Tag Archives: Mercedes-Benz GLB-Class

Mercedes-Benz GLB-Class 2024 dikemaskini, dari RM291 ribu, dua varian

Mercedes-Benz Malaysia mengemaskini penawaran model SUV mewah GLB-Class untuk model tahun 2024 dengan pakej yang lebih menarik untuk para pelanggan.

Sama seperti penawaran terdahulu, Mercedes-Benz GLB-Class 2024 boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu GLB 200 berharga RM290,888 dan GLB 250 4MATIC berharga RM341,888.

 

 

Dari segi luaran, GLB 200 2024 membawakan bampar hadapan yang telah direka semula, diikuti dengan empat struktur kekisi melintang dan kit badan Progressive Line yang menjadikan penampilan SUV ini yang lebih elegan.

Sementara GLB 250 4MATIC pula membawakan kekisi jeriji hadapan melintang tunggal berserta kemasan krom, pakej AMG Line, Night Package, serta kemasan paip ekzos berwarna hitam berkilat.

Secara standard, GLB 200 dipasangkan dengan rim aloi 5 jejari berkembar bersaiz 18 inci, sementara GLB 250 4MATIC pula mendapat rim aloi AMG bersaiz 19 inci.

 

 

Terdapat beberapa pembaharuan yang dibuat pada ruang kabin, seperti contoh roda stereng sports balutan kulit untuk GLB 200 (kulit Nappa untuk GLB 250 4MATIC), diikuti penambahan port pengecasan USB-C, kuasa pengecasan yang dipertingkatkan dan kesemua slot USB yang bercahaya.

Sama seperti model terdahulu, GLB 2024 menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25 inci, lengkap dengan sistem infohibur MBUX, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Antara ciri lain termasuklah trim Star Pattern (tambahan fungsi cahaya untuk GLB 250), tempat duduk balutan kulit (atau gandingan kulit ARTICO/MICROCUT untuk GLB 250), sistem pencahayaan ambien 64 warna dan kawalan iklim automatik.

 

 

Dari segi kuasa, Mercedes-Benz GLB 200 datang dengan nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 163 hp dan 270 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tujuh kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 9.3 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 207 km/j.

Sementara Mercedes-Benz GLB 250 4MATIC pula dibekalkan dengan enjin bersesaran 1,991 cc berkuasa 224 hp @ 5,500 rpm dan 350 Nm @ 2,000-4,000 rpm, dengan padanan transmisi DCT lapan nisbah kelajuan.

Eksklusif untuk varian GLB 250 ialah ciri pacuan semua roda 4MATIC, dan sistem hibrid BSG 48 voltan yang mampu memberikan kuasa ekstra 13.4 hp dan 150 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j sepantas 7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 236 km/j.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Parking Package, Active Parking Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist, Active Brake Assist, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

 

Mercedes-Benz GLB 200 2024

 

Mercedes-Benz GLB 250 4MATIC 2024