Tag Archives: MG5

Tiga benda kami kurang gemar tentang MG5 – Pandu Uji

Baru-baru ini, penulis berkesempatan memandu uji sedan segmen B yang menjadi topik bualan hangat netizen sejak beberapa bulan lalu iaitu MG5.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Walau bagaimanapun, semasa sesi pandu uji tersebut, penulis juga menemui tiga perkara yang kurang enak mengenai kereta ini:

Lampu belakang

Secara peribadinya, penulis cukup menggemari rekaan bahagian depan MG5 yang kelihatan tidak ubah seperti Maserati Quattroporte atau Ghibli. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) pula membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya.

Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot. Ia tidaklah hodoh cuma entah mengapa lampu belakang ini sedikit sebanyak mencacatkan penampilan kereta ini.

Ergonomik dan keterlihatan

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Namun oleh kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi juga tidak boleh diubah, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik sebelum memandu.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala kerusi belakang yang agak tinggi.

Sistem pendingin hawa

Untuk sebuah kereta berharga RM87,000 (selepas diskaun), penulis berpendapat yang kelengkapan yang disertakan pada MG5 agak berbaloi dan mampu memenuhi keperluan pelanggan.

Cuma, penulis kurang gemar yang kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh. Bukan itu sahaja, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

SAIC Motor Malaysia serah lebih 20 unit MG5 kepada pemilik

SAIC Motor Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menyerahkan lebih 20 unit MG5 baharu kepada para pemilik dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di MG Motor Glenmarie (Mega Galeri Sdn Bhd).

Menurut SAIC Motor Malaysia, kejayaan acara penyerahan ini adalah hasil kerjasama lebih 18 pengedar sah Motor MG yang terletak di lokasi strategik, memastikan pelanggan menerima kereta mereka dengan segera.

“MG5 telah menarik minat segmen pembeli yang mengutamakan gaya dan keperibadian, dan kami amat teruja untuk meraikan kejayaan ini bersama pelanggan kami,” kata Lee Wen Hsiang, Ketua Pegawai Operasi SAIC Motor Malaysia.

Tambah beliau lagi, acara tersebut memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, mendengar maklum balas mereka, serta meraih pandangan mengenai tahap kepuasan mereka.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu kami mempertingkatkan perkhidmatan, tetapi juga mengukuhkan komuniti yang kukuh dengan semangat MG,” katanya.

Dilancarkan pada Oktober lalu, MG5 ditawarkan dalam satu varian sahaja dengan harga jualan bermula dari RM93,900.

Sempena kempen ulang tahun ke-100 MG, SAIC Motor Malaysia menawarkan rebat bernilai RM7,000, menjadikan harga jualan pengenalan RM86,900.

Ia dikuasakan oleh enjin DVVT 1.5-liter empat silinder yang mampu menjana kuasa sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm.

Dengan transmisi jenis iCVT dengan lapan nisbah kelajuan yang menggerakkan roda hadapan, MG5 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 17.5 km/l.

MG5 didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan waranti tanpa had perbatuan selama tujuh tahun untuk enjin dan transmisi.

MG5, ada buruk dan baiknya – Pandu Uji Ringkas

Dari pertama kali ia dipertontonkan di Malaysia pada Ogos lalu, hingga ke pelancarannya kira-kira dua bulan kemudian, MG5 dilihat menjadi buah mulut netizen.

Ada yang memuji reka bentuknya, ada juga tertarik dengan harganya yang setanding dengan sedan-sedan segmen B walaupun mempunyai saiz yang lebih hampir dengan sedan segmen C.

Walau bagaimanapun, majoriti komen yang dilontarkan adalah mengenai aspek keselamatan kereta ini. Bagi mereka yang terlepas, MG5 menerima penarafan sifar bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) pada tahun lalu.

Ketua Pemasaran SAIC Motor Malaysia, Phang Rick Kee baru-baru ini tampil memberikan penjelasan mengenai isu ini. Menurutnya, model yang diuji oleh ANCAP berbeza dengan model yang dijual di Malaysia.

Untuk pasaran Australia, MG5 diimport dari China dan tidak dilengkapi dengan pre-tensioner, manakala pasaran Malaysia mendapat MG5 dari Thailand dan versi ini didatangkan dengan pre-tensioner bagi kesemua tali pinggang keledar.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius ini.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Yang pertama, mereka yang sudah bosan dengan jenama T, H mahupun N, wajar melihat MG5 dengan lebih dekat. Penulis mendapati ia nampak lebih cantik ketika menyusur di jalan raya berbanding di atas pentas pelancaran atau di bilik pameran, terutamanya dalam warna Nuclear Yellow yang kelihatan sangat memukau di bawah sinaran matahari.

Penulis secara peribadi begitu tertarik dengan rekaan bahagian depannya yang kelihatan tidak ubah seperti sedan sport dari Maserati. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya. Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot.

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Cuma sebelum memandu, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi tidak boleh diubah.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala yang tersembul keluar.

Sebagai penumpang belakang, penulis boleh katakan yang kerusi belakang selesa, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang cukup. Kaki juga boleh dilunjurkan ke depan dengan mudah, terima kasih kepada tapak rodanya yang agak panjang iaitu 2,680 mm.

Senarai kelengkapannya agak memuaskan. Selain skrin sentuh, anda mendapat kluster instrumen digital, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, pelarasan enam hala untuk tempat duduk pemandu dan bumbung suria.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara dan sistem MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Malangnya, tiada Brek Kecemasan Autonomi.

Pada pendapat penulis, kelengkapan yang diberikan agak berbaloi untuk sebuah kereta yang berharga RM87,000 selepas diskaun. Cuma ada beberapa perkara yang penulis tidak begitu gemar. Contohnya, kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh.

Selain itu, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

Bagaimana pula dengan pemanduannya? 114 PS dan 150 Nm bukanlah angka yang boleh dilabel sebagai ‘mengagumkan’ dan ini terbukti benar kerana MG5 jelas terasa perlahan dan berat ketika mula bergerak. Mereka yang kurang sabar akan menekan pedal dengan agresif dan ini akan menghasilkan ngauman yang agak kurang enak didengari.

Namun selepas jarum melepasi angka 60 km/j, pecutan terasa lebih lancar dan kereta serta merta terasa lebih ringan. Menerusi pengalaman penulis, MG5 tidak ada masalah untuk mencapai kelajuan tinggi cuma anda perlu sabar sedikit.

Di sini jelaslah yang karakter pemanduan MG5 lebih sesuai untuk pemandu yang santai dan tenang. Jika anda tidak tergolong dalam kumpulan ini, lebih baik tunggu kehadiran versi turbo. Ya, ia akan tiba ke pasaran Malaysia namun tarikh sebenar masih belum diketahui.

Walaupun prestasi pecutannya tidak mengujakan, ada tiga perkara berkaitan pemanduan MG5 yang mengejutkan penulis.

Pertama sekali, kadar Noise, Vibration and Harshness (NVH). Walaupun pada kelajuan melebihi hadlaju kebangsaan, penulis mendapati bunyi angin dari luar, terutamanya pada cermin sisi dan bahagian atas bingkai tingkap, dihalang dengan baik.

Walau bagaimanapun, tayar Maxxis yang dibekalkan agak bising terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Gantikannya dengan tayar yang lebih berkualiti dan anda pasti boleh merasai perbezaannya.

Yang kedua adalah ride and handling. Bagi penulis, jurutera MG nampaknya berjaya mencapai keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.

Ketika melalui Lebuhraya Desaru yang agak berombak dan kurang rata, penulis mendapati sistem suspensi kereta ini berupaya meminimumkan hentakan atau lantunan dengan baik. Kawalan badannya juga amat memuaskan ketika kereta dipandu pada kelajuan tinggi – tidak ada sebarang ketidakstabilan yang boleh membuatkan pemandu rasa kurang yakin.

Di selekoh, penulis boleh merasakan sedikit olengan badan tetapi ia masih pada tahap yang boleh diterima. Sekali lagi, MG5 nampaknya cukup sesuai untuk mereka yang suka memandu secara santai.

Yang terakhir adalah kadar kecekapan bahan apinya. Boleh dikatakan 70% daripada perjalanan pergi dan pulang dipandu pada kelajuan melebihi 110 km/j, namun enjin NA 1.5-liter empat silinder itu masih mampu memberikan bacaan sekitar 7.5 l/100 km. Penulis dan dua rakan media lain tiba di Kuala Lumpur dengan jarak berbaki hampir 200 km.

Konklusi

Seperti yang penulis katakan, MG5 ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar diberi pertimbangan bagi mereka yang sedang mencari sedan segmen B dengan harga berpatutan. Namun harus diakui bahawa persaingan dalam segmen ini sangat sengit dan berdasarkan pemerhatian penulis, isu berkaitan penarafan ANCAP membuatkan keadaan lebih sukar untuk MG5.

MG5 sedan fastback dilancarkan di Malaysia – RM94k

Selepas dipertontonkan pada Ogos lalu, MG5 kini dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan.

Ia didatangkan dalam satu varian sahaja dengan harga jualan bermula dari RM93,900.

Bagaimanapun, sempena kempen ulang tahun ke-100 MG, SAIC Motor Malaysia menawarkan rebat bernilai RM7,000, menjadikan harga jualan pengenalan RM86,900.

Untuk ketenangan minda, MG5 didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan waranti tanpa had perbatuan selama tujuh tahun untuk enjin dan transmisi.

Dari segi saiz, MG5 sebenarnya lebih dekat dengan sedan segmen C dengan ukuran panjang 4,675 mm, lebar 1,842 mm, tinggi 1,480 mm, dan jarak antara roda sepanjang 2,680 mm.


Bagaimanapun, SAIC Motor Malaysia selaku pengedar rasmi jenama MG berkata MG5  akan dipasarkan sebagai sedan segmen B, menjadikannya yang terbesar dalam segmennya.

Jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti Honda City dan Toyota Vios, MG5 mempunyai profil yang lebih menonjol dengan rekaan fastback coupe yang sporty.

Antara ciri yang disertakan termasuk lampu nyalaan siang LED, gril 3D, rim aloi Tomahawk bersaiz 17 inci, bumbung suria dan spoiler jenis ekor itik pada bahagian belakang.

Terdapat lima warna luaran untuk dipilih iaitu Nuclear Yellow, Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit hitam dengan jahitan kontras merah, serta ciri-ciri moden seperti panel instrumen digital tujuh inci, serta skrin infohibur 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa zon tunggal berserta corong baris kedua, penapis udara PM2.5, enam pembesar suara, tiga slot pengecasan USB, dan sistem kamera keliling 360 darjah.


Memacu MG5 adalah enjin DVVT 1.5-liter empat silinder yang mampu menjana kuasa sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm.

Dengan transmisi jenis iCVT dengan lapan nisbah kelajuan yang menggerakkan roda hadapan, MG5 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 17.5 km/l.


Menurut SAIC Motor Malaysia, trenkuasa ini telah menjalani ujian kelasakan dan ketahanan sejauh 2.35 juta km.

Untuk sistem keselamatan pula, MG5 didatangkan dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

MG5 GT 2024 – sedan fastback, nadi 1.5L NA, 114 PS, 150 Nm, harga anggaran bawah RM100k

SAIC Motor Malaysia memperlihatkan model terbaharu MG5 GT 2024 di mana ia bakal memberi saingan terus kepada model sedan segmen B di Malaysia seperti Honda City, Toyota Vios dan Proton Persona.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

MG5 GT membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,675 mm, lebar 1,842 mm, tinggi 1,480 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,680 mm.

Menurut SAIC Motor, MG5 GT merupakan sedan segmen B yang paling panjang dan lebar, selain menampilkan bentuk badan sedan fastback coupe untuk mereka yang mahukan kelainan.

 

2. Nadi aspirasi semula jadi

Sedan ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 114 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 150 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi iCVT lapan nisbah kelajuan.

Komponen ini dikatakan telah menjalani ujian kelasakan dan ketahanan sejauh 2.35 juta km.

 

3. Ciri luaran

Selain bentuk badan yang sporti, MG5 GT 2024 membawakan ciri seperti spoiler ekor itik, jeriji hadapan 3D agresif, bumbung suria, lampu nyalaan siang DRL LED, dan rim aloi Tomahawk bersaiz 17 inci.

 

4. Ruang kabin

Masuk ke dalam ruang kabin, MG5 GT memperlihatkan ciri moden seperti skrin digital LCD tujuh inci, skrin infohibur terapung 10.25 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.

Selain itu, terdapat tempat duduk balutan kulit merah/hitam, sistem pendingin hawa zon tunggal berserta corong baris kedua, penapis udara PM2.5, enam pembesar suara, tiga slot pengecasan USB, serta tidak ketinggalan sistem kamera keliling 360 darjah.

 

5. Keselamatan

Secara standard, MG5 GT 2024 dilengkapi dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Ditawarkan dalam 1 varian tunggal, MG5 GT 2024 dijual pada harga anggaran bermula bawah RM100,000 dan bakal dijual pada suku keempat tahun ini (Q4 2024).