MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa jemaah menteri akan menggunakan kenderaan elektrik (EV) bermula tahun depan.
Bercakap kepada media pada majlis perasmian pejabat Khidmat Malaysia di Batu Caves semalam (9 Ogos 2022), Tuan Ibrahim berkata, “Mulai tahun depan, semua perolehan kerajaan akan bergerak kepada kereta elektrik.”
Bagaimanapun, menurut Tuan Ibrahim kos untuk peralihan ke arah EV ini masih belum diperincikan kerana ia masih di peringkat awal.
“Secara butirannya belum diputuskan lagi. Oleh kerana tidak banyak lagi kereta elektrik, maka kosnya agak tinggi tetapi apabila pengguna lebih ramai, kos akan jadi lebih murah,” katanya.
Tambah Tuan Ibrahim lagi, isu yang perlu ditangani adalah stesen pengecas, jadi fasiliti perlu dibina terlebih dahulu sebelum peralihan ini dapat dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut menyebut hasrat pihaknya untuk menjadikan pulau-pulau peranginan seperti Pulau Langkawi sebagai lokasi projek rintis penggunaan motosikal elektrik.
“Kita akan beri 100 buah motosikal elektrik kepada penduduk untuk ditukarkan dengan motosikal lama mereka,” kata beliau.
Tuan Ibrahim berkata kementeriannya juga menyasarkan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar bebas karbon dengan memperbanyakkan penggunaan EV.