Tag Archives: menteri

Subsidi diesel: 180,000 kenderaan belum mohon Fleet Card

Kira-kira 180,000 kenderaan barangan masih belum memohon mendapatkan Fleet Card menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata mengikut rekod, terdapat 389,000 kenderaan barangan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 209,000 memohon Fleet Card dalam SKDS 2.0.

“Jumlah 209,000 itu telah diluluskan untuk subsidi diesel,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau menjelaskan, terdapat 33 kategori kenderaan, termasuk 10 kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres, manakala 23 lagi kategori membabitkan kenderaan pengangkutan barangan, logistik.

“Kategori kenderaan barangan, ada 389,000 yang berdaftar dengan JPJ, namun yang daftar untuk dapatkan Fleet Card sekitar 209,000, bermakna lebih kurang 180,000 lagi masih belum daftar.

“Mungkin yang belum berdaftar ingat mereka tak layak atau hanya punya satu, dua kenderaan dan rasa susah. Sebenarnya, walaupun satu, dua atau tiga kenderaan pun layak, tak perlu ada 20 kenderaan dalam syarikat.

“Asalkan mereka termasuk dalam 23 kategori kenderaan mengangkut barang yang tersenarai,” katanya menasihatkan pemohon dalam 23 kategori itu tidak bimbang memandangkan mereka yang memohon akan mendapat kelayakan serta-merta.

Beliau memberi contoh, jika permohonan Fleet Card daripada lima syarikat minyak yang mengambil masa untuk diproses, pemohon boleh menyimpan resit dan kemudian boleh mendapatkan bayaran balik.

“Bila ada Fleet Card, serta-merta dekat pam minyak sudah ada diskaun,” katanya.

Mengenai dakwaan pemberian subsidi RM200 tidak mencukupi bagi kenderaan barangan, Fuziah berkata, tiada kuota Fleet Card ditetapkan bagi kenderaan pengangkutan barang setakat ini.

“Penyasaran subsidi diesel di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ialah syarikat dan kita guna kan sistem Fleet Card. Berbeza dengan dua lagi,” katanya merujuk sistem Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi.

Tukar Vellfire kerana kos sewaan lebih rendah dari Proton Perdana – MOF

PENUKARAN Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) daripada model Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L dapat menjimatkan perbelanjaan sewaan kenderaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF sebelum itu memaklumkan kos sewaan bulanan bagi Vellfire adalah lebih rendah iaitu RM4,851.61 berbanding Perdana iaitu RM4,854.41.

“Penukaraan model KRJ juga dibuat berikutan penamatan pengeluaran Proton Perdana 2.4 Premium pada 2014”, menurut kenyataan itu.

Proton Perdana 2.4 Premium

Tular di media sosial baru-baru ini mengenai penggunaan model MPV Toyota Vellfire 2.5L menggantikan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri apabila proses penggantian kenderaan itu dimulakan pada April lepas.

Menurut kementerian itu, cadangan penukaran model kereta yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri itu telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, namun hanya dilaksanakan tahun ini.

“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebelumnya dijadualkan setiap empat tahun sekali.”

Warga emas boleh terus memandu – Menteri Pengangkutan

WARGA emas berumur 70 tahun dan ke atas tidak perlu menyerahkan lesen memandu mereka, kata Menteri Pengangkuta, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata kepada Dewan Rakyat bahawa kementeriannya tidak pernah menetapkan syarat sebegitu kerana kecekapan memandu bukan berdasarkan umur seseorang.

“Kecekapan (memandu) adalah berlainan. Macam YB Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) beliau dapat memandu dengan baik. Jauh lebih baik daripada orang lebih muda. Tidak boleh ada diskriminasi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Menteri itu juga mengesahkan warga emas akan diberikan lesen memandu jika mereka mampu berbuat demikian.

Dr Wee Ka Siong. Sumber: Malay Mail

Dr Wee pada Sabtu lepas berkata, “Mengehadkan umur untuk lesen memandu warga emas sepatutnya menjadi pilihan terkahir melainkan terbukti mereka tidak mampu memandu.” Menurutnya, isu itu perlu dilihat dengan skop lebih luas dan bukan dari faktor umur semata-mata.

Menjawab soalan asal Syed Ibrahim, statistik kemalangan jalan raya membabitkan kesalahan pemanduan lawan arus, Ka Siong berkata, sebanyak 807 kes dicatatkan sejak Januari lalu.

“Berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri (KDN), statistik kemalangan jalan raya membabitkan kesalahan memandu lawan arus adalah 29 kes menyebabkan maut, parah (17), cedera ringan (49) dan kenderaan rosak (712).

“Kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus (seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah) dan tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Nasib rider p-hailing terbela, menteri janji bentang kertas cadangan ke Kabinet

KERAJAAN memandang serius isu keselamatan membabitkan pekerja penghantar makanan atau p-hailing.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan memuktamadkan mengenai kertas dasar perkhidmatan makanan secepat mungkin sebelum dibentangkan ke Kabinet.

Jelasnya, kertas dasar itu akan melihat secara menyeluruh bukan sahaja dalam soal mengawal selia tetapi juga aspek keselamatan penunggang p-hailing.

“Keputusan di peringkat kabinet secara dasarnya sudah ada, cuma dari segi teknikal, macam mana cara kita nak buat peraturan, bagaimana ia (dasar) dapat dibuat.

“Macam dahulu, e-hailing tiada satu dasar dan beberapa tahun yang lepas, sudah ada dasar untuk e-hailing.

“Kalau kita nak mengawal selia p-hailing pula, setakat apa? Ini sebahagian gig ekonomi, ini bukan (sektor) yang konvensional.

“Macam mana dengan dasar Kementerian Sumber Manusia yang mahukan mereka mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?” katanya.

Wee berkata demikian pada majlis pembukaan Pusat Vaksinasi Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas, hari ini.

Untuk rekod, terdapat lebih 73,394 penunggang p-hailing yang berdaftar setakat ini.