Tag Archives: mg4

MG4 XPower memang laju tetapi adakah ia pilihan terbaik? – Pandu Uji

MG4 XPower dilancarkan ke pasaran Malaysia hampir 12 bulan yang lalu sebagai kenderaan paling murah yang boleh membawa anda dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

Anda boleh kata macam-macam tentang EV tetapi anda tidak boleh nafikan yang prestasi berkenaan sangat mengagumkan kerana 10 atau 15 tahun dahulu, prestasi seperti itu hanya boleh dicapai oleh kereta sport dan supercar yang bernilai ratusan malah jutaan ringgit.

Kini, terima kasih kepada kemajuan teknologi EV, anda boleh merasakan sensasi yang sama pada harga kurang dari RM160,000.

Sudah tentu, ada beberapa model EV lain yang boleh mencapai kelajuan 100 km/j lebih cepat seperti Volvo EX30 Ultra Twin Performance (3.6 saat) dan Smart #3 Brabus (3.7 saat) tetapi kedua-dua model ini berharga lebih RM200,000.

Namun adakah kelebihan MG4 XPower terletak pada kelajuan semata-mata? Bagaimana pula dengan aspek-aspek lain seperti reka bentuk, keselesaan, jarak gerak, teknologi dan sebagainya? Teruskan membaca.

Reka bentuk

MG4 adalah sebuah hatchback lima pintu dengan perkadaran yang agak unik. Pada mata penulis, ia nampak agak besar tetapi ia sebenarnya 3 mm lebih pendek berbanding BYD Dolphin yang comel itu. Jika dibandingkan dengan smart #1 pula, ia 17 mm lebih panjang namun ukuran tapak rodanya 45 mm lebih pendek.

Namun apa yang jelas, MG4 lebih rendah dan lebar berbanding kedua-dua model berkenaan, memberikannya stance yang lebih agresif dan kelebihan dari segi prestasi aerodinamik.

Penampilannya yang sporty diperkayakan lagi dengan elemen-elemen seperti bahagian depan yang tajam, spoiler bumbung berkembar dan pelindung angkup brek berwarna oren lengkap dengan tulisan ‘XPower’.

Cuma agak pelik kerana tidak ada bahagian lain yang menampilkan logo XPower kecuali angkup brek tersebut. Jika kereta ini dibuat oleh BMW atau Mercedes-Benz, anda pasti akan menjumpai logo M dan AMG di serata badan.

Ruang dalaman

Tidak seperti bahagian luarannya, reka bentuk ruang kabin MG4 lebih ringkas dan bersahaja. Mereka yang mengharapkan rekaan moden dan futuristik pasti akan kecewa kerana tiada satu elemen pun yang boleh dikatakan sebagai canggih.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Walaupun secara keseluruhannya ia tidak menonjol, rekaan yang ringkas seperti ini sebenarnya memudahkan peralihan dari kereta ICE ke EV.

Apa yang ada adalah apa yang anda perlu untuk pemanduan seharian – skrin sentuh dengan barisan butang fizikal di bawahnya, konsol tengah terapung yang menempatkan tombol gear dan pengecas tanpa wayar, butang kawalan pada bahagian kiri dan kanan stereng dan panel instrumen digital.

Seperti EV lain di pasaran, banyak benda perlu diakses menerusi skrin sentuh namun anda tidak perlu risau kerana stereng MG4 didatangkan dengan butang shortcut dengan logo bintang yang boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi seperti pendingin hawa, pemulihan tenaga dan mod pemanduan.

Apa yang penulis kurang gemar adalah penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu. Bukan itu sahaja, tombol gear tersebut juga terasa agak longgar namun ia jauh lebih baik dari perlu memilih gear menerusi skrin sentuh.

Praktikaliti dan keselesaan

Hatchback secara umumnya menawarkan ruang kabin yang agak terhad namun dengan MG4, anda tidak perlu risau jika anda membawa lebih daripada seorang penumpang kerana ruang kabin terasa agak luas dan lapang.

Ia juga mempunyai ruang storan yang cukup besar pada konsol tengah dan setiap pintu, manakala ruang butnya juga tidak terlalu kecil iaitu 363 liter. Kerusi belakang boleh dibaringkan rata jika but tidak cukup besar.

Bercakap tentang kerusi belakang, penulis mendapat ia agak selesa dan tidak terlalu tegak. Ruang kaki dan kepala dirasakan sudah mencukupi untuk mereka yang berbadan sederhana namun alangkah baiknya jika MG meletakkan corong pendingin hawa khusus untuk penumpang belakang.

Prestasi

Seperti yang dikatakan, MG4 memang cemerlang dari segi pecutan. Ini sesuatu yang dialu-alukan jika anda dicabar oleh kereta sebelah di hentian lampu isyarat namun sejujurnya, prestasi yang ‘gila’ ini boleh menjadi agak memenatkan.

Ini kerana kereta ini boleh memecut laju dengan cukup mudah, tanpa sebarang drama seperti kereta ICE. Di lebuh raya, ini bukanlah satu masalah namun di dalam bandar, pergerakan badan akibat inersia ketika memecut (dan membrek) lama kelamaan membuatkan penulis mudah penat.

Untuk mengatasi isu ini, penulis menggunakan mod ECO untuk mendapatkan pecutan yang lebih terkawal.

Mengenai jarak pula, varian XPower bukanlah pilihan terbaik jika jarak pandu menjadi keutamaan anda. Varian ini didatangkan dengan bateri 64 kWj yang menawarkan jarak WLTP sejauh 385 km dengan satu cas penuh.

Angka ini sebenarnya okay sahaja untuk pemanduan di kawasan bandar namun harus diingat yang jarak juga bergantung kepada gaya pemanduan dan faktor-faktor lain. Jika anda mempunyai kaki kanan yang berat, angka tersebut akan jatuh dengan dramatik.

Untuk lebih selamat, anda boleh dapatkan varian Lux Extended Range yang didatangkan dengan bateri 77 kWj yang menjanjikan jarak sejauh 520 km. Ini sepatutnya cukup untuk empat hingga lima hari, bergantung kepada penggunaan.

Konklusi

Secara ringkasnya, MG4 XPower menawarkan nilai wang terbaik bagi peminat EV yang mahukan prestasi semata-mata tanpa ingin berbelanja besar.

Namun secara peribadinya, penulis melihat varian Lux Extended Range sebagai pilihan yang lebih masuk akal secara keseluruhannya. Ia RM10,000 lebih murah, dan dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat, ia sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Dan dengan bateri yang lebih besar, jarak bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.

Spesifikasi MG4 XPower

Harga: RM159,629
Kuasa: 435 PS (320 kW)
Tork: 600 Nm
Bateri: 64 kWj
Jarak gerak: 385 km (WLTP)

MG4 dan MG ZS EV rasmi dilancar: Sehingga 435PS dan 600Nm, harga bermula RM104k sahaja!

SETELAH dipertontonkan bulan lepas, MG4 dan MG ZS EV hari ini dilancarkan secara rasmi oleh SAIC Motor Malaysia Sdn. Bhd.

MG4

MG4 ialah sebuah hatchback EV dengan empat varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Berikut adalah harga rasmi:

MG4 Standard: Dari RM103,900
MG4 Lux: Dari RM128,900
MG4 Lux Extended Range: Dari RM148,900
MG4 XPOWER: Dari RM158,900

Dari empat varian yang ditawarkan, anda boleh memilih pek bateri antara 51kWh hingga 77kWh, dengan jarak pemanduan antara 350km hingga 520km setiap cas.

Berikut adalah spesifikasi teknikal MG4 mengikut varian:

MG4 mempunyai ukuran 4,287mm panjang, dengan jarak roda 2,705mm. Menurut MG, bateri pada MG4 ini adalah paling rata dan paling nipis dalam kelasnya, hanya 110mm.

EV ini mempunyai kapasiti kargo 363 liter dan boleh ditambah menjadi 1,177 liter. Paling menarik, ia mempunyai agihan berat depan ke belakang 50:50 dan pacuan roda-belakang. Ini pastinya memberikan MG4 pemanduan sporti.

MG menampilkan pakej keselamatan MG Pilot yang merangkumi ciri seperti Front Collision Warning, Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian and Bicycle Detection, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assistance, Lane Keeping Assistance, dan Intelligent High Beam Assist.

Varian lebih tinggi mendapat ciri tambahan seperti Blind Spot Detection, Lane Change Assist, dan Door Opening Warning, dan kamera 360-darjah.

MG iSMART pula satu ciri standard untuk model ini, iaitu arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menegur “Hello MG”.

MG iSMART juga boleh menghidupkan enjin atau sistem penghawa dingin dari jauh menggunakn peranti mudah alih.

MG4 hadir dengan tujuh pilihan warna  – Volcano Orange, Holborn Blue, Dynamic Red, Arctic White, Camden Grey, Black Pearl, Monument Silver, dan Racing Green (XPOWER sahaja).

Model ini juga dilindungi dengan jaminan tujuh tahun atau 150,000km (yang mana dahulu), serta jaminan bateri lapan tahun atau 180,000km.

ZS EV

Sementara itu, ZS EV pula merupakan model elektrik bagi ZS SUV. Ia hadir dengan satu varian pada harga RM125,999. Harga ini agak jauh lebih murah berbanding harga anggaran RM129,000 yang diumumkan sebelum ini.

MG ZS EV dibekalkan dengan bateri lithium-ion 51.1kWh yang memberikannya jarak 320km. Output maksima ialah 176PS dan 280Nm tork, cukup untuk ia memecut dari pegun ke 100km/j dalam 8 saat.

Pengecasan AC akan mengambil masa lapan jam, manakala pengecasan DC pada 50kW memerlukan 54 minit.

Ciri standard pada MG ZS EV adalah lampu LED Silverstone, kemasan gentian karbon di dalam kabin, paparan instrumen digital 7-inci, pengecas tanpa-wayar, bumbung panoramik, dan ruang kargo 448 liter hingga 1,187 liter

Ciri keselamatan pula merangkumi Front Collision Warning, Automatic Emergency Braking, Traffic Jam Assistance, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assistance, Blind Spot Detection, dan banyak lagi.

Sama seperti MG4, ZS EV juga dilindungi dengan jaminan serupa, iaitu tujuh tahun atau 150,000km berserta jaminan bateri lapan tahun atau 180,000km.

Pilihan warna termasuklah Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl, dan Monument Silver.

Galeri MG4

Galeri MG ZS EV

Jenama MG tiba di Malaysia, perkenal MG4 dan ZS EV, dari RM104k

BAGI anda yang lahir pada tahun 1990-an atau sebelumnya, pasti pernah mendengar akan jenama MG. Setelah beberapa lama, ia kini kembali ke Malaysia di bawah pengeluar China iaitu SAIC Motor.

Menandakan kembalinya jenama British itu, mereka memperkenalkan dua model untuk pasaran Malaysia – MG4 dan ZS EV. Kedua-duanya adalah model elektrik sepenuhnya. Jom kita lihatkan perinciannya.

MG4

MG4 ialah sebuah hatchback EV dengan empat varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Berikut adalah harga anggaran:

MG4 Standard: Dari RM104,000
MG4 Lux: Dari RM129,000
MG4 Lux Extended Range: Dari RM149,000
MG4 XPOWER: Dari RM159,000

Dari empat varian yang ditawarkan, anda boleh memilih pek bateri antara 51kWh hingga 77kWh, dengan jarak pemanduan antara 350km hingga 520km setiap cas.

Berikut adalah perincian teknikal setiap varian:

MG4 mempunyai ukuran 4,287mm panjang, dengan jarak roda 2,705mm. Menurut MG, bateri pada MG4 ini adalah paling rata dan paling nipis dalam kelasnya, hanya 110mm.

EV ini mempunyai kapasiti kargo 363 liter dan boleh ditambah menjadi 1,177 liter. Paling menarik, ia mempunyai agihan berat depan ke belakang 50:50 dan pacuan roda-belakang. Ini pastinya memberikan MG4 pemanduan sporti.

MG menampilkan pakej keselamatan MG Pilot yang merangkumi ciri seperti Front Collision Warning, Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian and Bicycle Detection, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assistance, Lane Keeping Assistance, dan Intelligent High Beam Assist.

Varian lebih tinggi mendapat ciri tambahan seperti Blind Spot Detection, Lane Change Assist, dan Door Opening Warning, dan kamera 360-darjah.

MG iSMART pula satu ciri standard untuk model ini, iaitu arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menegur “Hello MG”.

MG iSMART juga boleh menghidupkan enjin atau sistem penghawa dingin dari jauh menggunakn peranti mudah alih.

MG4 hadir dengan tujuh pilihan warna  – Volcano Orange, Holborn Blue, Dynamic Red, Arctic White, Camden Grey, Black Pearl, Monument Silver, dan Racing Green (XPOWER sahaja).

Model ini juga dilindungi dengan jaminan tujuh tahun atau 150,000km (yang mana dahulu), serta jaminan bateri lapan tahun atau 180,000km.

ZS EV

Sementara itu, ZS EV pula merupakan model elektrik bagi ZS SUV. Ia hadir dengan satu varian pada harga anggaran RM129,000.

SUV segmen-B ini akan bersaing dengan model-model seperti Chery Omoda E5, Honda HR-V, Proton X50, Mazda CX-3, dan Toyota Corolla Cross.

MG ZS EV dibekalkan dengan bateri lithium-ion 51.1kWh yang memberikannya jarak 320km. Output maksima ialah 176PS dan 280Nm tork, cukup untuk ia memecut dari pegun ke 100km/j dalam 8 saat.

Pengecasan AC akan mengambil masa lapan jam, manakala pengecasan DC pada 50kW memerlukan 54 minit.

Ciri standard pada MG ZS EV adalah lampu LED Silverstone, kemasan gentian karbon di dalam kabin, paparan instrumen digital 7-inci, pengecas tanpa-wayar, bumbung panoramik, dan ruang kargo 448 liter hingga 1,187 liter.