Tag Archives: MForce Bike Holdings

Brixton Cromwell 1200 motosikal cruiser bergaya vintaj – RM58,888

MFORCE Bike Holdings, selaku pengedar rasmi jenama Brixton di Malaysia, telah melancarkan sebuah model dengan enjin bersesaran 1,222 cc iaitu Cromwell 1200.

Harga jualannya bermula dari RM58,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, namun untuk 100 pelanggan pertama, syarikat itu menawarkan harga istimewa iaitu RM55,888.

Cromwell 1200 ditawarkan dalam dua warna iaitu Backstage Black dan Cargo Green. Ia boleh didapati sekarang di mana-mana pengedar sah Brixton di seluruh Malaysia.

Untuk kuasa, ia dibekalkan oleh enjin dua silinder selari, empat lejang yang mampu menghasilkan 83 hp pada 6,550 rpm dan 108 Nm tork maksimum pada 3,100 rpm.

Ia mempunyai dua mod tunggangan iaitu Eco untuk penjimatan bahan api dan Sport untuk prestasi tunggangan yang agresif dengan pendikit yang lebih responsif.

Untuk sistem suspensi, motosikal jenis cruiser seberat 235 kg ini menggunakan fork teleskopik KYB pada bahagian dan suspensi berkembar boleh laras pada bahagian belakang.

Tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Phantom Sportscomp bersaiz 100/90 R-18 di depan dan 150/70 R-17 di belakang.

Sistem keselamatan yang ada pada model ini termasuk ABS dwi-saluran dan Traction Control. Turut disertakan adalah ciri Cruise Control yang boleh diaktifkan dengan menekan butang pada sebelah kiri bar hendal.

Walaupun mempunyai reka bentuk vintaj, Cromwell 1200 tetapi hadir dengan ciri-ciri moden seperti lampu LED, lampu isyarat membelok LED, port USB dan paparan TFT berwarna.

Selain itu, terdapat juga pad lutut pada tangki bahan api, skid plate aluminium untuk melindungi enjin dan beg pelana 10 liter yang diperbuat daripada bahan kalis air 100 peratus.

Brixton Cromwell 1200 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau perbatuan 20,000 km, selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.

WMoto Bobbie VII – bobber klasik berharga RM35,888

MFORCE Bike Holdings baru-baru ini melancarkan WMoto Bobbie VII ke pasaran tempatan dengan harga jualan bermula dari RM35,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Menurut syarikat itu, ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Matte Black dan Metallic Black, dan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Bobbie VII dikuasakan oleh enjin dua silinder empat lejang bersesaran 693 cc yang turut dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin berkenaan mampu menghasilkan output berjumlah 74 hp pada 8,500 rpm dan 64 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Dari segi dimensi, model ini mempunyai ukuran panjang 2,240 mm, lebar 865 mm, dan tinggi 1,065 mm. Berat keseluruhan adalah 211 kg, manakala kapasiti tangki bahan api adalah 15 liter.

Sistem suspensi yang digunakan merangkumi fork teleskopik dan cantilever, dipadankan dengan tayar berukuran 120/80-17 di hadapan dan 150/80-16 di belakang.

Untuk brek, ia dilengkapi dengan cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang, ditemani dengan ABS dwi-saluran.

Walaupun mempunyai penampilan serba klasik, Bobbie VII sebenarnya sarat dengan ciri-ciri moden. Ini termasuk lampu LED untuk lampu utama, belakang serta lampu isyarat, dan juga panel meter jenis digital. Turut disertakan adalah pengecas USB.

WMoto XDV250i dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga dari RM18,888

PERSAINGAN dalam pasaran skuter kembara di Malaysia kini menjadi semakin sengit dengan kehadiran pesaing baharu dari MForce Bike Holdings Sdn Bhd iaitu WMoto XDV250i.

Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu standard dan Project-X yang merupakan versi lebih rugged dengan aksesori tambahan. Harga bermula dari RM18,888 untuk varian standard dan RM21,888 untuk Project-X.

XDV250i Project-X

XDV250i dikuasakan oleh enjin 249 cc silinder tunggal SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 24.8 hp pada 8,750 rpm dan 23 Nm tork maksimum pada 6,750 rpm.

Selain itu, enjin berkenaan juga dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan patuh piawaian emisi Euro 4. Kapasiti tangki bahan api adalah 13.5 liter.

Untuk suspensi, XDV250i menggunakan sistem suspensi keluaran KYB yang terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) 41 mm di depan dan penyerap hentak teleskopik berkembar di belakang.

Ketinggian pelana adalah sekitar 800 mm, manakala berat keseluruhan skuter kembara ini adalah 159 kg. Sementara itu, sistem brek pula merangkumi brek cakera depan dan belakang, serta ABS dwi-saluran.

Selain itu, XDV250i juga didatangkan dengan cermin penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, sistem Remote Keyless dan panel meter LCD penuh dengan penunjuk tekanan angin tayar, suhu dan sebagainya.

Untuk kemudahan penunggang, terdapat ruang penyimpanan barang berkapasiti 26 liter, port pengecas USB dan juga pencahayaan pada butang dan suis.

Varian Project-X didatangkan dengan aksesori tambahan berupa tiga buah kotak penyimpanan aluminium, cermin penghadang angin yang lebih tinggi serta rim spoke dengan tayar tanpa tiub.

QJMotor lancar 3 model 250cc ke pasaran Malaysia, harga bermula RM17k

PENGEDAR tunggal jenama QJMotor di Malaysia iaitu MForce Bike Holdings mengumumkan bahawa model SRV250, SRK250 dan SRK250RR akan mula tersedia di pasaran bermula awal November tahun ini.

Menurut syarikat itu, harga jualan (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) untuk SRV250 dan SRK250 bermula dari RM16,888, manakala SRK250RR pula bermula dari RM18,888.

SRK250 & SRK250RR

SRK250

SRK250 dan SRK250RR dikuasakan oleh enjin silinder berkembar selari dengan sesaran 249 cc, namun dengan tahap kuasa yang berbeza. Model naked sport SRK250 mempunyai 31.5 hp pada 11,000 rpm dan 21.2 Nm pada 9,000 rpm.

Sementara itu dalam kategori ‘Racing Replica’, SRK250RR y dengan 25 hp pada 8,500 rpm dan 24.1 Nm pada 6,500 rpm. Kedua-duanya dilengkapi dengan klac jenis Assist & Slipper untuk tunggangan yang lebih lancar dan selesa.

Selain itu, kedua-dua model ini juga mempunyai perbezaan dari segi kelengkapan dan spesifikasi. SRK250 didatangkan dengan cakera berkembar 300 mm pada bahagian depan, di samping menggunakan tayar bersaiz 110/70-17 di depan dan 150/60-17 di belakang.

SRK250RR

Untuk perbandingan, SRK250RR mempunyai cakera tunggal, manakala tayar belakangnya bersaiz 140/70. ABS dwi-saluran disertakan secara standard pada kedua-dua model.

Dimensi antara kedua-dua model ini juga berbeza, dengan SRK250 30 mm lebih panjang, 35 mm lebih lebar dan 30 mm lebih tinggi berbanding SRK250RR. Ukuran tapak roda dan ketinggian pelana masing-masing turut berbeza sebanyak 5 mm.

SRV250

Sebagai motosikal kategori ‘street cruiser’, SRV250 dikuasakan oleh enjin 249 cc silinder V-berkembar yang menjana 27.5 hp pada 9,000 rpm dan 23 Nm pada 7,000 rpm. Ia menggunakan ekzos jenis torpedo berkembar yang dikatakan dapat menghasilkan bunyi deruman yang lebih garang serta pembakaran bahan api yang lebih efisien.

Ia dilengkapi dengan suspensi teleskopik terbalik dan penyerap hentakan berkembar untuk tunggangan yang lebih stabil. Lampu LED pada bahagian depan dan belakang pula memastikan penunggang dapat dilihat dengan jelas terutamanya pada waktu malam dan ketika hujan.

Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal berukuran 280 mm di depan dan 240 mm di belakang, berserta ABS dwi-saluran. Tayar yang digunakan pula bersaiz 120/80-16 di depan dan 150/80-15 di belakang.

Seperti SRK250 dan SRK250RR, model ini didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.