Selepas dipertontonkan pada April lalu, SUV elektrik segmen B terbaharu dari MG Motor Malaysia iaitu MGS5 EV kini dibuka untuk tempahan.
Kini dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025, MGS5 EV akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Com dan Lux. Varian Com boleh didapati dengan bateri 49 kWj atau 62 kWj, masing-masing memberikan jarak sehingga 340 km dan 430 km berdasarkan kitaran WLTP.
Sementara itu, varian Lux pula didatangkan dengan satu pilihan bateri sahaja iaitu 62 kWj yang turut menawarkan jarak gerak sehingga 430 km.
Kedua-dua varian dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 170 PS dan 250 Nm.
Menurut MG, varian Lux menyokong pengecasan pantas sehingga 150 kW yang membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilengkapkan dalam masa hanya 26 minit. Turut disertakan adalah pengecasan AC 7 kW dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L).
MGS5 EV akan diposisikan sebagai pesaing terus Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3. Ia mempunyai ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm. Ruang butnya pula menawarkan ruang maksimum 1,441 liter.
Kelengkapan standard yang disertakan termasuk lampu depan LED dengan DRL bertemakan ‘Racing Flag’, lampu belakang Arch khas MG dengan motif tersendiri, skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 12.8 inci, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Varian Lux mendapat kelengkapan tambahan berupa roda aloi 18 inci, bumbung matahari panoramik, upholsteri fabrik-kulit, pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, stereng kulit dengan sistem penghangat, pad pengecasan telefon tanpa wayar, enam pembesar suara premium, pintu belakang berkuasa, dan kamera 360 darjah.
Tiada pengumuman harga rasmi namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, MGS5 EV bakal dijual dengan harga anggaran RM115,000.
Pelanggan yang membuat tempahan semasa Malaysia Autoshow dengan bayaran yuran RM500 akan layak untuk pakej early bird eksklusif yang menawarkan penjimatan luar biasa, serta pengecas AC Wallbox 7 kW secara percuma.