mazda Spirit Racing itu dipadankan dengan splitter hadapan baharu, logo “R” pada jeriji hadapan, rim enam jejari hitam, angkup brek berwarna merah, dan spoiler lip belakang.

Tidak ketinggalan, terdapat aksen berwarna merah pada bahagian tengah bampar serta pada bahagian perumah cermin sisi, serta set decal yang diinspirasikan daripada perlumbaan.

Buat masa ini, Mazda tidak mendedahkan perincian naik taraf dari aspek mekanikal pada model istimewa tersebut.

Selain Mazda MX-5, Mazda juga akan mempamerkan dua model konsep perlumbaan, iaitu Mazda3 Bio Concept dan MX-5 Roadster CNF Concept, serta tidak ketinggalan SUV CX-5 yang dibina menerusi kerjasama dengan Toyo Tires.

 

Mazda kembali ke segmen prestasi dengan Spirit Racing

KALI terakhir Mazda mempunyai kereta pretasi dalam barisannya adalah pada 2013 menerusi Mazdaspeed 3 (juga dikenali sebagai Mazda 3 MPS) yang merupakan produk sub-jenamanya iaitu Mazdaspeed.

Bagaimanapun, selepas hot hatch itu dikeluarkan, sub-jenama itu menjadi senyap dan akhirnya ‘mati’ begitu sahaja.

Foto: CarWatch

Sedekad telah berlalu, kini Mazda telah mengumumkan yang mereka akan kembali ke segmen prestasi menerusi sub-jenama baharu yang dikenali sebagai Mazda Spirit Racing.

Sebagai permulaan, Mazda Spirit Racing akan menawarkan dua model iaitu Spirit Racing RS dan Spirit Racing 3, masing-masing dibangunkan berasaskan dua model sedia ada iaitu MX-5 dan Mazda 3.

Menurut Mazda, suspensi dan aerodinamik kedua-dua model berkenaan dibuat menggunakan pengetahuan yang diperoleh menerusi penglibatan mereka dalam siri perlumbaan Super Taikyu Series.

Di samping naik taraf mekanikal, Spirit Racing RS dan Spirit Racing 3 juga akan mendapat sentuhan penampilan yang lebih agresif berbanding versi standard.

Spirit Racing RS, sebagai contoh, didatangkan dengan kit badan berserta set pelekat, muncung ekzos yang lebih besar, sistem brek Brembo dan lencana yang dihitamkan. Di dalam, terdapat stereng dengan balutan Alcantara dan sepasang kerusi bucket Recaro dengan abah-abah perlumbaan.

Sementara itu, Racing Spirit 3 juga mempunyai ekzos besar dan lencana hitam, namun ia dilihat mempunyai splitter hadapan dan skirt sisi yang lebih menonjol, serta spoiler gentian karbon.

Tidak diketahui sama ada Mazda akan menaik taraf enjin dengan kuasa yang lebih tinggi ataupun tidak, namun jika mereka serius hendak bersaing dengan Toyota Gazoo Racing, itulah yang perlu mereka lakukan.