Tag Archives: menteri kerja raya

Hari Raya: Tol percuma pada 8 dan 9 April 2024

SEPERTI biasa, kerajaan mengumumkan insiatif tol percuma bila menjelang musim perayaan. Untuk Hari Raya Aildilfitri 2024, pengguna lebuh raya kenderaan persendirian (Kelas 1) diberi kemudahan tol percuma selama dua hari iaitu 8 dan 9 April.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Katanya, kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu bersetuju dengan perkara itu bagi meraikan rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 April 2024 (Selasa) di mana kerajaan perlu memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta.

“Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan lokasi kesesakan kritikal untuk menambah kapasiti dan melancarkan aliran trafik.

Katanya, bilangan ini termasuk tiga lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan Smart Lane semasa perayaan Tahun Baru Cina pada Februari yang lalu.

Beliau berkata, terdapat penambahbaikan dalam pelaksanaan lorong Smart Lane iaitu:

  1. Pemasangan papan tanda peringatan pengaktifan Smart Lane di setiap sela 500 meter;
  2. Pemasangan papan tanda amaran 200 meter sebelum Smart Lane bermula dan berakhir;
  3. Pemasangan lampu indikasi smart lane (blinking light) setiap 1 km;
  4. Paparan Mesej Elektronik/Variable Message System (VMS) mudah alih untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/ penamatan operasi Smart Lane.

Tol percuma pada 8 dan 9 Februari sempena Tahun Baru Cina

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, pengecualian tol itu diberikan kepada pengguna lebuh raya membabitkan Kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian).

Ia bermula pada jam 12.01 tengah malam 8 Februari hingga jam 11.59 malam 9 Februari di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan implikasi kewangan bagi pemberian tol percuma itu dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.

Dengan pengecualian bayaran tol itu, Nanta berkata, pengguna lebuh raya diharap dapat merancang perjalanan serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan dalam tempoh berkenaan.

Beliau juga menasihati pengguna untuk memandu dengan selamat dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet mencukupi untuk perjalanan yang lancar.

Seksyen 6 lebuh raya WCE dibuka esok, tol percuma hingga 2 Januari 2024

PEMBUKAAN Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE atau West Coast Expressway) bakal menjimatkan masa perjalanan 30 minit dari Kapar ke Assam Jawa, Ijok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lebuhraya WCE melibatkan Seksyen 6 dengan jajaran sepanjang 21.8 km itu memerlukan 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada.

Menurut beliau, lebuh raya itu dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula dari jam 12.01 tengah malam, Selasa.

“Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Menurut Nanta, pengecualian tol juga akan diberikan sempena pembukaan lebuh raya itu sehingga 2 Januari tahun depan.

“Pengguna lebuh raya yang memasuki Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa di kedua-dua arah menikmati tol percuma terbabit.

“Manakala bagi pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Seksyen 5 iaitu dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Selatan (NNKSB) ke Plaza Tol Assam Jawa di kedua-dua arah, nilai kadar tol Seksyen 5 sedia ada mengikut jenis kelas kenderaan masing-masing akan dikenakan seperti biasa,” tambahnya.

Nanta memberitahu, pemberian tol percuma menjadi amalan kelaziman setiap kali kerajaan membuka lebuh raya baharu kepada pengguna.

“Kita mengambil kira beberapa faktor antaranya cuti sepanjang Disember ini seperti Tahun Baharu dan sebagainya,” kata beliau.

Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaharu yang menghubungkan antara negeri iaitu Selangor dan Perak.

Laluan berkenaan melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang di Selangor dan seterusnya menyambung jajarannya di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan, Seri Manjung, Beruas sehingga ke Taiping.

Jangka hayat jalan raya diturap semula boleh capai hingga lapan tahun – Menteri Kerja Raya

ANDA pasti sering tertanya-tanya kenapa sesuatu jalan raya itu kerap diturap semula, kadang-kadang beberapa kali setahun!

Tetapi menurut Menteri Kerja Raya, jangka hayat jalan raya yang diturap atau ditampal semula boleh mencapai tujuh hingga lapan tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Gambar oleh: Malay Mail

“Tempoh hayat jalan raya itu adalah berdasarkan piawaian badan antarabangsa selepas ia diturap atau ditampal semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) teknikal,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Memang ada jangka hayat jalan itu. Kalau mengikut piawaian badan antarabangsa, satu jalan itu selepas dibina semula, jangka hayatnya adalah tujuh hingga lapan tahun.

“Kita terhad dalam kewangan… saya difahamkan untuk menyempurnakan semua jalan yang ada, ia memerlukan RM4 bilion tetapi dalam belanjawan, tidak sampai separuh daripada keperluan itu yang diterima.

“Bagaimana kita hendak buat yang terbaik… ia mungkin tidak dapat kerana terhad dalam kewangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai jangka hayat jalan yang diturap semula kerana ia didakwa cepat rosak.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut membangunkan aplikasi MyJalan KKR yang membolehkan pengguna jalan raya mengajukan permohonan atau memberi makluman berhubung kerosakan kemudahan asas terbabit.

“Saya meminta KKR membangunkan aplikasi ini bagi memudahkan penyaluran aduan kepada kementerian, kerana ada jalan bukan bawah seliaan KKR… ada yang bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui MyJalan KKR, kita akan menyalurkan dan menapis permohonan lalu berikan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana Ahli Parlimen disaran mengemukakan cadangan naik taraf jalan kepada pihak kerajaan negeri untuk dimasukkan ke dalam keutamaan melalui pelan pusingan akan datang.

Katanya, KKR kemudian akan meneliti cadangan itu selepas ia diangkat kepada agensi pusat, dengan kelulusannya bergantung pada peruntukan.

DUKE jadi lebuh raya kedua untuk sistem pembayaran tol terbuka

LEBUHRAYA Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) menjadi syarikat konsesi lebuh raya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka di plaza tol bermula September 2023 ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata persetujuan yang dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Kerja Raya dan DUKE menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang bakal terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12.

Katanya lebuh raya terlibat termasuklah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Beliau memaklumkan Lebuhraya DUKE juga telah dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuhraya di dalam negara.

“Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya.

Nanta berkata pada ketika ini, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF masih mengikut jadual dan kementeriannya sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

“Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini, sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan,” tambahnya.