Tag Archives: MCVE

MCVE 2024: ZF perkenal produk khusus untuk pasaran Asia Tenggara

ZF Aftermarket baru-baru ini telah telah merungkaikan beberapa inovasi yang dirumus khas bagi memenuhi standard keperluan kenderaan komersial.

Antaranya adalah klac inovatif, penyerap hentak, dan bendalir transmisi. Pengenalan itu dibuat semasa acara Malaysia Commercial Vehicle Expo 2024 (MCVE 2024).

Sistem klac terbaharu SACHS dengan teknologi Jerman ini meningkatkan kecekapan operasi dengan sela masa penggantian lebih lama yang menjangkau 700,000km.

Satu lagi produk SACHS ialah komponen penyerap hentak baharu. Ia direka bukan sahaja untuk meningkatkan kestabilan kenderaan, tetapi meningkatkan jangka hayat tayar dan mengurangkan kehausan tayar akibat kemerosotan penyerap hentak.

Dengan mengurangkan jarak brek dan kehausan tayar, ia bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan pemandu tapi juga menekankan dedikasi ZF Aftermarket terhadap solusi-solusi yang menambah baik prestasi kenderaan dan yang bersifat ekonomikal.

ZF Aftermarket melengkapkan tiga inovasi terbaharunya dengan memperkenalkan bendalir transmisi berprestasi tinggi yang dirumus untuk semua jenis kenderaan komersial, ia meliputi transmisi mekanikal dan juga automatik.

Produk ini terlahir menerusi kajian yang ekstensif untuk memperbaiki aspek prestasi dan juga jangka tahan, terutamanya dalam iklim dan kondisi jalan raya Asia Tenggara yang mencabar.

“Kami telah mengumpulkan kepakaran global kami untuk menjuruterai solusi-solusi yang sesuai dengan cabaran iklim dan operasi yang unik bagi pasaran Asia Tenggara,” ujar Chee How Teoh, Ketua Unit Bahagian Pascapasaran Asia Pasifik di ZF Aftermarket.

“Inovasi kami membuktikan daya pimpinan ZF Aftermarket dari sudut teknologi dan juga visi strategik. Ia memperkasakan para pelanggan kami untuk menerajui pasaran mereka dengan kenderaan komersial yang menjanjikan reliabiliti, kecekapan, dan reka bentuk yang bersesuaian dengan iklim dan jalan raya di rantau Asia Tenggara yang mencabar,” jelas Aleksander Rabinovitch, Ketua Unit Jaringan Perniagaan Kenderaan Komersial di ZF Aftermarket.

CAM Kingo kini di Malaysia, van automatik 6-kelajuan pertama, enjin Euro 5, sehingga 18 tempat duduk

CAM Kingo diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan versi terbaharu iaitu 6AT. Dibawa masuk oleh R&A Marketing iaitu anak syarikat Sendok Group, van itu dilancarkan di acara Malaysia Commercial Vehicle Expo 2024 (MCVE 2024).

Selain kotak gear automatik 6-kelajuan yang dikatakan pertama dalam kelasnya, CAM Kingo 6AT juga menampilkan enjin diesel Euro 5 2.5-liter turbodiesel yang menjana 145hp dan 400Nm tork, lebih tinggi berbanding 350Nm pada versi sebelumnya.

Enjin Kingo 6AT ini juga dikatakan mempunyai sela masa servis 20,000km, bermakna ia tidak perlu diservis terlalu kerap seperti van-van lain dalam pasaran ini. Jaminan pula ialah enam tahun atau 200,000km, yang mana dahulu.

Kotak gear automatik 6-kelajuan pada Kingo baharu ini didatangkan dengan tiga mod; automatik, manual, dan sport. Ia juga mempunyai logik khas untuk pertukaran gear lancar, selain bantuan kawalan suhu tinggi dan rendah, serta kawalan naik/turun bukit.

Brek adalah cakera di depan, dan dram di belakang, berserta ABS dan EBD. Van ini dilengkapi rim 16-inci dengan tayar 215/75.

CAM Kingo 6AT baharu ini boleh didapati dalam dua konfigurasi iaitu 15 dan 18 tempat duduk. Setiap tempat duduk mendapat tali pinggang keledar tiga-poin, dan setiap baris mempunyai soket USB dan corong penghawa dingin.

Ciri standard luaran termasuklah cermin sisi berkuasa dengan lampu belok LED, lampu depan projektor dengan DRL, lampu kabus, lampu brek ketiga posisi tinggi, dan cermin belakang dengan fungsi penghilang wap.

Kelengkapan dalaman lain pula terdiri dari paparan skrin infotainmen 10-inci dengan Bluetooth dan USB, enam pembesar suara, kamera undur, dan pengesan undur.

CAM Kingo 6AT baharu dijual pada harga RM144,800 untuk 15 tempat duduk dan RM164,800 untuk 18 tempat duduk.

MCVE 2022: Scania pamer trak dan bas generasi baharu dengan ADAS, Euro 5, B20 hingga B100

Pada ekspo Malaysia Commercial Vehicle Exhibition (MCVE) 2022 yang sedang berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Scania telah mendedahkan beberapa kerjasama strategik dalam membangunkan trak generasi terbaharunya.

Trak generasi terbaharu ini lengkap dengan ciri-ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan juga mematuhi piawaian Euro 5. Dalam masa sama, Scania turut mendedahkan penyelesaian ke arah pengangkutan lestari.

Scania P410A6x2NA milik Chemtrax, lengkap dengan ADAS.

Model P410A6x2NA milik Chemtrax Sdn Bhd merupakan pelanggan Scania pertama menerima trak yang mempunyai teknologi ADAS. Teknologi ini mempunyai fungsi Lane Departure Warning (LDW), Automatic Emergency Braking (AEB) dan juga beg udara tirai di bahagian sisi.

LDW berupaya memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan telah terkeluar melepasi lorong pemanduan tanpa mengaktifkan signal. Sistem ini dapat mengesan garisan pada permukaan jalan secara automatik.

AEB pula merupakan sistem yang menggunakan kamera dan radar bagi memantau serta menilai situasi trafik di hadapan. Sistem ini direka untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan di hadapan melalui pembrekan secara automatik.

Penggunaan ADAS dalam kenderaan komersial dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan buat pengguna jalan raya lain.

Scania model R620A6x4NZ yang mematuhi piawaian Euro 5.

Selain itu, Scania juga telah bekerjasama dengan Xin Hwa Holdings Berhad dalam membangunkan trak generasi baharunya yang mematuhi piawaian Euro 5. Trak model R620A6x4NZ dibina dengan sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) bagi mengurangkan pelepasan emisi yang menyumbang kepada penghasilan asap dan jerebu.

Di samping itu juga, Scania telah bekerjasama dengan Billion Stars Express Sdn Bhd dalam menghasilkan bas menggunakan biodiesel Fatty Acid Methyl Esters (FAME) bergred B20 hingga B100. Ianya mesra alam serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sekaligus mengurangkan kesan perubahan iklim.

Bas Scania model K360IB4x2 milik Billion Stars Express yang dikuasakan dengan bahan api biodiesel.

Scania komited untuk mencapai matlamat yang ditetapkan bagi mengehadkan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global.

Menjelang 2025, Scania akan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida daripada operasinya sendiri sebanyak 50 peratus.

MAN TGX serba baharu buat kemunculan Malaysia di MCVE2022

MAN Truck and Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) percaya bahawa terdapat permintaan tinggi untuk model flagship mereka iaitu barisan model terkini dengan enjin Euro 5.

Trak MAN TGX serba baharu telah membuat penampilan rasmi pertamanya di negara ini di acara Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2022.

Trak dengan konfigurasi bumbung tinggi itu menawarkan kabin paling luas dalam barisan MAN terbaharu, dan akan ditawarkan bersama model-model sedia ada di Malaysia.

Dengan kabin berukuran 2,440mm lebar, 2,280mm panjang dan 2,150mm tinggi, MAN TGX baharu ini direka khas untuk perjalanan jauh dan merentasi sempadan yang biasanya mengambil masa beberapa hari.

Kabin luas ini menawarkan lebih dari 520 liter keseluruhan ruang simpanan, dan ruang setinggi 2,100mm di dalam, membolehkan pemandu dan pembantunya bergerak dengan mudah di dalam trak.

MAN TGX baharu ini dikuasakan oleh enjin diesel D2676 LF08 yang menjana sehingga 540hp dan 2,500Nm tork. Penarafan Euro 5 bermakna enjin ini lebih bersih dan cekap.

Kuasa dihantar ke gandar belakang melalui kotak gear 12-kelajuan MAN TipMatic yang direka untuk operasi mudah, memberi keselesaan dan juga penjimatan bahan api.

Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 kini berlangsung di MIECC

Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 edisi kelima sedang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Mac ini di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC).

Ekspo ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Dato’ Henry Sum Agong.

Dengan penampilan pempamer dari dalam dan luar negara, MCVE merupakan siri ekspo kenderaan komersial pertama dan terbesar pernah diadakan di Malaysia.

YB Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia ketika melawat ruang pameran.

YB Dato’ Henry Sum Agong berkata, “Malaysia berada dalam posisi terbaik sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Tenggara.

“Infrastruktur yang kita ada dibina untuk menangani cabaran pada masa depan ketika negara bergerak ke arah pemulihan ekonomi.

“Selari dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan, kita memerlukan penyelesaian pintar.

“Justeru, saya teruja untuk melihat produk-produk terkini yang ditawarkan dalam industri kenderaan komersial Malaysia kerana ia penting dalam meningkatkan ekonomi negara,” tambahnya lagi.

YB Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia bersama Andrew O’Brooks, Pengarah Urusan dan Naib Presiden MAN Truck & Bus.

Penganjur MCVE 2022, Stefan Pertz pula memberitahu, “Hari ini, kita meraikan keupayaan indutsri untuk kembali bangkit. Pandemik sememangnya menguji kita.

“Ujian ini telah berjaya kita atasi, terima kasih kepada dedikasi industri pengangkutan.

“MCVE pada tahun ini adalah untuk meraikan kejayaan ini. Kita bukan sahaja meraikan inovasi dan jenama yang telah dibawa ke dalam acara ini, malah menghargai setiap pemandu, pembekal industri, persatuan-persatuan dan pihak berkuasa.” ujarnya lagi.

Dari kiri: Andrew O’Brooks (Pengarah Urusan dan Naib Presiden MAN Truck & Bus), YB Dato Henry Sum Agong (Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia), Stefan Pertz (penganjur MCVE) dan Professor Dr. Wong Shaw Voon (Pengerusi MIROS)

Pada MCVE edisi tahun 2019, sebanyak 60 pempamer telah menyertai acara ini dan kebanyakan daripada mereka kembali untuk menyertai MCVE edisi tahun ini.