Tag Archives: Mesir

Proton, Ezz Elarab lancar sedan Saga CKD di Mesir

Divisyen jualan antarabangsa Proton mengumumkan pelancaran Proton Saga versi pemasangan tempatan (CKD) di Mesir, bersempena dengan sambutan ulang tahun kerjasama yang ke-20.

Pencapaian ini dibuat hanya dalam tempoh tiga bulan selepas majlis perasmian kilang CKD Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada November tahun lepas.

Menurut Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Kedudukan strategik Mesir serta populasi yang ramai memberikan peluang pertumbuhan yang luar biasa bagi Proton.

“Pada tahun 2024, jumlah jualan eksport Proton mengalami peningkatan sebanyak 31.1 peratus, dan Mesir memainkan peranan penting untuk pencapaian ini.

Jelasnya lagi, selain daripada Proton Saga, Proton juga akan meneroka peluang untuk melancarkan barisan produk termasuklah SUV dan NEV bergantung kepada keadaan pasaran.

 

Kilang CKD ESAF dibina dengan pelaburan sebanyak US$50 juta, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 unit (dua syif).

Menurut Eng. Amr Abu Al-Saud selaku Ketua Pegawai Eksekutif Ezz Elarab Elsewedy Investment (ESI) berkata, pihaknya akan memulakan pengeluaran besar-besaran pada suku pertama (Q1) 2025.

Kerjasama 20 tahun yang terbentuk antara Proton dan Ezz Alarab Automotive telah berjaya menjual lebih 18,000 unit kenderaan di pasaran Mesir.

 

Proton Saga LHD mula dipasang di Mesir Disember ini

Proton dijangka akan memulakan proses pemasangan kenderaan (CKD) di Mesir pada Disember ini menerusi pembukaan kilang di Kaherah, Mesir.

Perasmian kilang CKD tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bersempena dengan lawatan rasminya ke negara itu.

Terletak di Al Oula Industrial Park, Giza, fasiliti yang dimiliki oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) bernilai US$35 juta ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20,000 unit dan mampu menyediakan 400 peluang pekerjaan.

Perasmian kilang CKD tersebut merupakan susulan daripada penghantaran pertama unit CKD ke Mesir pada 9 September yang lalu.

Unit pertama Proton Saga versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dijangka akan meluncur keluar dari barisan produksi pada bulan Disember ini dengan sasaran pengeluaran 1,400 unit untuk tahun 2024.

Angka tersebut akan meningkat kepada 5,000 unit pada tahun 2025, dengan unjuran pengeluaran sebanyak 16,000 unit Saga CKD versi LHD untuk tempoh sehingga tiga tahun sehingga akhir tahun 2026 dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Selain pasaran domestik Mesir, Proton juga akan mengeksport model kenderaan ke negara-negara di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Proton juga merancang untuk menjadikan Mesir sebagai salah satu hab terpenting pengeluar itu di rantau tersebut.

Proton mula operasi CKD Saga di Mesir, dijangka peroleh RM570 juta

Proton telah mengumumkan permulaan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Mesir yang dikendalikan oleh rakan kongsi, Ezz Alarab.

Pengumuman dibuat semasa satu acara di ibu pejabat Proton, di mana 120 unit pek CKD Proton Saga pemanduan sebelah kiri dihantar ke negara tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah, penambahan operasi CKD di Mesir menambahkan jumlah kilang yang terlibat dalam aktiviti CKD dan SKD untuk Proton di luar Malaysia kepada lima.

“Memandangkan pasaran automotif Malaysia mencapai tahap tepu semula jadinya, potensi pertumbuhan volum akan datang dari pasaran luar negara di mana permintaan pengguna dijangka akan meningkat pada masa akan datang,” katanya.

Proton telah menembusi pasaran automotif Mesir menerusi Ezz Alarab sejak 2004 lagi. Secara keseluruhannya, hampir 17,000 unit CBU telah dieksport ke negara tersebut dan pada tahun 2024, ia diramalkan lebih daripada 1,400 akan dihantar ke Mesir.

Pemasangan tempatan disasarkan bermula pada Disember tahun ini di kilang pemasangan Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF). Volum yang disasarkan untuk tahun 2025 dijangka meningkat kepada 5,000 unit Saga.

“Proses pemasangan tempatan Proton Saga di Mesir membolehkan syarikat memenuhi matlamat kerajaan Mesir untuk mengehadkan bilangan import CBU ke negara tersebut sambil juga menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan.

“Ini seterusnya mencipta potensi untuk pengembangan kapasiti yang lebih besar di negara tersebut pada masa hadapan, terutama selepas kami melancarkan model-model baru untuk mencapai matlamat bagi menjadikan Mesir sebagai pusat eksport kenderaan Proton di rantau Afrika Utara,” Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton.

Untuk tiga tahun pertama sehingga akhir 2026, pendapatan yang diperoleh Proton daripada eksport pek CKD ke Mesir diramalkan sebanyak RM570 juta, dengan tambahan RM20 juta dijangka sebagai pendapatan daripada aktiviti eksport alat ganti.