Tag Archives: Mercedes-Benz EQB

EQB terbakar: syarikat pengendali stesen pengecas beroperasi tanpa lesen

SURUHANJAYA Tenaga (ST) dalam satu kenyataan mendedahkan syarikat pengendali stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) di Johor yang terbakar pada 31 Disember lalu didapati beroperasi tanpa lesen.

Dalam kenyataan itu, ST memaklumkan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 memperuntukkan bahawa aktiviti pembekalan tenaga daripada mana-mana pepasangan hendaklah dilaksanakan dengan lesen yang sah daripada ST.

Dalam kejadian itu, sebuah Mercedes-Benz EQB hangus terbakar ketika sedang dicas di sebuah bangunan bilik pameran kenderaan di Tampoi.

Selain itu, kira-kira lima peratus daripada premis berkeluasan 256 meter persegi itu terbakar, dengan 20 peratus daripada kemudahan pengecas EV itu turut musnah.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan mangsa atau pasukan bomba dan penyelamat dalam kejadian tersebut.

Menurut suruhanjaya itu lagi, pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Pihak bertanggungjawab dan syarikat terlibat juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Pada 16 Disember 2022, ST dilaporkan menyarankan pengendali titik pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar segera mendapatkan lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan EVCS di negara ini termasuk yang telah beroperasi, selewat-selewatnya pada 31 Mac 2023.

Mercedes-Benz EQB hangus terbakar ketika sedang dicas

SEBUAH kereta elektrik jenis Mercedes-Benz EQB terbakar semasa sedang dicas di sebuah pusat pameran kereta di Jalan Skudai, Johor Bahru, pada Ahad.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebut melalui talian MERS999 pada jam 2.45 petang.

Satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit RIM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan 10 anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ke lokasi didapati sebuah kereta Mercedes EQB sedang terbakar dan kebakaran dipercayai berlaku ketika kenderaan tersebut sedang dicas.

“Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus keseluruhan kenderaan dan lima peratus bangunan menempatkan ruang pameran (showroom).

“Kebakaran turut memusnahkan 20 peratus Electric Vehicle Charging Bay di hadapan kereta yang terbakar,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran dipadamkan menggunakan dua aliran salur bantu mula jentera, satu saliran salur bantu mula jentera RIM dan satu aliran salur bantu mula bangunan.

Ujarnya, punca kebakaran dan anggaran sebenar kerugian masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan sekitar 3.10 petang, Ahad.

Mercedes-Benz EQB dilancarkan di Malaysia pada September 2022 dengan harga jualan bermula dari RM328,888. Ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 66.5 kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 423 km dengan satu cas penuh.